TIDAK selamanya parti pembangkang boleh membanggakan diri bahawa apa
yang mereka lakukan menguntungkan rakyat. Ukuran-ukuran dan label
positif yang mereka cipta dan kemudian gembar-gemburkan tidak selamanya
boleh dipertahankan.
Masa akan akhirnya menentukan. Konflik kepentingan kelompok dan
kelemahan ketara di semua peringkat kepimpinan terutama di peringkat
kerajaan negeri yang mereka perintah menjadi perangkap kepada parti
pembangkang.
Sayangnya, mereka tetap tidak mahu mengambil peluang untuk
memperbaiki diri walaupun telah melakukan kesilapan. Jauh sekali mahu
meminta maaf apatah lagi mengundur diri atau melepaskan jawatan bagi
membuktikan nilai-nilai integriti yang sepatutnya dijunjung.
Sebaliknya mereka menggunakan strategi menutup mulut pengkritik
dengan saman dan ugutan saman. Jika tidak pun mereka akan bermain silap
mata dengan berdolak-dalik, menyalahkan pihak lain dan memutar fakta
untuk mengelirukan rakyat.
Inilah rumusan terhadap apa yang berlaku di negeri-negeri yang
diperintah parti pembangkang. Senarionya hampir sama berlaku kepada
kerajaan PKR Selangor mahupun kerajaan Pas di Kedah dan Kelantan serta
kerajaan DAP Pulau Pinang.
Di Selangor, kerana tiada senjata ampuh lain mereka memperdagangkan
bekalan air, keperluan paling dekat dengan rakyat. Kerajaan PKR Selangor
yang sebenarnya dikuasai oleh kepentingan DAP kini sedang
bertungkus-lumus menguasai persepsi rakyat agar menyalahkan kerajaan
Persekutuan.
Ia dilakukan setelah gagal memerangkap Syabas dalam permainan politik
mereka. Tiada yang jelas dan konkrit dalam tindakan kerajaan negeri.
Terlihat hajat besar mereka hanya mahu berbuat onar supaya rakyat
nantinya akan menyalahkan kerajaan Persekutuan. Dari dulu mereka telah
menyerang Syabas dengan memberi persepsi kononnya ia syarikat konsesi
kroni UMNO yang tidak menguntungkan rakyat.
Sedangkan jika benar kerajaan PKR Selangor jujur dengan rakyat,
mereka boleh memperbaiki lagi kualiti perkhidmatan Syabas yang diberi
konsesi mengurus dan mengagih air bersih ke Selangor, Kuala Lumpur dan
Putrajaya sejak 2005 untuk tempoh 30 tahun itu.
Kerajaan negeri mempunyai 30 peratus kepentingan dalam Syabas.
Tentulah timbul tanda tanya mengapa tidak mereka betulkan Syabas dari
dalam jika benar ada yang tidak kena dalam syarikat itu.
Tetapi mereka lebih suka dengan cara yang boleh menimbulkan
kontroversi. Pandangan pakar termasuk ramalan krisis air pada 2014 dan
keperluan pembinaan loji Langat 2 diketepikan begitu sahaja.
Catuan air yang bakal dilakukan oleh Syabas berikutan permintaan air
terawat melebihi kapasiti yang semakin kritikal dijawab oleh kerajaan
negeri dalam bahasa yang sukar difahami. Mereka tuduh pula Syabas tidak
cekap selain alasan air di Lembah Klang melimpah ruah.
Yang terakhir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seperti
dijangka mengumumkan untuk mengambilalih Syabas. Khalid memilih jalan
kontroversi yang prosesnya rumit dan memakan masa panjang.
Mengambilalih sebuah syarikat konsesi yang selama ini tidak gagal
melaksanakan tanggungjawabnya bukanlah mudah. Seperti juga penarik
kereta, ada prosedur yang perlu dipatuhi sebelum kereta boleh ditarik.
Kecualilah jika cara-cara samseng digunakan. Mana mungkin kereta
ditarik jika bayaran dibuat tepat pada masanya. Apatah lagi tiada satu
pun notis amaran dikeluarkan.
Tindakan terbaru kerajaan PKR Selangor itu memperlihatkan aroma
kepentingan pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan operasi Syabas
supaya ia boleh menjadi alasan pengambilalihan. Maklumlah operasi
membekalkan air di Lembah Klang melibatkan nilai berbilion ringgit.
Elemen-elemen sensasi termasuk gaji pengurusan kanan Syabas terus
ditabur untuk membolehkan mereka 'memasuki' syarikat utiliti itu,
walaupun realitinya mereka sudahpun berada dalam syarikat tersebut.
Mujurlah kerajaan Pusat segera bertindak dengan membentuk
Jawatankuasa Khas Kabinet dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani isu air yang semakin kritikal
itu. Tidaklah Syabas seolah-olah dibiar keseorangan untuk berhadapan
dengan ego besar kerajaan PKR itu.
Tetapi sekali lagi tindakan menyelamat lebih 3 juta penduduk Lembah
Klang daripada berhadapan dengan krisis air sebagaimana dialami pada
1998 tidak dihargai oleh kerajaan PKR Selangor.
Mereka terus dengan perilaku menyalahkan pihak lain dan mengeluarkan
kenyataan mengelirukan. Tanpa silu ada suara dari sana yang meminta
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui
meletakkan jawatan kerana gagal mengatasi isu air di Selangor.
Begitulah permainan mereka. Kerajaan PKR Selangor sebenarnya sudah
tiada jalan untuk menangani isu air ini kecuali mengikut nasihat dan
pelan yang telah dirancang oleh pakar dan Syabas.
Tetapi kerana kepentingan politik terlampau, mereka sanggup gadaikan
nasib rakyat dan mendedahkan penduduk Lembah Klang serta ibu negara
kepada krisis bekalan air.
Persoalannya sejauhmanakah permainan politik seperti ini yang sekian
lama telah menjadi modal utama dan mengakar umbi dalam parti pembangkang
akan terus menguntungkan mereka?
Politik yang seharusnya menjadi medan perlumbaan meraih peradaban dan
wadah memperjuangkan kepentingan rakyat sebaliknya dijadikan tempat
untuk berebut kuasa. Tambah meloyakan, ia dilakukan dengan menghalalkan
segala cara.
/hwa: utusan.com.my | 22/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan