8 Julai 2012

Tolak pemimpin biadab, jangan kompromi

KUALA LUMPUR 5 Julai - Rakyat diminta menilai dan menolak pemimpin yang mempunyai sikap biadap seperti lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang mengingkari dan menimbulkan kekecohan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semalam.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, sikap biadab yang ditunjukkan oleh ADUN berkenaan menggambarkan cara pemerintahan yang akan dilaksanakan jika mereka berkuasa.
"Saya fikir kelakuan yang ditunjukkan itu membuktikan mereka boleh menjadi lebih kasar selepas ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, senario politik pembangkang sekarang menunjukkan bahawa sikap biadab dan kasar adalah amalan harian mereka.
"Saya minta rakyat negara ini untuk menilai adakah mereka ini layak menjadi pemimpin kerana bukan sahaja telah merendahkan martabat kepada rakyat negara ini tetapi juga kepada dunia," katanya.
Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad semalam membuat keputusan menggantung selama enam bulan kehadiran Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana), Goh Leong San (Kesidang), Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh), Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Lim Jak Wong (Bachang) dalam sidang DUN itu berkuat kuasa semalam.
Dalam sidang DUN itu semalam, Betty Chew telah menempelak Othman dengan berkata: Malu ke atas awak (Shame on you) Datuk Speaker," kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi oleh Othman berhubung isu melibatkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Gan Tian Loo.
Sejurus selepas itu, dua ADUN DAP, Poay Tiong dan Jak Wong bangun sambil merentangkan kain pemidang tertulis perkataan dalam bahasa Cina dan Inggeris "Shame on you Gan Tian Loo".
Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sikap biadab itu tidak boleh dikompromi kerana dibimbangi menjadi budaya dalam politik tanah air.
/hwa: utusan.com.my | 06/07/12

Tiada ulasan: