23 Julai 2012

Elemen JI cuba meresapi parti pembangkang

SHAH ALAM 20 Julai - Kementerian Dalam Negeri akan memantau pendedahan Cawangan Khas Bukit Aman mengenai pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis cuba meresapi parti pembangkang dan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, maklumat itu mungkin diperoleh daripada badan atau agensi perisikan antarabangsa dan sangat sensitif serta tidak boleh dikongsi dengan orang ramai sehingga selesai siasatan.
Beliau berkata, walaupun tidak dapat mengesahkan maklumat tersebut pihaknya percaya perkara itu masih terkawal dan akan ditangani Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Setakat ini, saya tidak terima maklumat berhubung kaitan ini (JI dengan parti pembangkang). Jadi, saya tidak boleh katakan ia benar kerana perkara ini sensitif," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Cawangan Khas Bukit Aman mengenai terdapat pengganas JI dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti pembangkang selain cuba menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang seperti dilaporkan Bernama semalam.
Menurut Ketua Penolong Pengarah E2, Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, Datuk Mohd. Sofian Md. Makinuddin yang membuat pendedahan itu, pihaknya mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.
Malah, kata Mohd. Sofian, beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand dipercayai mengadakan pertemuan sulit dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, bagi memastikan orang ramai mendapat gambaran sebenar mengenai isu-isu keselamatan terkini, polis dicadangkan mengadakan pertemuan dengan media setiap minggu agar maklumat yang lebih jelas dan tepat dapat disiarkan.
Ujar beliau, pihaknya juga akan mencari pendekatan supaya kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan mereka dapat dikurangkan sejajar dengan penurunan kadar jenayah.
/hwa: utusan.com.my | 21/7/12 

Tiada ulasan: