Maimon Jaafar menunjukkan tanda bagus
selepas keluar dari Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terletak di
Jalan Hang Tuah, Melaka untuk menguruskan pembayaran bil.
*****
ESOK, Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang
pertama diwujudkan di negara ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Hang Tuah, Melaka.
Majlis perasmian gilang gemilang itu dijangka dihadiri lebih 100,000
rakyat dari 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bakal membanjiri
sekitar kawasan perkarangan UTC termasuk sebahagian jalan raya di Jalan
Hang Tuah.
Wujudnya UTC Melaka akan memberi faedah kepada ribuan penduduk bandar
untuk membuat sebarang urusan dengan kementerian, pelbagai agensi
kerajaan negeri dan swasta yang diletakkan di dalam satu bangunan.
Ia cukup mudah kerana orang ramai tidak lagi perlu bersusah payah
pergi dari satu tempat ke tempat lain untuk membuat urusan dengan
pelbagai sektor perkhidmatan.
Dalam satu bangunan, semua urusan itu boleh diselesaikan dalam tempoh
yang singkat selain ia turut menjimatkan masa berbanding sebelum ini
yang mengambil masa dua atau tiga hari untuk diselesaikan.
Sejak UTC ini beroperasi 12 Jun lalu, tidak ramai masyarakat yang menyedari akan kemudahan yang terdapat di sini.
Malah tinjauan Utusan Malaysia tiga hari selepas ia
beroperasi, mendapati orang ramai yang pertama kali menjejakkan kaki di
situ terkejut melihat pelbagai kemudahan yang disediakan di situ.
Bayangkan, anda boleh membuat tiga urusan di dalam satu bangunan dan hanya mengambil masa tidak sampai sehari.
Sebagai contoh, selepas memperbaharui cukai jalan di Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) di aras dua, anda boleh membuat kad pengenalan
baru di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terdapat di aras yang sama
sebelum membayar cukai tanah di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah
(MBMB) yang terdapat di aras lima.
Beberapa perkhidmatan lain yang terdapat di sini seperti Tabung Haji,
Telekom Malaysia, Pos Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Biro Pengaduan Awam, Maybank,
Bank Simpanan Nasional (BSN), Klinik 1Malaysia dan sebagainya.
UTC Melaka merupakan pelengkap kepada Program Transformasi Komuniti
(CTP) bagi memastikan segala perkhidmatan, inisiatif dan program
kerajaan dapat memberi manfaat secara maksimum kepada rakyat.
Wujudnya UTC Melaka sama seperti Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)
yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, di Gopeng, Perak Februari
lalu.
RTC yang diilhamkan Perdana Menteri merupakan satu pendekatan yang
lebih lengkap untuk memastikan masyarakat luar bandar akan dapat
dibantu.
Menerusi program itu, penduduk luar bandar yang berada sekitar
kawasan 100 kilometer daripada lingkungan RTC bukan sahaja dapat
memanfaatkan kemudahan dan latihan yang disediakan di pusat itu malah
mereka berpeluang untuk menambah pendapatan masing-masing.
Begitu juga wujudnya UTC Melaka yang pertama di negara turut
diilhamkan oleh Najib bertujuan menyelesaikan segala kesulitan yang
dihadapi oleh masyarakat bandar.
Cukup jelas sama ada RTC atau UTC ia menunjukkan usaha kerajaan bagi
memastikan kualiti hidup yang tinggi di kawasan bandar dan luar bandar
dipermudahkan selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju
menjelang tahun 2020.
UTC merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru (National Blue
Ocean Strategy, NBOS) yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti
perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui kerjasama strategik di
antara kementerian, jabatan dan swasta.
Di bawah program NBOS 6, UTC Melaka menyediakan pelbagai perkhidmatan
utama kerajaan dan sektor swasta yang ditempatkan di dalam satu pusat
atau bangunan.
Kesemua inisiatif ini adalah bagi memastikan komuniti bandar mendapat
perkhidmatan dan berurusan dengan efisien, cepat, selesa dan mudah di
dalam satu bangunan.
UTC Melaka menggunakan bangunan sembilan tingkat yang sedia ada
dulunya adalah Wisma Persekutuan sebelum diambil-alih oleh Dunia Melayu
Dunia Islam (DMDI).
Bangunan tersergam indah itu telah diubah-suai melibatkan kos
sebanyak RM28.3 juta bagi menempatkan 70 kementerian, agensi kerajaan,
swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuka kaunter di bawah
10 kluster perkhidmatan.
Perkhidmatan yang disediakan di sini adalah perkhidmatan kerajaan,
kesihatan, keselamatan, pendidikan, latihan, pekerjaan, perkhidmatan
kewangan, pembangunan perniagaan, keusahawanan, NGO, utiliti, kebajikan,
pembangunan masyarakat dan pembangunan belia.
Selain itu, ia turut menyediakan perkhidmatan mini perpustakaan,
pusat tuisyen, siber kafe, pusat kecergasan dan studio muzik untuk
golongan muda.
Melaka telah dipilih sebagai projek perintis dan lokasi pertama
program UTC diwujudkan melalui Kementerian Kewangan sebagai peneraju
utama. Selepas ini beberapa UTC akan diwujudkan di setiap negeri secara
berperingkat-peringkat.
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan