KENYATAAN Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram,
Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan
syarahan Bicara Tokoh di Kuala Terengganu baru-baru ini, membuka minda
kita untuk melihat dengan lebih luas akan aspek pembangunan negara ummah
dalam konteks Islam yang lebih luas.
Apatah lagi, dalam kenyataannya itu, Dr. Sulaiman yang Profesor
Jurusan Akidah, Mahzab dan Firaq, Universiti Ummul Qira, Mekah itu turut
memberi amaran akan bahaya anasir yang memecah belah perpaduan ummah,
serta ancaman rusuhan jalanan dalam usaha menjatuhkan pemimpin Islam.
Kehadiran Dr. Sulaiman melengkapkan lagi perbincangan yang menyentuh
mengenai Maqasid Al Syariah yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Malam Jasamu Dikenang,
Allahyarham Ustaz Nik Mohamed Mohyideen Wan Musa di Kolej Islam Sultan
Ahmad Shah, Klang baru-baru ini.
Kata Perdana Menteri, perjuangan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah
berteraskan kepada tuntutan Islam berdasarkan konsep Maqasid Al
Syariah.
Maqasid Al Syariah yang khusus menyentuh mengenai perbincangan
keutamaan dalam bersyariah ini, memberikan petunjuk yang jelas berhubung
kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes
berkaitan dengan kemaslahatan umat; yakni, yang menyentuh secara
langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.
Sehari sebelum itu, program Bicara TV Al Hijrah turut membincangkan
isu Maqasid Al Syariah dalam konteks Islam dalam pembangunan negara
serta keupayaannya untuk dicontohi oleh masyarakat antarabangsa.
Menurut Profesor Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penyelidik,
Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA),
mencerakinkan apa yang dimaksudkan Maqasid Syariah, dengan bahasa
mudahnya adalah mengambil kebaikan dan meninggalkan kemudaratan.
"Asas utama Islam adalah keadilan dan ihsan. Allah menyeru kita untuk
berbuat keadilan dan bersikap ihsan. Antara ulama terawal yang
membincangkan Maqasid Syariah, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya
'Al-Mustashfa'," katanya.
Imam Ghazali, jelas Dr. Asyraf, membincangkan lima perkara pokok yang
perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri; yakni, agama, diri,
akal, keturunan dan harta.
Hujah ini diperkuatkan dengan kenyataan Dr Ahmad Al-Raisunni, yang
menyeru kepada perspektif lebih besar, dengan merujuk kepada prinsip
asas Islam yang menekankan kepada manifestasi keadilan dan kebajikan.
Walaupun Maqasid Al Syariah diangkat dari pemikiran Islam, apakah
kandungannya relevan untuk sebuah negara bangsa pelbagai etnik seperti
Malaysia?
Isu ini diperjelas Datuk Fuad Hassan , Ketua Pengarah, Jabatan Hal
Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan,
dengan menyentuh mengenai Perlembagaan Fasal 3 (1).
"Fasa ini ada menyebut bahawa Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan.
Semasa memorandum dihantar untuk perbincangan kemerdekaan dahulu, apakah
muslihat tidak meletakkan Malaysia sebagai negara Islam ketika itu?"
Menurut Fuad, hal ini berlaku kerana pada ketika itu,
tuntutan-tuntutan untuk mencapai kemerdekaan terdiri daripada gabungan
antara kumpulan yang bukan Islam, mewakili kaum Cina, India dan Melayu
sendiri.
Jadi katanya, bagi memudahkan tuntutan mencapai kemerdekaan dengan
cepat, maka pada masa itu, dasar yang menyatakan Malaysia negara Islam
ditukar kepada Islam sebagai agama rasmi.
Dalam Maqasid Syariat, diutamakan mendahulukan sesuatu yang baik bagi
memastikan hasilnya membawa kebaikan kepada umat manusia secara
keseluruhannya. Konteks rundingan kemerdekaan itu sendiri bertolak
kepada kebijaksanaan pemimpin pada waktu itu yang melihat kepada
mendahulukan yang lebih penting.
"Dalam konteks pembangunan negara, kayu ukurnya ialah rakyat. Apa
yang penting tentunya konsep keharmonian, kebahagiaan dan kesenangan
rakyat yang dijadikan asas utama kerajaan dalam melaksanakan sesuatu
matlamat," kata Fuad.
Meluaskan lagi perbincangan Bicara malam itu, Dr. Asyraf menyentuh
mengenai pendekatan wasatiyah yang turut didokong oleh Perdana Menteri.
Prinsip wasatiyah, katanya, mengimbangi pandangan ekstremisme
beragama dalam pelbagai isu, dan amat diperlukan dalam persekitaran
negara membangun.
"Konsep wasatiyah menyeru kita untuk membangunkan rakyat dan negara
dengan meletakkan aspek keharmonian dan keamanan sebagai keutamaan,"
katanya.
Wasatiyah dalam konteks semasa juga, katanya, memfokuskan pembangunan
ummah dalam konteks ekonomi, bagi menjamin kualiti hidup yang aman dan
selesa.
Kesederhanaan dalam berwasatiyah, menjadikan kita melihat jauh ke
hadapan terutama dalam mengukuhkan ekonomi rakyat berbanding
fikiran-fikiran dengan ideologi sosial dan politik yang ekstrem.
Mengenai Malaysia sebagai negara Islam contoh pula, Fuad menjelaskan,
negara ini menjadi contoh bukan dalam aspek tertentu sahaja, tapi boleh
dilihat secara keseluruhannya.
"Ada negara yang maju kerana hasil petroleum tetapi kadar literasinya
rendah, malah ada negara yang maju kerana sistem autokrasinya, tetapi
menenggelami masalah kadar pengangguran yang tinggi serta kekerasan
dalam hak asasi, tetapi Malaysia, jauh mendahului hingga ke tahap
pertumbuhan ekonomi," jelasnya.
Selain itu, katanya, sikap umat Islam yang amat sederhana serta
bertoleransi tinggi, menjadi resipi utama kemakmuran hari ini. Sumbangan
kaum-kaum lain juga turut diakui.
Merujuk kepada semangat wasatiyah kerajaan, Dr. Asyraf turut
menambah, kepimpinan hari ini tidak pernah menghalang pembangunan dan
penyuburan fahaman Islam di kalangan masyarakat, melalui sokongan dana
kepada pelbagai pertubuhan Islam.
"Kerajaan mewujudkan J-QAF dan KAFA, tujuannya serampang dua mata,
bagi memastikan pelajar sekolah rendah memahami asas seperti jawi,
Al-Quran dan Fardhu Ain," hurainya.
Bicara dihoskan Pakar Motivasi, Amin Idris dan disiarkan secara
langsung dari Studio TV Al Hijrah, Kompleks Pusat Islam setiap Isnin,
pukul 10 malam.
/hwa: utusan.com.my | 24/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan