SHAH ALAM 27 Jun - Setiausaha Politik Menteri 
Besar, Faekah Husin menafikan dakwaan peruntukan RM300 juta di bawah 
Geran Selangorku diperoleh daripada sumber yang meragukan. 
Sebaliknya, beliau menyatakan ia adalah daripada sumbangan anak-anak 
syarikat kerajaan negeri, selain keuntungan operasi Perbadanan Menteri 
Besar (MBI) menerusi pengambilalihan hutang-hutang lapuk syarikat Talam 
Corporation (Talam) dan penstrukturan semula projek Canal City.
''Menteri Besar telah menerangkan secara terperinci mengenai perkara 
ini di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada November 
2011.
''Malah, MBI dan Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) juga telah 
mengadakan pameran pada sidang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan 
di sini hari ini. 
Beliau mengulas kenyataan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor,
 Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed semalam yang menganggap tindakan 
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan mendedahkan sumber 
Geran Selangorku berjumlah RM300 juta merupakan contoh paling sesuai 
menggambarkan betapa Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu 
mengamalkan politik kotor.
Katanya, sehingga kini Abdul Khalid masih berdolak-dalik dalam 
mendedahkan sumber sebenar wang RM300 juta yang disalurkan di bawah 
geran berkenaan. 
Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang itu berkata, kerajaan negeri
 tidak menjelaskan data terperinci sumber kewangan geran berkenaan, 
selain mempersoalkan kelulusan peruntukan yang dikatakan tidak 
melibatkan pegawai kewangan negeri tetapi melalui beberapa individu 
dalam MBI termasuk Faekah sendiri. 
Faekah dalam kenyataan tersebut menyalahkan Ahli Dewan Undangan 
Negeri (ADUN) khususnya daripada BN kononnya kurang faham tentang proses
 pengambilalihan hutang Talam dan penstrukturan Canal City. 
Beliau menyatakan geran tersebut diuruskan oleh Jawatankuasa Pemandu 
yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan 
Hartanah Selangor (LPHS), Datin Paduka Alinah Ahmad. 
Katanya, jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir MBI, Rohany 
Talib, selain jurutera dan jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai 
Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas yang dilantik
 oleh Menteri Besar.
''Dakwaan Mohd. Zin bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan peruntukan adalah tidak benar.
''Menteri Besar tidak campur tangan dalam menentukan pemberian 
peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak 
berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah," ujarnya. 
Faekah memberitahu, menerusi Geran Selangorku, kerajaan negeri telah 
meluluskan sebanyak 362 projek berupa pembangunan kecil dan sederhana 
seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas seluruh 
negeri ini termasuk di kawasan yang diwakili oleh BN. 
''Kita mempunyai maklumat terperinci mengenai projek-projek ini dan telah pun memberi laporan perkembangan kepada media.
''Semua data, butiran projek serta tatacara Geran Selangorku 
dilaksanakan secara terbuka untuk semakan di Pejabat MBI," katanya. 
/hwa: utusan.com.my | 28/6/12 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan