23 Julai 2012

Oren: Pak Lah kecewa gambar diguna

KEPALA BATAS 20 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kumpulan Himpunan Oren kerana menggunakan gambar beliau pada poster himpunan tersebut.
Beliau berkata, tindakan kumpulan itu telah menjatuhkan dan memburukkan imejnya sebagai bekas Perdana Menteri.
"Saya rasa tidak seronok langsung apabila mereka guna nama dan gambar saya di poster sedangkan saya tiada kaitan langsung dengan perhimpunan itu.
"Mereka tidak sepatutnya buat macam itu dan jangan ambil kesempatan. Saya sangat kecewa dengan tindakan mereka kerana dalam blog-blog tersebar cerita mengenai saya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Kepala Batas di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penaga dekat sini.
Abdullah menyatakan demikian ketika diminta mengulas tindakan kumpulan tertentu yang menggunakan gambar beliau dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, pada poster Himpunan Oren yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Himpunan Oren anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) disertai 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai tanda bantahan terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) di Bursa Malaysia.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ketika ditanya mengenai penyenaraian FGV berkata, beliau tidak pernah menentang penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.
"Saya sentiasa menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan penyenaraian FGV itu adalah sesuatu yang bagus," ujarnya.
Terdahulu Abdullah menyampaikan cek pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada 256 kepada peniaga kecil berjumlah RM246,000.
/hwa: utusan.com.my | 21/7/12 

Tiada ulasan: