KUALA LUMPUR 27 Jun - Pemimpin tertinggi Pas perlu tampil menyatakan 
pendirian berhubung penyebaran budaya lesbian, gay, biseksual dan 
transgender (LGBT) di negara ini.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim
 Ali berkata, Pas sepatutnya menolak mana-mana individu yang menyokong 
budaya LGBT termasuk Datuk S. Ambiga kerana ia jelas bertentangan dengan
 Islam.
"Kita tidak boleh menerima pendirian Pas yang menyatakan sokongan 
terhadap Ambiga atas kapasiti perjuangan Bersih sedangkan Ambiga juga 
menyokong budaya LGBT.
"Sikap pemimpin Pas yang hanya memilih isu tertentu ini dilihat tidak
 tegas dalam memperjuangkan Islam," katanya ketika dihubungi di sini 
hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, 
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Pas bersama-sama menyokong 
pendirian tegas kerajaan dalam menolak budaya LGBT daripada bertapak di 
negara ini jika benar parti itu memperjuangkan akidah Islam seperti 
didakwa.
Ahmad Zahid juga menuntut Pas menjelaskan pendiriannya berhubung 
ideologi pluralisme dan liberalisme yang diketahui diperjuangkan Ketua 
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun bertentangan dengan 
Islam.
Menurut Ibrahim, Pas tidak sepatutnya bersekongkol dengan Ambiga dan 
dilihat tunduk kepada pemimpin itu sedangkan mengetahui Ambiga sebelum 
ini mengguris hati umat Islam apabila terlibat dalam Suruhanjaya Antara 
Agama (IFC) yang menuntut kesamarataan antara orang Islam dan bukan 
Islam di negara ini.
Dalam isu tuntutan Bersih pula, katanya, Pas boleh menggunakan 
saluran yang lebih baik dalam menyuarakan bantahan terhadap Suruhanjaya 
Pilihan Raya (SPR) sebagai parti politik yang matang dan bukannya turut 
mengadakan demonstrasi jalanan.
"Sehingga hari ini juga, hanya ahli Pas yang memberi kenyataan 
mengenai LGBT sedangkan pemimpin tertinggi tidak berani bersuara 
barangkali kerana mahu menjaga hati Ambiga," katanya.
Ibrahim menambah, tindak- tanduk pemimpin Pas itu seolah-olah menolak
 perjuangan Islam yang dipegang sejak penubuhan parti tersebut kerana 
leka memperjuangkan kepentingan politik sendiri.
"Inilah perkara yang menyedihkan, Islam bukan lagi perkara serius dalam kepimpinan Pas," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/6/12 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan