PULAU PINANG 5 Julai - Ketua Menteri, Lim Guan
Eng dinasihatkan mengupah lebih ramai pengawal peribadi untuk menjaga
dirinya jika merasakan pihak polis gagal menjalankan tugas dengan
berkesan.
Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Komtar,
Loh Chye Teik berkata, Guan Eng juga boleh mengarahkan Majlis
Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) supaya memasang kamera litar tertutup
(CCTV) di seluruh kawasan di negeri ini.
Katanya, berdasarkan 'ujian' yang dilakukan terhadap tindak balas
polis dalam masa kecemasan, beliau mendapati keputusannya memuaskan.
"Hari ini saya mendapati polis sentiasa berada dalam keadaan
berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan membantu penduduk.
"Berdasarkan ujian yang dilakukan tadi, saya berpuas hati dengan
perkhidmatan polis dan membuktikan negeri ini selamat," katanya di sini
hari ini.
Beliau dan Pengerusi MCA Bahagian Komtar, Lim Cheng Hee sebelum itu
membuat panggilan kecemasan pada pukul 11.08 pagi menggunakan kios
interaktif yang disediakan polis di Jalan Datuk Keramat.
Selepas menjelaskan menerusi interkom kepada anggota polis bertugas
bahawa beliau memerlukan bantuan, dua anggota polis tiba di situ dalam
tempoh tiga minit.
Timbalan Ketua Balai Jalan Patani, Inspektor M. Balacandran yang juga
tiba di situ berkata, semua panggilan yang dibuat di kios interaktif
berkenaan akan terus disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri
(IPK) sebelum dimaklumkan kepada balai polis terdekat.
Jelasnya, ketika ini terdapat empat kios seumpama itu di negeri ini
iaitu dua di Jalan Penang dan masing-masing satu di Pulau Tikus dan
Persiaran Gurney yang telah beroperasi sejak Oktober tahun lepas.
Guan Eng sebelum ini mendakwa polis tidak melindunginya semasa
Setiausaha Agung DAP itu dikasari oleh seorang penyokong sebuah kumpulan
ketika melawat sebuah pasar di Teluk Bahang, Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, Guan Eng mendakwa seorang ahli sebuah kumpulan
telah menyentuh bahunya namun berjaya ditahan oleh seorang wakil
kerajaan negeri.
Kejadian berlaku apabila sekumpulan penduduk dan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) setempat mengadakan perhimpunan aman bagi membantah
kehadiran Guan Eng ke kawasan Teluk Bahang.
/hwa: utusan.com.my | 06/07/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan