23 Julai 2012

Azizan didakwa bohong rakyat isu saham FGVH

ALOR SETAR 20 Julai - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak didakwa berbohong kepada rakyat berhubung isu pembelian 500,000 unit saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebagai Menteri Besar, Azizan yang merupakan pengerusi kepada anak syarikat kerajaan negeri itu sudah semestinya mengetahui mengenai pembelian saham FGVH berkenaan.
"Saya pernah menjadi Menteri Besar serta Pengerusi PKNK dan setiap cek melebihi RM1 juta yang dikeluarkan oleh PKNK mesti ditandatangani oleh pengerusi.
"Jadi bagaimana Azizan kata beliau tidak tahu dan nampaknya beliau berbohong kepada rakyat untuk 'melepaskan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, PKNK membeli 500,000 unit saham FGVH pada harga RM4.55 seunit walaupun pembangkang menolak keras penyenaraiannya di bursa saham.
Azizan ketika ditanya mengenai pembelian saham itu berkata, ia 'terlepas' daripada pengetahuannya tetapi menyifatkan sebagai amalan biasa kerana PKNK memang diberi hak untuk membeli mana-mana saham yang difikirkan mampu menjana keuntungan.
Menurut Mahdzir, sikap Azizan itu amat dikesali dan bertentangan dengan imej agama yang dipegangnya kerana seringkali mengambil pendekatan 'melepaskan diri' dan enggan bertanggungjawab terhadap mana-mana isu yang tidak berpihak kepadanya.
"Sebanyak 500,000 unit saham yang dibeli pada harga RM4.55 seunit itu tentunya bernilai RM2,275,000.
"Cek untuk tujuan itu mesti ditandatangani oleh Azizan dan saya hairan kenapa beliau berbohong kepada rakyat dengan mengatakan 'terlepas' dari pengetahuannya," jelasnya.
Katanya, Menteri Besar itu sanggup berbohong demi melepaskan dirinya dengan memberikan alasan tertentu sedangkan beliau mengetahui atau memberikan keputusan terhadap sesuatu langkah atau tindakan yang diambil oleh mana-mana anak syarikat kerajaan negeri.
"Isu ini sebenarnya bukan 'terlepas' tetapi 'melepaskan'," tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 21/7/12 

Tiada ulasan: