KUALA LUMPUR 21 Jun - Ketika banyak pihak
terarah kepada peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Eksekutif
Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor pihak yang bertelagah dengan Menteri
Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mula melepaskan 'peluru' sulit
terhadap orang kepercayaannya, Faekah Husin.
Ia memaksa Abdul Khalid berdepan serangan dua serangkai yang didakwa dilakukan oleh penyokong Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali.
Ini memandangkan Rafizi sebaik sahaja melepaskan jawatan tersebut
bertindak 'memanaskannya' di Twitter dan pada masa sama, 'peluru' sulit
mula disasarkan kepada Faekah selaku Setiausaha Politik Menteri Besar.
Sebuah blog, sel13.com mendakwa, Faekah yang selama ini
dilihat sentiasa membayangi Abdul Khalid didakwa terlibat menggunakan
kedudukannya untuk mempengaruhi sebuah syarikat milik kerajaan negeri
memberi peluang peniagaan kepada sebuah firma guaman yang dikatakan ada
hubungan keluarga dengannya.
Bagi mengukuhkan lagi hujahnya, blog berkenaan turut menyiarkan dua
salinan surat iaitu pertama yang didakwa daripada firma guaman tersebut
yang dihantar kepada Faekah bagi memohon sokongan beliau agar firma itu
dilantik sebagai panel peguam kepada syarikat milik kerajaan negeri
Selangor itu.
Salinan kedua pula didakwa merupakan surat Faekah sendiri yang
menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor dan dihantar
kepada syarikat milik kerajaan negeri berkenaan agar memberi 'peluang'
kepada firma guaman itu selepas kerajaan PKR Selangor menerima
permohonan firma guaman terbabit untuk menjadi panel peguam.
Blog itu mendakwa, surat permohonan bertarikh 27 Jun 2011 kepada
Faekah dibuat salah seorang peguam yang menjadi rakan kongsi firma
berkenaan.
Selain itu, blog berkenaan turut mendakwa, semakan mereka mendapati
peguam tersebut mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Faekah.
Hubungan dingin antara kem Abdul Khalid dan penyokong Azmin sudah
lama menjadi buah mulut dan pada 13 Jun lalu krisis berkenaan mula
meledak secara terbuka selepas Ahli Parlimen Gombak itu menggesa Faekah
dipecat dan berita mengenai desakan beliau disiarkan sebuah portal
berita propembangkang.
Dalam pada itu, blog sel13.com berkata, tindakan Faekah yang
didakwa menggunakan kepala surat berkenaan bertentangan dengan arahan
Abdul Khalid pada 2010 agar semua anggota pentadbirannya mengelak
daripada mengeluarkan sebarang surat sokongan berunsur perniagaan kepada
mana-mana pihak.
Seterusnya, blog tersebut mengaitkan tindakan Faekah itu dengan
perbuatan bekas Pegawai Khas Abdul Khalid, Mohd. Yahya Sahri yang
melakukan kesalahan sama bagi tujuan mengutip derma daripada syarikat
swasta untuk menjayakan sambutan 100 hari pemerintahan PKR di Selangor.
"Pada masa itu, Abdul Khalid menggantung tugas Mohd. Yahya kerana kesalahan seperti Faekah.
Kini, bukti terbentang depan mata, kita tunggu sama ada Abdul Khalid
akan bertindak tegas atau sebaliknya terhadap Faekah," dakwa blog
tersebut lagi.
/hwa: utusan.com.my | 22/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan