KUALA LUMPUR 23 Julai - Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan
hari ini tetap mempertahankan fakta berhubung kesediaan Karpal Singh
berkompromi untuk melaksanakan hukum hudud walaupun ia disanggah oleh
Pengerusi DAP itu.
Bukan itu sahaja, malah Nasrudin turut mempertahankan fakta yang
menyatakan bahawa Pas merupakan parti dominan dalam pakatan pembangkang.
Sehubungan itu beliau mencabar mana-mana pihak menganjurkan satu lagi
perdebatan sekiranya mereka mendakwa dua fakta yang dikemukakannya itu
ketika berdebat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ulama Muda Malaysia
(Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya pada Khamis lalu sebagai satu
pembohongan.
''Kedua-dua fakta ini saya kemukakan dalam debat. Sepatutnya kalau ia
satu pembohongan maka ia perlu dipatahkan dalam debat tersebut. Jika
mereka tidak berpuas hati aturkan satu lagi siri debat terbuka dan
jemput kami.
''Kita selesaikan perkara ini dalam gelanggang. Bukan bising di luar
gelanggang. Banyak tugas yang terpaksa saya fokus untuk membangunkan
umat ini berbanding melayan kerenah UMNO yang sukar menerima realiti,''
katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebenaran dua fakta
tersebut ekoran kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Seputeh, Mohd.
Razlan Mohd. Rafii yang mendakwa Nasrudin telah berbohong.
Mohd. Razlan berkata, tindakan Nasrudin memutarbelitkan fakta
berhubung kompromi Karpal terhadap hukum hudud adalah serius dan
menuntut penjelasan sewajarnya.
Beliau berkata, Pas bukan parti dominan, sebaliknya DAP lebih dominan berbanding parti itu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu Karpal dalam kenyataannya di sebuah akhbar berbahasa
Inggeris kelmarin membidas Nasrudin dengan menegaskan yang beliau tidak
pernah berkompromi dalam soal melaksanakan hukum hudud.
Karpal berkata, ia juga merupakan pendirian DAP secara keseluruhan
dan pelaksanaan hukum hudud tidak pernah dirunding dalam sebarang bentuk
perbincangan.
Dua fakta berkenaan telah dikemukakan oleh Nasrudin ketika beliau dan
Fathul Bari berdebat dalam satu program perdebatan anjuran akhbar
tempatan yang bertajuk; ''Pilihan Raya Umum Ke-13: Orang Muda Pilih
Siapa?".
Mengulas lanjut Nasrudin berkata, mereka yang hanya tahu bising di luar gelanggang merupakan yang kalah dan lemah.
''Tidak perlu menggelegak di luar gelanggang. Meraung di luar gelanggang adalah sifat orang kalah dan lemah,'' katanya.
Menjawab satu soalan, Nasrudin berkata, beliau dan Dewan Pemuda Pas
sedia berhadapan dengan mana-mana pihak sekiranya penganjuran satu lagi
siri debat benar-benar diadakan.
''Dewan Pemuda Pas sedia dengan siapa jua dan kita akan tengok serta bersedia menghantar regu yang sesuai,'' katanya lagi.
/hwa: utusan.com.my | 24/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan