DR. Ahmad Zahid Hamidi melihat
cenderamata daripada Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (dua dari kanan)
sambil diperhatikan oleh Nasir Ali (kanan), Zulkifeli Mohd. Zin (empat
dari kiri), Ismail Ahmad (tiga dari kiri), Abdul Aziz Jaafar dan Abdul
Aziz Ishak (kiri) di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., Kuala Lumpur,
semalam.
*****
KUALA LUMPUR 16 Julai - Sokongan masyarakat bukan Melayu terutamanya
kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN) secara senyap-senyap semakin
meningkat dan bertambah baik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
petanda positif itu hasil daripada program transformasi politik yang
dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
“Apa yang boleh dikatakan masyarakat Cina kini semakin puas hati.
Walaupun mereka tidak berterus terang, secara senyap-senyap mereka telah
berubah hala kepada BN," katanya selepas melawat Ibu Pejabat Utusan
Melayu (M) Bhd., di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang tiba kira-kira pukul 11.45 pagi dengan rombongan 40
orang disambut oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed
Hashim Ahmad Makaruddin, yang turut diiringi Pengarah Eksekutif, Datuk
Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak.
Turut menyertai lawatan tersebut yang meninjau Jabatan Editorial
Utusan Malaysia dan Kosmo! serta beramah mesra dengan kakitangan akhbar
berkenaan ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli
Mohd. Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr.
Ismail Ahmad, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz
Jaafar, Ketua Staff Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Abu
Bakar Md Said dan wakil Panglima Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk
Mahdi Yusof.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul
Hadi Awang Kecil dan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan,
Mejar Jeneral Datuk Ishak Yeop Hamzah.
Tegas Ahmad Zahid, maklum balas dan reaksi itu merupakan petanda cukup baik selepas BN menghadapi ‘tsunami politik’ pada 2008.
Mengulas mengenai gambaran Pilihan Raya Umum Ke-13 yang mungkin tidak
akan diadakan pada tahun depan, Ahmad Zahid secara peribadi berkata,
penentuan tarikh pilihan raya adalah hak mutlak Perdana Menteri.
“Sama ada tahun ini atau tahun depan, bagi saya, pemimpin dan ahli-ahli akan patuh," katanya.
Beliau menyifatkan gambaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin bahawa pilihan raya tidak akan diadakan pada tahun
depan tersebut dibuat berdasarkan analisis akar umbi.
“Tentunya analisis itu mengambil kira seandainya pilihan raya
diadakan pada tahun depan, seolah-olah nampak BN tidak berkeyakinan
mendapat sokongan.
“Mungkin juga melihat faktor-faktor kelemahan ekonomi dunia yang
diunjur pada 2013 dan keletihan jentera-jentera BN," ujar beliau.
/hwa: utusan.com.my | 17/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan