KUALA LUMPUR 16 Julai - Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak supaya
tampil membuat kenyataan bagi membersihkan nama Zaliah Zakaria yang
dikaitkan dengan isu pemilikan akaun RM3 bilion oleh Ketua Pembangkang
itu.
Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu
Bakar berkata, tindakan itu wajar dilakukan Anwar sebagai membuktikan
beliau seorang pemimpin yang bertanggungjawab selain mengamalkan sikap
berintegriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam kepimpinannya.
''Anwar kena bertanggungjawab kerana ia melibatkan maruah dan moral seorang wanita sehingga dipandang negatif oleh rakyat.
''Sebagai pemimpin berjiwa besar, beliau tidak boleh berdiam diri,
jika tidak, soal ketelusan dan keadilan yang diuar-uarkan hanya manis di
bibir kerana isu sekecil ini pun tidak mampu dijawab,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Zaliah meminta Anwar segera membuat kenyataan berhubung
perkara itu bagi menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat selain
dapat mengelakkan pandangan serong orang ramai terhadapnya dan keluarga.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pengakuan Zaliah yang
dikatakan wanita misteri berikutan pendedahan ahli perniagaan, Ummi
Hafilda Ali berhubung seorang wanita yang dikatakan sangat dikenali oleh
Anwar.
Dalam pendedahannya, Ummi Hafilda mendakwa, Anwar kenal sangat dengan
wanita tersebut yang bukan merupakan seorang istimewa atau ahli
korporat tetapi cukai pendapatannya mencecah RM50 juta selain memiliki
atau mempunyai kaitan dengan 62 hartanah mewah berupa kondominium dan
banglo kebanyakannya di Pulau Pinang.
Ramlan berkata, rakyat sepatutnya telah boleh menilai sendiri sikap
Anwar yang tidak berani menjawab pelbagai isu membabitkan beliau.
''Bagaimana rakyat boleh menaruh harapan kepada pemimpin seperti ini jika tidak berani bertanggungjawab,'' soalnya.
Timbalan Presiden Gabungan NGO Malaysia, Datin Reny Rahayu Mohd.
Ishak pula berkata, penjelasan Anwar berhubung perkara itu penting
supaya rakyat tidak keliru dengan pelbagai dakwaan yang ditimbulkan.
''Kita minta Anwar jangan berselindung dengan sandiwara, rakyat sudah muak apatah lagi ia membabitkan maruah orang lain.
''Jika benar beliau tidak bersalah, apa salahnya tampil buat kenyataan kerana rakyat juga mahukan kebenaran,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 17/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan