DALAM seminggu ini, para pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di
Putrajaya yang memantau laporan akhbar-akhbar propembangkang dapat
menarik nafas lega.
Akhbar-akhbar parti PKR dan Pas itu, masing-masing Suara Keadilan dan Harakah dilihat tidak seghairah bulan lepas melaporkan perihal suruhanjaya itu.
Jika kebiasaannya setiap keluaran, habis 'renyuk' dihentamnya SPR
dengan ada sahaja yang tidak kena dalam perkhidmatan dan urusannya
terhadap rakyat - terutama sekali 'daftar pemilih yang tidak bersih' -
dalam tujuh lapan hari ini, 'meriam dan peluru' yang dihalakan agak
perlahan.
"Biasanya kedua-dua akhbar ini akan mengeluarkan laporan
berangkai...macam sediakan sekurang-kurangnya empat atau lima cerita
tentang SPR.
"Ya, macam-macamlah, SPR itulah...SPR inilah. Yang paling ketara
cerita (laporan) mereka menyerang Daftar Pemilih Induk, mengatakan kotor
dan telah dimanipulasi. Antaranya, kata laporan mereka, mengapa dah
umur 50 tahun baru nak daftar jadi pengundi sedangkan (artis) Datuk
Sharifah Aini hampir 60 tahun usianya baru nak daftar," kata seorang
pegawainya kepada saya kelmarin.
Semak punya semak, teliti punya teliti sebab mengapa akhbar-akhbar
totok pembangkang ini agak 'slow down' mencerca dan menghentam SPR dalam
laporan mereka seminggu ini, pegawai berkenaan secara tidak langsung
mengesan ia berkemungkinan ada kaitan dengan kedatangan bulan Ramadan
yang mulia hujung minggu ini.
"Saya tak tahulah anda perasan atau tidak, kalau anda boleh
bandingkan laporan minggu ketiga bulan ini dengan tempoh yang sama Jun
lepas daripada akhbar-akhbar mereka.
"Berbeza sungguh kaedah penulisan mereka...nampaknya PKR dan Pas ini
ingat juga akhirat dan ada juga tempohnya mereka bermuhasabah diri
dengan ingat juga Ramadan yang bakal menjelang ini.
"Kalau tidak, habis dibasuhnya kami (SPR) dengan benda-benda mengarut
dan laporan-laporan yang diputarbelitkan. Kalau tidak dua kali seminggu
mesti ada sekurang-sekurangnya satu muka besar lima cerita tentang
hal-hal yang memburuk-burukkan SPR... tapi minggu lepas Harakah langsung
tak ada cerita SPR," kata pegawai itu lagi.
Pegawai berkenaan memberitahu, laporan-laporan yang tidak tepat mengenai apa yang telah dibuat oleh SPR seperti dilaporkan Suara Keadilan dan Harakah terpaksa dijawab oleh badan itu.
Dan memang itupun tujuan permit dua akhbar tersebut yang dipohon kepada Kementerian Dalam Negeri, katanya.
"Cuma yang membaca kedua-dua akhbar ini merupakan pembaca yang sama
dan pemikiran memang ke situ, takkan boleh 'diubah'. Saya jawab dan
setiap kali jawab dan dilaporkan oleh Bernama khususnya, mereka tidak
pakai (siar laporan itu).
"Tetapi sengaja pula cetuskan benda lain walaupun 100 peratus perkara
yang dibuat oleh SPR untuk pengundi baik, bagus untuk manfaat dunia dan
akhirat.
"SPR sedar mereka nak beritahu pengikut dan penyokong parti mereka
tetap ada titik hitam bahawa apa yang SPR buat segalanya tidak betul,"
katanya.
Pegawai itu menarik perhatian mengenai isu Daftar Pemilih tidak
bersih yang acap kali dimainkan oleh dua akhbar pembangkang berkenaan.
"Saya ambil contoh dulu ada sebuah kampung di atas tapak pusat beli-belah Sogo sekarang.
Katakan di situ dulunya didiami setinggan dan di sebelah kampung itu
anda akan nampak sebuah sekolah (dekat lampu isyarat belakang Kompleks
Pertama).
"Kampung itu dah hilang sekarang dan yang ada adalah Sogo tetapi
orang yang mendaftar sebagai pengundi dulu tempat mereka membuang undi
adalah di sekolah berkenaan.
"Pada orang luar SPR benda-benda inilah yang pelik, mana perginya
pengundi yang duduk di Sogo tu sedangkan hak mereka untuk mengundi di
sekolah terbabit adalah sah. Malahan, mereka tidak boleh dikeluarkan
dari Daftar Pemilih dengan sewenang- wenangnya," katanya.
Katanya: "Jadi, dia (Suara Keadilan dan Harakah) ni boleh berbohong
benda-benda macam inilah di sebalik fakta dalam SPR yang kita tak boleh
buat (kembalikan kampung berkenaan di atas tapak Sogo sekarang dan
nampakkan kelibat pengundi-pengundi kampung tersebut).
"Memang dia boleh cetuskan tahap 'logik' ini kepada pembaca-pembacanya."
Baru-baru ini pegawai berkenaan memberitahu, sebaik sahaja beliau
membaca satu laporan daripada salah sebuah akhbar pembangkang tadi
mengenai satu berita yang disiarkan, dia segera bergegas ke Batu Caves.
"Dilaporkan ada orang Melayu komplen tentang seorang India duduk
dalam rumahnya (gunakan alamat rumahnya) dalam Daftar Pemilih. Saya
sendiri pergi ke rumah berkenaan di Batu Caves. Rupa-rupanya orang India
tadi daftar di pejabat pos dan pejabat pos tersilap 'key in' alamat
rumahnya. Sepatutnya Jalan 12, bukannya Jalan 1.
"Jadi, bila namanya dipamerkan sebelum Daftar Induk diwartakan, tiada
siapa pun yang buat bantahan. Ini namanya tersilap. Sebab itu SPR
memohon mana-mana pihak yang nampak sahaja benda ini, laporkan kepada
kami. Kami boleh perbetulkan kembali lokalitinya, isu jantina dalam
daftar pemilih dan sebagainya," kata pegawai itu.
SPR, kata pegawai itu lagi, tidak mahu sekadar menjadi 'punching bag' pembangkang.
"Mereka orang di luar SPR yang tidak tahu apa yang SPR tahu. Jangan
asyik sentiasa 'berguling-guling' bantai SPR. Sistem sekarang ini kita
buat pendaftaran sepanjang tahun, tidak lagi bermusim seperti mana
sebelum 2002. Tentu pengundi dulu (sebelum 2002) banyak yang tidak buat
perubahan alamat.
"Kalau muhasabah diri menjelang Ramadan ini dikekalkan, kami di SPR
sambut baik... terima kasih sangat, harap berterusan sehingga pilihan
raya umum ke-13 (PRU-13)," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 17/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan