PERISTIWA seorang lelaki mendakwa dirinya Imam
Mahadi memasuki perkarangan Putrajaya, mengugut anggota keselamatan
dengan pedang merupakan salah satu perbuatan agresif yang dilakukan oleh
pergerakan ajaran sesat yang radikal.
Terdapat kumpulan ajaran sesat dalam negara ini dipengaruhi oleh
pemikiran golongan ekstremis Syiah yang mendakwa diri mereka sebagai
pengikut Imam Mahadi.
Kumpulan Al-Arqam misalnya, mendakwa Ustaz Ashaari Muhammad sebagai
Imam Mahadi dimana para pengikutnya beranggapan bahawa setiap arahan
daripadanya perlu dipatuhi tanpa sebarang bantahan.
Umat Islam mempercayai kewujudan Imam Mahadi sebelum berlaku hari
kiamat. Beliau ialah seorang pemimpin yang tinggi darjat keimanan
menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman sebelum kedatangan Nabi
Isa ketika hampir berlaku hari kiamat.
Permasalahan yang wujud di kalangan golongan Islam yang fanatik ialah
mereka beranggapan bahawa ketua atau pemimpin mereka sebagai Imam
Mahadi.
Pemikiran begini mempunyai persamaan dengan pengikut ajaran Syiah
yang beranggapan bahawa imam atau pemimpin mereka adalah maksum (suci
dan terpelihara daripada melakukan sebarang dosa) dan imam memainkan
peranan sama dengan tugas para nabi iaitu memimpin manusia dalam
kepimpinan dan kerohanian. Mereka mempercayai bahawa imam atau pemimpin
itu mesti dilantik oleh imam sebelumnya.
Mereka menegaskan bahawa setiap umat Islam wajib mengetahui imam
ketika zamannya. Jika jahil atau tidak mengetahui imam tersebut maka ia
mati dalam keadaan jahiliah. Setiap arahan imam wajib ditaati
sepertimana mentaati nabi dan rasul. Sesiapa yang mengingkari kewibawaan
imam bererti mengingkari perintah Allah dan beliau adalah kafir
musyrik.
Mereka beranggapan bahawa para sahabat Rasulullah SAW seperti Abu
Bakr, 'Umat al-Khattab, 'Uthman, Mu'awiyah sebagai kafir kerana tidak
melantik Ali sebagai khalifah.
Pada akhir abad ke-7 penganut Syiah yang fanatik seperti Kaysaniyyah
mendakwa Muhammad ibn al-Hanafiah (anak Saidina Ali dengan isterinya
bernama Hanafiyah ) sebagai Imam Mahadi. Sesiapa yang menentang dan
tidak berkongsi idea dengan kumpulan mereka akan dibunuh. Dakwaan mereka
ditentang oleh Muhammad ibn Hanafiah dan menafikan dirinya sebagai Imam
Mahdi.
Pengaruh pemikiran golongan ekstremis Syiah begini menular di
kalangan penganut Ahli Sunnah wal-Jama'ah secara jelas sejak 1970an di
Mesir dimana kumpulan radikal Islam yang dikenali sebagai Takfir
wa'l-Hijrah mendakwa pemimpin mereka, Shukri Mustafa sebagai Imam
Mahadi. Kumpulan ini menyisihkan diri daripada masyarakat Mesir dan
membina penempatan mereka di kawasan gurun, gua, bukit, tepi sungai dan
sebagainya.
Shukri mengharamkan pengikutnya daripada memasuki universiti, kolej
dan sekolah di Mesir walaupun institusi pendidikan tersebut mengajar
agama Islam. Beliau menuduh guru-guru dan pensyarah di institusi
tersebut sebagai munafik dan murtad. Sembahyang Jumaat bersama dengan
imam di masjid-masjid di Mesir adalah haram kerana masyarakat Mesir
dianggap olehnya sebagai masyarakat jahiliah.
Beliau menyatakan bahawa pengikutnya perlu menghindarkan diri
daripada menunaikan sembahyang Jumaat kerana mereka berada dalam masa
yang lemah sepertimana Rasulullah berada di Mekah ketika permulaan
pendakwahan Islam.
Ahli-ahli kumpulan tersebut tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki
dan wanita Islam Mesir kerana masyarakat Mesir adalah jahiliah. Shukri
beranggapan bahawa keseluruhan dunia adalah jahat. Oleh itu, ia
memerlukan pemimpin yang istimewa untuk membentuk satu kumpulan Islam
yang boleh membentuk satu masyarakat Islam yang tulen.
Shukri juga mendakwa dirinya Imam Mahadi dan pewaris dunia yang boleh
membentuk masyarakat yang baru untuk menakluki keseluruhan dunia.
Beliau menyatakan bahawa dia seorang sahaja yang memahami rahsia makna
al-Quran dan setiap perkataan yang tersirat di dalamnya.
Pengikutnya menaikkan tarafnya sebagai orang yang mempunyai kuasa
paling tinggi. Pengikutnya tidak mempercayai bahawa beliau telah mati
digantung oleh rejim kerana Allah telah melantiknya dan kumpulannya
untuk memelihara Islam. Oleh itu, kerajaan tidak boleh mengambil
nyawanya selama mana masyarakat Islam yang tulen tidak dapat dibentuk.
Persoalannya adakah pengaruh pemikiran radikal kumpulan ini menular
dalam negara ini terutama dalam era teknologi komunikasi yang canggih?
Hakikatnya, sejak pertengahan 1970an terdapat pelbagai pergerakan
fanatik Islam menonjolkan ciri-ciri seperti pergerakan Takfir
wa'l-Hijrah dalam negara ini. Pelbagai dilema dihadapi masyarakat Islam
terutamanya berkaitan perpaduan Islam, fanatik terhadap pemimpin
kumpulan, pemisahan masjid berdasarkan kepada perbezaan parti politik,
pengharaman sembelihan binatang yang dilakukan oleh umat Islam yang
dianggap kafir dan penyisihan individu yang tidak sama haluan ideologi
politik.
Dalam tahun 2011 dan 2012 suasana kegiatan radikal yang dilakukan
pergerakan radikal di Mesir dipertontonkan oleh pergerakan Islam dalam
negara ini dalam bentuk yang lebih memusnahkan maruah agama dan bangsa.
Kefanatikan yang diamalkan sebelum ini dipertontonkan dalam bentuk yang
paling liberal sehingga hak dan keistimewaan agama dan umat Islam
tercabar.
Jika seorang lelaki menghunus pedang mendakwa dirinya Imam Mahadi
merempuh masuk perkarangan Putrajaya maka perbuatan itu tidak sehebat
pemberontakan yang memusnahkan harta benda dalam negara yang aman. Ia
hanya merupakan tempias kepada fenomena pemikiran yang terlalu fanatik
kepada ketua dan kehebatan diri sehingga hilang pertimbangan akal akibat
terlalu 'ujub (rasa diri hebat).
Berdasarkan kepada suasana masa kini maka umat Islam perlu
berhati-hati dalam pembentukan sistem pemerintahan dan pentadbiran
negara supaya keamanan dan kemajuan yang dinikmati kini tidak terkubur
dalam tangan parti politik yang tidak mempunyai prinsip dan objektif
yang mantap.
/hwa: utusan.com.my | 21/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan