KUALA LUMPUR 5 Julai - Kenyataan Datuk Seri Anwar
Ibrahim bahawa beliau bersedia untuk 'bersara' daripada politik jika
pembangkang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13, menunjukkan Ketua
Pembangkang itu sedar pakatan tidak akan mampu mengalahkan Barisan
Nasional (BN).
Justeru jelas Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim
(TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip, 'tawaran' tersebut hanya bertujuan
meraih simpati rakyat dan pada masa sama Ketua Pembangkang itu mahu
menguji kesetiaan para pengikutnya.
Katanya, jika Anwar benar-benar ikhlas mahu bersara beliau tidak akan membuat kenyataan awal dalam akhbar Financial Times,
sebaliknya bertindak seperti yang pernah dilakukan bekas Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat pengumuman mengejut.
"Beliau memang sedar sekarang ini sokongan padu rakyat memihak kepada
BN selepas pelbagai transformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak. Anwar gagal menyaingi kehebatan Najib maka sebab
itu beliau membuat kenyataan begitu.
"Anwar mahu meraih simpati rakyat dan juga untuk menguji kesetiaan
pengikutnya. Beliau sedar hanya dengan simpati rakyat akan memberi
sedikit sokongan kepada pembangkang kerana dari segi idea, Najib lebih
hebat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam wawancara dengan Financial Times, Selasa lalu, Anwar
membayangkan beliau mungkin bersara daripada politik tanah air dan
menjadi pensyarah sekiranya pembangkang tidak berjaya merampas Putrajaya
dalam pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Muhammad Zahid berkata, tindakan Anwar membayangkan
mahu bersara juga sebenarnya bagi mengalih isu penghakiman penuh
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengesahkan berlaku penetrasi ke atas
Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat.
Jelasnya, Ketua Pembangkang itu ketika ini berada dalam keadaan amat
tertekan kerana penghakiman penuh tersebut jelas membuktikan liwat ke
atas Mohd. Saiful berlaku dan beliau sekarang adalah liabiliti kepada
pembangkang, bukannya aset seperti didakwa," katanya.
"Tetapi jika itulah hasrat Anwar, saya menggesa seluruh rakyat
menunaikan hasratnya kerana TIBAI menganggap kehadiran beliau yang penuh
dengan isu moral dalam politik seperti melukut di tepi gantang, masuk
tak tambah, keluar tak kurang tetapi lebih baik tiada," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 06/07/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan