PENDUDUK di Taman Sungai Besi Indah
Seri Kembangan, mengangkat air yang di bekalkan oleh Syabas ekoran
masalah air yang di hadapi mereka kebelakangan ini.
*****
KHABAR terbaru yang saya dengar daripada pejabat Syarikat Bekalan Air
Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) ialah berkisar pendirian syarikat itu
terhadap pembangunan baru.
Mulai tahun ini, Syabas dilaporkan tidak dapat memberi surat
kelulusan untuk membekalkan air ke semua kawasan pembangunan baru.
Katakan pemaju yang mahu mengusahakan projek sebuah kondominium 2,000
unit, tiada kelulusan projek dapat dikeluarkan. Syabas tidak dapat
memberi jaminan boleh membekalkan air ke projek yang akan siap 2014 atau
2015 itu selagi kemelut isu air di Selangor sekarang tidak selesai.
Difahamkan, kerajaan PKR Selangor mahu Syabas mengeluarkan ‘surat
ber‘letterhead‘kan Syabas’ untuk memaklumkan perkara itu kepada pemaju.
Namun Syabas tidak mahu menjadi ‘kambing hitam’ lagi. Dan setakat ini
‘keputusan’ mengenai semua urusan pembangunan baru itu belum rasmi.
Kepada Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), isu
air di Selangor ketika ini memang serius. Kritikal, kata Presidennya,
Datuk N. Marimuthu jika kerajaan PKR Selangor dan Persekutuan beserta
Syabas tidak duduk semeja. Fomca tidak mahu krisis air menjadi semakin
kronik daripada yang pernah dialami pada 1998 berulang.
“Kita masih bersyukur kerana masih ada hujan. Tapi ini bukan cerita
hujan di sana sini. Banyak paip yang tidak ditukar sejak berpuluh-puluh
tahun.
“Fomca lihat tidak pernah berlaku dalam sejarah, kita jumpa saja,
nak gaduh. Syabas hanya kontraktor, tak usahlah kita bantai, bantai dan
bantai dia," kata Marimuthu kepada saya pagi semalam.
Kerana dek kerenah politik dicanangkan kerajaan PKR Selangor menolak
kerjasama dengan Pusat dalam membina loji Langat 2, habis terpalit duri
yang bakal dan sedang pun menimpa 7.5 juta penduduk Selangor, Wilayah
Persekutuan dan Putrajaya.
Kadang-kala kita rakyat Selangor ada ketikanya akan menggaru-garukan kepala yang tidak gatal.
Reka bentuk Langat 2 telah pun siap. Peruntukan untuk membina loji air ini juga telah tersedia.
Malahan tapak tanah untuk loji dan projek ini telah pun diambil dan
siap sedia untuk digerakkan projek berdekatan Hulu Langat ini. Tetapi
cuma kerajaan PKR Selangor melalui Majlis Daerah Perbandaran Hulu Langat
tidak mahu mengeluarkan Development Order atau kebenaran merancang.
Semuanya jadi tak kena, menyebabkan projek Langat 2 tertangguh selama
hampir dua tahun. Tanpa Development Order, kerajaan Persekutuan tidak
boleh memanggil tender untuk membina loji tersebut.
Pada masa sama, pembekuan ‘CAPEX’ atau perbelanjaan modal milik
Syabas daripada kerajaan PKR Selangor sejak 2008 lagi, memburukkan lagi
kemelut isu air di Selangor. Ia mengakibatkan kerja-kerja
penyelenggaraan dan pembaikan paip-paip air tidak boleh dilakukan.
Pihak Syabas sebelum ini pun telah jenuh memaklumkan yang gangguan
bekalan air di kebanyakan kawasan di Lembah Klang ketika ini disebabkan
oleh kapasiti pengeluaran air terawat daripada loji-loji air tidak dapat
menampung permintaan air. Ini berikutan peningkatan mendadak penggunaan
air oleh pengguna.
Tekanan
Kesan daripada peningkatan permintaan yang mendadak ini menyebabkan
beberapa kolam utama menghadapi penurunan paras yang ketara. Ini kerana
pada masa ini rezab bekalan air bersih sedia ada ialah kurang daripada 3
peratus. Keadaan ini menyebabkan tekanan air rendah dan sebahagian
kawasan tidak mendapat bekalan air terutama di sekitar kawasan water
stress iaitu wilayah Petaling, Klang, Kuala Lumpur dan juga Hulu Langat.
Ia melibatkan sejumlah 209,678 akaun pengguna ataupun lebih kurang
sejuta penduduk di wilayah-wilayah terbabit.
Situasi ini juga menyebabkan beberapa Loji Rawatan Air (LRA)
beroperasi pada tahap maksimum atau melepasi kapasiti reka bentuknya
(overload). Dan berhadapan dengan tekanan untuk memenuhi permintaan yang
pada masa ini di tahap 4,259 JLH (Juta Liter Sehari). Ini adalah kerana
jumlah kapasiti bekalan air yang boleh dikeluar dan diagihkan dari
kesemua 34 loji sedia ada adalah sekitar 4,371 JLH sahaja.
Pembekuan ‘CAPEX’ memburukkan lagi situasi ini. Ya, memang benar
waktu ini empangan-empangan sedia ada di sekitar Selangor menampung air
sehingga melimpah ruah, dakwa Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim.
Tetapi, Abdul Khalid kena ingat bahawa itu bukan air terawat.
Sebaliknya hanyalah air mentah. Mana boleh kita rakyat Selangor dan
Putrajaya pergi ke empangan berkenaan, kemudian hirup seteguk dua.
Berikutan situasi gangguan bekalan air serta tekanan rendah yang
berlarutan di sekitar kawasan Lembah Klang sejak kebelakangan ini,
Syabas pada tujuh hari lepas mengumumkan bahawa mengikut perkiraannya,
krisis bekalan air telah mula melanda Selangor, Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Syabas bukan badan politik dan tidak bermain politik. Fakta-fakta yang dikeluarkannya adalah berdasarkan unjuran sebenar.
Projeksi berkaitan dengan krisis kekurangan bekalan air terawat yang
sedang berlaku ini telah dimaklumkan oleh Syabas sebelum ini kepada
Kerajaan PKR Selangor, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
(KeTTHA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) agar tindakan
segera dapat diambil bagi mengatasi masalah ini daripada berlaku.
Pada masa sama, kegagalan kerajaan PKR Selangor mewartakan pelarasan
tarif air menyebabkan Syabas menanggung jumlah tunggakan yang besar
kepada operator loji rawatan sedia ada.
Telah beberapa kali Syabas mengemukakan cadangan-cadangan kepada
pihak SPAN dan pihak kerajaan negeri termasuk 48 pucuk surat telah pun
dihantar memaklumkan situasi semasa.
Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya krisis pembekalan air
terawat. Ia sebagai satu tindakan proaktif bagi mengelakkan krisis air
di Lembah Klang seperti yang berlaku pada 1998 berulang. Tetapi setakat
ini maklum balas Syabas dipandang sebelah mata.
Dan mana mungkin Abdul Khalid sendiri tidak tahu status pengeluaran
loji yang diuruskan kepimpinannya atau dia sengaja buat-buat tidak tahu.
Krisis bekalan air terawat yang melanda Selangor ironiknya isu yang
mudah diselesaikan sekiranya kerajaan negeri meluluskan arahan
pembangunan projek Langat. Ini sekali gus dapat memastikan jaminan
bekalan air dapat disalurkan secara berterusan kepada pengguna.
Yang tak sedapnya, kerajaan negeri beri pula alasan mahu menstruktur
industri air di negeri itu - dengan memberi gambaran pula kononnya tarif
air akan meningkat jika pembinaan Langat 2 dilakukan.
Jika diteliti, pembinaan Langat 2 itu sendiri tidak ada kena-mengena
dengan penstrukturan semula industri air serta kenaikan tarif air.
Sebaliknya, ia alternatif untuk menangani krisis bekalan air terawat
yang dijangka berlaku pertengahan 2014.
Dan sekiranya peningkatan permintaan air ini berterusan, maka tidak
mustahil jumlah kawasan terlibat dengan gangguan air ini akan menjadi
lebih luas dan melibatkan lebih ramai pengguna.
Lebih malang lagi, kekurangan air yang berlarutan memberi kesan
negatif kepada iklim pelaburan dan ekonomi negeri ini yang terkenal
sebagai hab utama ekonomi serantau.
Syabas sekadar dijadikan ‘kambing hitam’ bagi menjustifikasikan
hasrat kerajaan PKR Selangor untuk menstruktur semula industri air di
negeri itu.
Ketika Abdul Khalid beria-ia mahu menggunakan Klausa 32 di bawah
perjanjian konsesi bagi mengemukakan notis kepada Kerajaan Persekutuan
untuk membolehkan kerajaan negeri mengambil alih operasi Syabas, saya
turut dikhabarkan akan semangat tidak mudah menyerah Syabas.
“Kerajaan negeri boleh cuba dari segi undang-undang tapi perkara ini
bukan senang. Ia bukan semudah bagi sepucuk surat (arahan), kemudian
boleh masuk Syabas dan tukar kesemuanya. Kami juga ada peguam kami
sendiri," menurut sumber itu lagi.
Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif Syabas - yang menjadi
musuh ketat kerajaan PKR Selangor - ketika ini berada di Mekah.
“Tak tahulah... kita tengok macam mana, nanti saya akan komen
sekembali saya ke tanah air pada 26 atau 28 Julai ini," ujarnya kepada
saya, kelmarin.
Dan kepada Marimuthu: " Kita semua mesti duduk semeja. Kita kena
faham setiap hari banyak orang berhijrah ke Selangor dan Kuala Lumpur.
Setiap hari, banyak orang berkahwin. Banyak projek perlukan air.
“Kita perlu rancang urusan air ini untuk 50 hingga 100 tahun akan
datang. Jangan disebabkan politik - anda, saya dan semua jadi mangsa."
/hwa: utusan.com.my | 22/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan