NAJIB Tun Razak bersama tuan rumah
Kamarun Helan Jaafar Sidek (empat kanan) melihat papan tanda penerima
bagi program Skim Bantuan Kasih Felda di Kampung Air Hitam di Jerantut,
Pahang, semalam. Memerhatikan ialah Mohd. Isa Abdul Samad (tiga kanan)
dan Ahmad Maslan (dua kanan). - BERNAMA
*****
JERANTUT 20 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan sebanyak 12,000 buah rumah di kampung-kampung tradisional
sekitar 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara bakal dibaik pulih
menerusi peruntukan RM60 juta di bawah Skim Bantuan Kasih Felda.
Perdana Menteri yang melancarkan program berkenaan di Felda Padang
Piol di sini hari ini berkata, menerusi fasa pertama program berkenaan,
sebanyak 4,000 buah rumah akan dibaiki tahun ini melibatkan peruntukan
RM5,000 setiap unit mengikut garis panduan ditetapkan Yayasan Felda.
"Kita akan cuba percepat program ini supaya lebih ramai dapat
nikmatnya kerana jumlah yang diumum hari ini adalah permulaan dan jika
ada rezeki lebih kita akan tambah lagi.
"Ini kerana falsafah kita adalah untuk membolehkan kejayaan Felda
tidak hanya dirasai peneroka sebaliknya dikongsi rakyat teramai,"
katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Program Skim Bantuan Kasih Felda merupakan ilham Perdana Menteri yang
diumumkan pada Program Sejahtera Peneroka sewaktu pengumuman durian
runtuh di Jengka Lapan, dekat sini, pada 8 Mei lalu.
Sementara itu, Najib berkata, Skim Bantuan Kasih Felda dirancang
kerana kerajaan sedar di sekeliling tanah rancangan masih mempunyai
kampung-kampung lama dan tradisi yang mana kehidupan sebahagian
penduduknya tidak sebaik peneroka di tanah rancangan.
Namun, katanya, kejayaan yang dikecapi peneroka hari ini tidak harus
menimbulkan rasa iri hati mana-mana pihak kerana mereka telah berjuang
menghadapi segala cabaran bergelar peneroka selama berpuluh-puluh tahun.
"Kalau hari ini peneroka dapat rezeki lebih, kita jangan iri hati.
Peneroka telah berjuang separuh abad, kalau tak tabah, ada lari balik
kampung. Yang lari dari Felda kini menyesal seribu kali apabila
pendapatan bersih bulanan peneroka mampu cecah RM5,000. Itu tak termasuk
dividen Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan insentif lain termasuk
durian runtuh.
"Tunggu seminggu dua lagi, duit raya saya jamin dapat. Bonus pun
dapat. Duit raya siapa setia bersama Felda dia dapat lebih. Cuma yang
buat saya darah mendidih apabila yang fail injunksi (halang
penyenaraian), dia dulu pergi ambil duit," jelasnya.
Dalam ucapannya, Najib turut mengingatkan peneroka mengenai
kepentingan memilih kerajaan yang mampu memastikan dasar yang
diperkenalkan mempunyai kesinambungan bagi membolehkan misi dan visi
yang ditetapkan dapat dicapai.
Katanya, ia dapat dilihat menerusi kejayaan Felda yang mana banyak
negara termasuk di benua Afrika cuba meniru konsepnya namun gagal kerana
di negara berkenaan tidak mempunyai kestabilan politik sehingga
menyukarkan kesinambungan dasar.
"Nak sampai ke sini kena separuh abad baru kita dapat lihat gagasan Felda. Kalau asyik ubah macam mana kita nak dapat.
"Sebab itu kita mesti ada kesinambungan dalam perjuangan dengan
syarat kita ada kerajaan yang tahu tadbir, ada misi dan semangat daya
juang dari dahulu sampailah hari ini, yang mana kita tak jemu-jemu
berjuang untung nasib rakyat," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 21/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan