24 Julai 2012

Elak tragedi 13 Mei 1969

PUTRAJAYA 22 Julai - Pakatan pembangkang perlu mengotakan janji mereka untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan tragedi berdarah 13 Mei 1969 berulang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata, dalam hal tersebut pihak pembangkang perlu melaksanakan apa yang mereka maksudkan dan bukan sekadar memberi janji manis semata-mata.
"Saya harap mereka akan buat seperti apa yang mereka cakap. Jangan cakap tak serupa bikin," katanya kepada pemberita pada Program Berbuka Puasa Maidatul Al-Rahman di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur semalam bahawa pakatan pembangkang sedia memberi kerjasama penuh dengan BN untuk mengelakkan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 berulang.
Tengku Adnan berkata, tragedi 13 Mei terjadi akibat pihak pembangkang tidak dapat mengawal psikologi mereka selepas memenangi beberapa kawasan pada pilihan raya ketika itu.
"Mereka mula berarak di jalan raya secara beramai-ramai dan menyuruh bangsa lain untuk balik kampung, membawa penyapu serta menunjukkan aksi yang tidak sepatutnya.
"Sekiranya kita menang janganlah terlalu gembira, sebaliknya bertenang jika tidak apabila kita berada dalam sebuah kumpulan yang ramai psikologi dan keadaan ketika itu akan jadi tidak terkawal," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, disebabkan faktor tersebut, pihak kerajaan cuba menghalang daripada berlakunya demonstrasi jalanan.
Katanya, macam-macam perkara boleh berlaku ketika demonstrasi jalanan dan ramai yang tidak sedar apa yang mereka buat sehingga boleh memberikan trauma kepada sesiapa sahaja menyaksikan kejadian tersebut.
"Tindakan seperti itu akhirnya akan hanya akan merosakkan perpaduan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai agama dan budaya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 23/7/12  

Tiada ulasan: