UTUSAN: Boleh komen pelantikan sebagai KSN yang baru?
ALI HAMSA: Saya rasa terharu dan ucapkan terima kasih kepada Yang
di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan di atas kepercayaan yang
diberikan untuk memegang jawatan baru ini.
Apakah perkara pertama dilakukan sebaik-baik memulakan tugas baru ini?
Semua amalan yang baik akan diteruskan. Ada banyak amalan baik sedia
ada memberi sumbangan kepada perkhidmatan awam contohnya dari segi
pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan projek-projek kerajaan secara
keseluruhannya yang telah berjalan dengan lancar.
Langkah berikutnya untuk menjadikan amalan baik ini terus cemerlang dan berkesan?
Pelbagai usaha-usaha baru akan diambil lagi untuk meneruskan
kecemerlangan ini dengan meningkatkan lagi produktiviti perkhidmatan
awam, kaedah penyampaian (delivery mechanism) yang teratur dan baik untuk merealisasikan hasrat kerajaan secara keseluruhan.
Boleh Datuk Seri jelaskan lebih lanjut mengenai kaedah penyampaian awam itu?
Sektor awam perlu melihat pemberian perkhidmatan awam kepada rakyat
ini kerana sasaran kita supaya semua rakyat menikmati segala kemudahan
yang disediakan kerajaan.
Penjawat awam juga rakyat jadi kita perlu buat kerja ke tahap yang
terbaik untuk rakyat iaitu kepada diri sendiri di mana kita perlu
meletakkan persoalan, apakah jenis perkhidmatan yang sepatutnya kita
terima daripada pemberi perkhidmatan. Jadi apabila kita meletakkan diri
sebagai rakyat maka kita dapat tingkatkan lagi sumbangan yang diberikan.
Bagaimanakah Datuk Seri melihat peranan penjawat awam pada masa sekarang?
Secara keseluruhannya penjawat awam yang jumlahnya lebih kurang 1.4
juta di seluruh negara telah menunjukkan prestasi yang baik serta
memuaskan dan sememangnya mereka ini telah memainkan peranan yang
penting dan kritikal dalam pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.
Melalui kepimpinan terdahulu, sektor ini telah berjaya melakukan kerja-kerja dengan baik.
Di kesempatan ini saya hendak ucapkan tahniah kepada bekas KSN, Tan
Sri Mohd. Sidek Hassan kerana beliau telah berjaya menjalankan tugas
dengan cemerlang khususnya memimpin perkhidmatan awam.
Apakah antara pendekatan baru yang akan diambil oleh Datuk Seri sebagai ketua yang baru kepada seluruh penjawat awam?
Satu perkara penting bagi saya sebagai KSN ialah mewujudkan hubungan
baik dan rapat dengan semua peringkat penjawat awam iaitu daripada
pengurusan tertinggi hingga ke kakitangan bawahan.
Saya akan adakan banyak aktiviti untuk merapatkan hubungan
silaturrahim di kalangan penjawat awam dan di antaranya kerjasama dengan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kongres Kesatuan Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mewakili penjawat awam untuk
perbincangan dan mencari jalan terbaik.
Datuk Seri merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta,
Jabatan Perdana Menteri iaitu sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan
untuk bekerjasama lebih erat dengan sektor swasta. Jadi adakah konsep
ini akan diterapkan dalam sektor awam?
Ya, kerjasama awam dan swasta dilihat faktor penting untuk
meningkatkan sumbangan pada ekonomi negara dan juga pelaburan jadi
konsep seperti ini boleh digunakan dalam sektor awam iaitu bekerjasama
rapat antara penjawat awam dengan rakyat- sama ada rakyat itu syarikat
swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau rakyat secara keseluruhan.
Akhir sekali apakah harapan Datuk Seri kepada semua penjawat awam?
Sebagai penjawat awam tugas kita ialah menjalankan segala amanah dan
tanggungjawab yang telah diberikan. Setiap kekurangan perlu diperbaiki
dan dalam masa sama sektor awam juga perlu berubah mengikut peredaran
zaman iaitu dengan membawa beberapa pendekatan baru bagi menghadapi
realiti dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam.
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan