KUALA LUMPUR 23 Julai - Tindakan pakatan
pembangkang yang sering memburuk-burukkan usaha kerajaan membantu rakyat
jelas menunjukkan sifat terdesak mereka demi meraih sokongan politik.
Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata, dalam keadaan
rakyat semakin bijak menilai dan menjiwai perjuangan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) melalui gagasan
1Malaysia, pembangkang terpaksa berbuat sesuatu termasuk menghalang
usaha-usaha baik kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat.
Hakikatnya beliau berkata, Perdana Menteri serta kerajaan BN melalui
gagasan 1Malaysia sentiasa mendahulukan kesejahteraan, kepentingan dan
kemakmuran rakyat.
"Justeru saya berpandangan apabila mahu meningkatkan taraf hidup
rakyat, tidak perlu kita layan isu-isu remeh-temeh yang cuba
dibangkitkan oleh pihak pembangkang. Saya juga amat yakin rakyat kini
lebih bijak memahami, mendalami dan menjiwai perjuangan BN dan Perdana
Menteri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri berkata, walaupun pembangkang tidak
menyokong kerajaan tetapi mereka tidak boleh menghalang usaha baik yang
dilakukan demi kepentingan rakyat.
Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn ketika
memberikan reaksinya pula berkata, sifat pembangkang di Malaysia
sememangnya begitu kerana matlamat perjuangan mereka hanyalah politik
semata-mata.
"Inilah strategi pihak pembangkang. Meskipun satu-satu projek itu
baik untuk rakyat, mereka akan sedaya upaya memutar belitkan isu agar
projek itu dilihat buruk.
"Terdapat dua contoh projek yang telah diputar belit oleh
pembangkang. Pertama, pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Lynas
Corporation dan kedua, penyenaraian Felda Global Ventures Holdings
(FGV) di Bursa Malaysia," katanya.
Beliau berkata, walaupun berusaha memutar belit fakta isu Lynas dan
FGV, jelas yang kedua-dua projek berkenaan itu banyak memberikan manfaat
kepada rakyat.
"Inilah 'hebatnya' pembangkang. Mereka memang bijak untuk putar belit
isu berbanding BN. Kita di sebelah sini tidak ada kemahiran tersebut.
Mungkin disebabkan mereka terlalu lama menjadi pembangkang," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 24/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan