PULAU PINANG 5 Julai - Surat daripada kerajaan DAP Pulau Pinang
berhubung cadangan pembinaan sebuah universiti awam di Kampung Genting,
Balik Pulau di sini seolah-olah sengaja dihantar untuk memecah-belahkan
orang Melayu di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad
berkata, kesan negatif itu dapat dilihat apabila penduduk kampung mula
bertelagah sesama sendiri.
Menurutnya, penyokong parti politik yang berbeza kini masing-masing
cuba mempertahankan dan menyalahkan sama ada kerajaan Barisan Nasional
(BN) atau pembangkang.
"Saya nampak kesannya sudah ada di mana masyarakat Melayu di peringkat bawah mula bertelagah.
"Saya menyalahkan surat tersebut kerana ia berjaya memecah-belah orang Melayu di kampung terbabit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Muhammad Farid mendakwa surat yang dihantar oleh kerajaan
negeri kepada pemilik tanah berhubung cadangan pembinaan sebuah
universiti awam di Kampung Genting di sini meragukan.
Surat yang dihantar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bertarikh
29 Jun lalu itu menyatakan tanah mereka akan diambil bagi memberi laluan
kepada pembinaan universiti awam antarabangsa iaitu Asian Women
Leadership University (AWLU).
Kandungan itu meragukan kerana dalam pertemuan Muhammad Farid dengan
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat Balik Pulau awal tahun ini,
Timbalan Perdana Menteri tidak pernah memaklumkan mengenai perkara
tersebut.
Sementara itu, semakan yang dibuatnya dengan Kementerian Pengajian
Tinggi pula mendapati tiada sebarang kelulusan pernah diberikan untuk
membina universiti itu kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang
dalam perancangan.
/hwa: utusan.com.my | 6/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan