DALAM Islam satu perkara yang cukup dititik beratkan ialah menunaikan
janji. Sebab itulah Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra, ayat 34
yang bermaksud:
"...Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya."
Menunaikan janji begitu penting dalam Islam sehingga mereka yang
memungkirinya dianggap sebagai munafik seperti maksud hadis ini: Tiga
perkara, sesiapa yang memilikinya ia dianggap munafik iaitu orang yang
apabila ia bercerita ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan
apabila diamanahkan (sesuatu ) ia khianat.
Selain itu Allah juga berfirman dalam surah Al-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud;
"Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang
kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa
kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."
Oleh itu janji tidak harus dilafazkan begitu sahaja tanpa ada iltizam
untuk menunaikannya dengan bersungguh-sungguh apatah lagi jika ia
dilakukan oleh mereka yang bertaraf pemimpin.
Dalam konteks politik negara sekarang, kita melihat bagaimana
sesebuah parti begitu mudah melafazkan janji itu dan janji ini kepada
rakyat. Mereka berjanji macam-macam ibarat mahu memetik bintang dan
bulan di langit bagi meraih sokongan rakyat.
Tetapi kesudahannya apabila kuasa diberikan oleh sebahagian rakyat
yang terpengaruh dengan janji-janji manis tersebut, akhirnya rakyat
berkenaan mula menyedari betapa mereka menjadi antara golongan yang
terpedaya.
Sebab itulah, kenyataan Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Bayt,
Jordan Syeikh Dr.Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool yang mengingatkan rakyat
negara ini supaya memilih parti yang mampu melaksanakan setiap
manifesto dijanjikan tidak harus dipandang remeh.
Mungkin bagi penyokong-penyokong parti pembangkang terutamanya Pas
yang turut dipimpin oleh sebahagian ulama, kenyataan itu berbaur politik
memandangkan ia diucapkan ketika Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati
Pemimpin yang dianjurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), baru-baru
ini.
Tetapi pokok pangkalnya ialah kita harus mengkaji kebenaran di
sebalik saranan itu dan bukannya melihat ia daripada sudut politik
semata-mata.
Ini kerana janji yang dilafazkan di hadapan rakyat bukan sekadar
persoalan kehidupan di dunia malahan ia akan dipertanggungjawab di
akhirat kelak.
Mungkin di dunia, boleh sahaja antara kita berhujah, "…dia tidak
setuju dia punya fasal…" Persoalannya apakah hujah yang hendak kita
ketengahkan itu berlandaskan kepada seruan Islam yang sebenar-benarnya
atau demi kepentingan politik?
Sejarah politik negara sudah membuktikan bagaimana Pas yang suatu
ketika begitu bersemangat memperjuangkan Islam tidak berdaya
melaksanakan banyak janji yang dibuat semasa pilihan raya.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Kedah dan Kelantan terlalu banyak
janji yang sekadar menjadi hiasan dalam buku atau risalah manifesto
pilihan raya.
Sememangnya rakyat tidak berdaya berkata apa-apa lagi kerana
keputusan sudah dibuat, tambahan pula sebahagian mereka mengundi Pas
kerana merasakan parti itu akan memperjuangkan Islam seperti mana yang
sering mereka laung-laungkan.
Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, Pas bukan sahaja tidak
berdaya menunaikan janji malahan kesepakatan yang dicapai bersama
sekutunya juga tidak mampu dilaksanakan.
Bagi umat Islam di negara ini, dalam kita berhadapan dengan Pilihan
Raya Umum Ke-13 yang dianggap bakal menjadi penentu kepada nasib agama,
bangsa dan negara kita maka berfikirlah dengan matang.
Janganlah mudah terpengaruh dengan hujah-hujah berbentuk Islamik
tetapi apabila diberi amanah pihak berkenaan gagal menunaikan janji yang
dibuat malahan memberi seribu alasan kenapa ia tidak dapat dilaksanakan
termasuklah menyalahkan lawan politik mereka.
Kita harus faham, sebagai umat Islam sudah tentulah kita mahu syiar
Islam terus diperteguh dan diperkukuhkan di negara ini dalam apa juga
bidang tetapi ia bukan boleh dilakukan melalui slogan, janji kosong atau
retorik semata-mata.
Sebaliknya, selain komitmen yang jitu serta keikhlasan, kita juga
perlu mengkaji sejarah politik negara pihak mana yang lebih dilihat
berjaya melaksanakan amanah berkenaan.
Menuduh orang lain memperjuangkan nasionalis dan menolak Islam memang
mudah, mengatakan mengundi parti kita akan memperolehi pahala memang
senang dan menguar-uarkan bahawa kita perjuang Islam memang boleh
dilakukan.
Tetapi apakah benar orang yang berkata demikian jauh lebih baik
daripada orang yang 'diumpatkan' itu? Sebab itulah Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud;
"Janganlah kamu sekelian dengki-mendengki, janganlah benci-membenci,
janganlah menambah harga terhadap barang yang hendak dibeli oleh
saudaramu, janganlah musuh-memusuhi, jangan umpat-mengumpat sesetengah
kamu dengan sesetengah yang lain, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba
Allah yang bersaudara."
Sememangnya kadang kala kita berasa bosan dan menganggap begitu
angkuh sekali sesetengah pemimpin Pas yang secara bulat-bulat menolak
hujah ulama-ulama terkemuka dalam sesuatu isu yang boleh dikaitkan
dengan parti tersebut.
Namun kita juga harus memahami begitulah sikap Pas yang semakin
termakan dengan janji-janji politik merebut kekuasaan bersama-sama
dengan PKR dan DAP.
Walaupun hujah para ulama berkenaan dilakukan demi kesejahteraan umat
Islam di negara ini secara keseluruhannya tetapi ia begitu sukar untuk
diterima oleh Pas.
Ada sahaja hujah yang akan dikeluarkan termasuklah mempertahankan
pendirian mereka mengenai keperluan menangguh ibadat haji semata-mata
bagi menghadapi pilihan raya.
Semua ini sebenarnya hanya akan merugikan umat Islam kerana kita akan
terus berpecah-belah kerana hujah-hujah berlandaskan agama demi
kepentingan politik yang dilemparkan oleh ulama-ulama tertentu.
Oleh itu adalah wajar, umat Islam yang akan menentukan kerajaan dalam
pilihan raya umum akan datang berfikir dengan semasak-masaknya sebelum
membuat keputusan.
Tidak salah untuk terus menyokong usaha menegak dan memperkembangkan
Islam tetapi pilihlah mereka yang benar-benar layak serta berupaya untuk
berbuat demikian.
Ini kerana seperti mana yang dikatakan oleh Syeikh Dr. Mohammad Ali
Ibrahim Alzoghool, nama bagi parti tidak penting sebaliknya kemampuan
melaksanakan janji-janji kepada rakyat, berkhidmat untuk rakyat
seharusnya menjadi sandaran sebagai parti pilihan.
Dalam soal ini, dengan fikiran yang jernih dan lapang serta
mengingati Allah SWT sebanyak-banyak kajilah perjalanan perkembangan
Islam di negara ini, apakah ia terus terperuk atau semakin cemerlang
sehingga memungkinkan Malaysia bukan sahaja menjadi negara Islam contoh
tetapi juga umat Islamnya semakin maju dalam pelbagai bidang.
Ingatlah, para pemimpin yang tidak berhujah berlandaskan kepada
ajaran Islam sebenar sebaliknya hanya memikirkan kepentingan politik
semata-mata mampu membawa 'bencana' kepada umat Islam di negara ini.
Semoga Allah SWT memberi kita petunjuk!
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan