23 Julai 2012

Usah politikkan ketuanan Melayu

KUALA LUMPUR 20 Julai - Istilah ketuanan Melayu tidak harus diputarbelitkan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan politik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, istilah tersebut sering menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat negara ini berikutan tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu.
"Istilah ini bukanlah perkara baru, ia bagi menggambarkan orang Melayu adalah etnik asal dan seharusnya mendapat hak-hak istimewa berbanding kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Sebenarnya isu ketuanan Melayu digunakan pihak tertentu untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu dengan harapan selepas ini tidak ada lagi satu kaum yang mempunyai kelebihan atau keutamaan," katanya.
Beliau berucap pada majlis Pelancaran dan Diskusi Buku, 'Masih Adakah Ketuanan Melayu?' dan 'Cabaran Saudara Baru di Malaysia' terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D), di sini hari ini.
Buku berjudul 'Masih Adakah Ketuanan Melayu?' dijual dengan harga RM28 (Semenanjung) dan RM31 (Sabah dan Sarawak) manakala 'Cabaran Saudara Baru di Malaysia' berharga RM26.80 (Semenanjung) dan RM29.80 (Sabah dan Sarawak). Kedua-duanya adalah hasil karya Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dan Naib Canselor Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Nor.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar.
Menurut Ahmad Zahid, apa yang diperjuangkan oleh kelompok tersebut ialah mahu memastikan setiap rakyat mendapatkan hak yang sama.
"Apabila wujud keadaan ini, seperti sedia maklum, orang Melayu dan bumiputera masih belum mencapai tahap yang disasarkan. Akhirnya, siapakah yang mendapat keuntungan besar?.
"Justeru, sudah sampai masa kita tidak terlalu berpolitik sesama sendiri sehingga melupakan kepentingan masa depan negara," jelasnya.
Istilah ketuanan Melayu kata beliau, masih relevan jika ia bermatlamat untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat itu secara keseluruhan dan bukan segelintir sahaja.
/hwa: utusan.com.my | 21/7/12 

Tiada ulasan: