SYARIKAT Bekalan Air Selangor (Syabas)
mengumumkan akan menghantar kertas cadangan kepada Suruhanjaya
Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melaksanakan catuan air di Kuala
Lumpur, Klang dan Hulu Langat.
Pendekatan catuan merupakan penyelesaian untuk menyelesaikan krisis
air dan membolehkan pihak Syabas merangka jadual sistematik untuk
pengagihan air kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Krisis air semakin memuncak apabila seramai 7.8 juta pengguna di
Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan menerima kesan daripada isu
ini. Kekurangan kapasiti bekalan air mula dialami kerana peningkatan
permintaan air tidak diiringi dengan pembangunan kapasiti bekalan air.
Kesan krisis air sudah mula dirasai. Dalam tempoh 17 Mei 2012 hingga 8
Julai 2012 sebanyak 8,597 aduan telah diterima berkaitan ketiadaan air
dan tekanan rendah.
Sebanyak 129 projek perkilangan yang menawarkan lebih 12,000 peluang
pekerjaan di Selangor tidak dapat dilaksanakan berikutan bekalan air
yang dirawat tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi pihak
industri.
Syabas mendakwa isu ini berlaku disebabkan kekurangan bekalan air
yang dirawat berpunca daripada keengganan kerajaan negeri Selangor
melulus dan melaksana projek menambah bekalan air terawat.
Ini termasuklah keengganan kerajaan negeri mengeluarkan arahan
pembangunan (DO) kepada projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2
(Langat 2) dan mewartakan pelarasan tarif seperti yang ditetapkan dalam
perjanjian tarif.
Kerajaan negeri menjawab dengan penuh alasan menidakkan keperluan
Langat 2 dengan mengatakan sumber air di Selangor adalah mencukupi
dengan mengambil contoh tujuh empangan yang penuh. Bahkan kata kerajaan
negeri, Selangor boleh menggunakan air lombong, tasik dan air bawah
tanah sebagai sumber air tambahan.
Selangor juga mahukan penstrukturan semula industri air sebagai jalan
keluar memastikan bekalan air bersih di Lembah Klang mencukupi.
Rakyat Selangor merasa dukacita kerana Menteri Besarnya, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim tidak faham atau buat-buat tidak faham terhadap isu
ini.
Isu utama di sini adalah bekalan air yang dirawat adalah tidak
mencukupi bukan soal air mentah dari sungai, tasik dan sebagainya.
Bekalan air mentah di Selangor sudah pun selesai dengan adanya
penyaluran dari Pahang.
Persatuan Air Malaysia (MWA) merumuskan bahawa air mentah tidak dapat
digunakan jika ia tidak dirawat di Langat 2. Sebanyak 34 loji rawatan
air sedia ada di Selangor hanya mampu menghasilkan 4,471 juta liter air
dan keperluan setiap hari adalah 4,322 juta liter.
Rizab kapasiti rawatan dengan hanya 3 peratus adalah sesuatu yang kritikal sedangkan rizab air yang selesa adalah 20 peratus.
Berdasarkan dari kajian, tiada projek rawatan air yang baru
dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor. Terkini Kerajaan Persekutuan
telah membiayai pembangunan loji Air Sungai Labu yang siap pada akhir
tahun 2011. Kerajaan Persekutuan juga membiayai Projek Penyaluran Air
Mentah dari Pahang Ke Selangor.
Rakyat tidak akan melupakan krisis air 1998 yang berpunca dari
fenomena El Nino yang menyebabkan seramai 1.8 juta penduduk menerima
catuan air di sekitar Lembah Klang.
Menerima kedatangan Ramadan dan Syawal dengan berita catuan air bukan
sesuatu yang menggembirakan. Beratur panjang menunggu lori bekalan air,
bergegas dengan masa menyiapkan keperluan berbuka puasa dengan air yang
dicatu adalah sesuatu yang trauma dan menyedihkan.
Mengapakah kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan
Air (KeTTHA) dilihat keseorangan dalam memaklumkan kepada rakyat dalam
isu kekurangan air terawat. Kerajaan negeri pula bersikap seolah-olah
tidak ambil kisah terhadap isu kekurangan air. Rakyat juga menunggu
kenyataan dari Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenai jumlah bekalan
air mentah di Selangor.
Kita juga mahukan pandangan syarikat yang merawat air seperti
Konsortium ABBAS, Syarikat Pengeluar Air Holdings Berhad (SPLASH) dan
Sungai Harmoni Sdn Bhd untuk memaklumkan kepada rakyat berkenaan
kapasiti pengeluaran air terawat yang telah mencapai maksimum dan tidak
mencukupi untuk masa hadapan.
Kesan catuan air tidak mengira fahaman politik. Ia merentasi batas
bangsa dan status seseorang. Sebab itu sesuatu yang pelik apabila
kerajaan negeri tidak mahu meluluskan arahan pembangunan pembinaan
Langat 2 sedangkan kerajaan negeri juga mempunyai kepentingan secara
langsung dan tidak langsung dalam Konsortium ABBAS, SPLASH dan Sungai
Harmoni Sdn Bhd. Bahkan Kerajaan Negeri mempunyai pegangan dalam 30%
dalam Syabas menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Persoalannya adakah kerajaan negeri tidak mendapat nasihat
profesional yang betul daripada pengurusan syarikat berkenaan atau
semata-mata mempertahankan 'ego politik'.
Rakyat sudah jelak dengan tindakan kerajaan Selangor yang
mempolitikkan isu air. Rakyat tidak sepatutnya menerima kesan akibat
'ego politik'.
Nampaknya penyelesaian isu air memerlukan 'political will' yang kuat.
Rakyat menerima mesej bahawa kepimpinan negeri Selangor mesti bersama
fikrah politik dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan. Dalam pilihan
raya umum ke-13 nanti, tentunya rakyat akan memberi jawapan. Kita
buktikan.
/hwa: utusan.com.my | 21/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan