Ribuan umat Islam menunaikan solat tarawih di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, malam tadi. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
*****
KUALA LUMPUR 20 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan
perpecahan umat Islam akibat daripada perbezaan dan ideologi politik
merupakan salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan Islam di
negara ini.
Menurut Perdana Menteri, musuh-musuh Islam sentiasa berusaha untuk
memecah belah umat Islam kerana mereka sedar kekuatan Islam selama ini
banyak bergantung kepada perpaduan yang terbina erat.
Justeru, beliau menyeru umat Islam supaya menguatkan lagi perpaduan
ummah kerana ia merupakan asas kekuatan umat Islam pada masa depan.
‘‘Untuk itu inspirasi perpaduan daripada peristiwa Perang Badar yang
berlaku pada 17 Ramadan harus dijadikan pedoman oleh umat Islam secara
menyeluruh. Yakini bahawa kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang
apabila terciptanya perpaduan di antara yang memimpin dengan yang
dipimpin,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Ramadan di blognya, http://1malaysia.com.my.
Ujar Najib, perbezaan pendapat dan ideologi perlu diketepikan demi
perpaduan ummah yang akan membawa seluruh umat Islam di negara ini ke
suatu dimensi baru yang lebih baik pada masa mendatang.
Menyentuh tentang kedatangan 1 Ramadan yang disambut umat Islam di
negara ini esok (hari ini), Najib berkata, Ramadan adalah bulan
perjuangan menentang hawa nafsu dan umat Islam perlu menginsafi diri
dengan membantu para fakir miskin, anak-anak yatim dan orang yang kurang
bernasib baik.
‘‘Perbuatan membazir haruslah dielakkan. Sikap suka bersedekah mestilah dipupuk. Zakat fitrah pula janganlah dilupakan.
‘‘Bulan Ramadan adalah merupakan bulan kemuliaan dan penuh keberkatan
yang dikurniakan Allah kepada umat Islam untuk diambil peluang bagi
meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dengan pelbagai ganjaran pahala yang
berlipat kali ganda.
Jelasnya, ibadat puasa yang dilakukan dengan penuh kesempurnaan sudah
pasti mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa
menjadi lebih tenang dan seterusnya membentuk diri menjadi seorang hamba
yang bertakwa kepada Allah.
‘‘Akhirnya, jangan kita lupa untuk mencari kerahmatan di malam
lailatul qadar yang mempunyai ganjaran kebaikan bersamaan seribu bulan
dan rahmat keampunan daripada Allah. Selamat menyambut Ramadan dan
selamat menunaikan ibadah puasa,’’ katanya.
/hwa: utusan.com.my | 21/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan