Kapal selam Scorpene, KD Tunku Abdul Rahman.
*****
BAGAI nak rak dan 'tercabut dunia' dibuat Suara
Rakyat Malaysia (Suaram) dan pakatan pembangkang yang terus memainkan
isu rasuah dan penyelewengan dalam pembelian kapal selam Scorpene.
Kalau dikira, dalam akhbar pakatan pembangkang khususnya 'Suara
Keadilan' PKR hampir setiap minggu keluarannya memainkan isu Scorpene.
Seakan-akan semacam betul.
Dalam 'permainan licik' mereka ini, Suaram dan pakatan pembangkang
telah pergi 'agak jauh' iaitu dengan menggunakan nama mahkamah di
Perancis bagi menguatkan hujah mereka. Kononnya kes ini sedang disiasat
dan 'terdapat penemuan dokumen komunikasi dan transaksi yang menunjukkan
wujudnya permintaan rasuah secara terang-terangan'.
Malah, lebih teruk lagi pembohongan Suaram ialah kononnya juga
Perdana Menteri akan disapina dan diheret ke mahkamah Perancis. Mereka
mengaitkan pula urus niaga dan rasuah tersebut dengan pembunuhan seorang
model Mongolia.
Realitinya, memang benar ada aduan rasuah mengenai pembelian kapal
selam Scorpene dari DCNS oleh Malaysia yang dibuat oleh Suaram kepada
mahkamah Perancis. Tidak seperti di Malaysia, yang mana pihak polis atau
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertanggungjawab
menyiasat sesuatu aduan rasuah, lain pula di Perancis apabila pihak
mahkamah yang menyiasatnya di bawah arahan hakim.
Selama siasatan dibuat iaitu dalam masa dua hingga tiga tahun,
mengikut anggaran hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire yang
bertanggungjawab bagi kes ini, pihak yang terlibat tidak dibenarkan
membuat sebarang komen atau boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Sekiranya siasatan mendapati hakim memerlukan keterangan daripada
mana-mana pihak di Malaysia, maka hanya polis Malaysia yang boleh
mendapatkan keterangan daripada pihak yang berkenaan dengan kehadiran
pegawai kehakiman dari Perancis.
Oleh itu, tidak timbul soal sapina ke atas Perdana Menteri atau
sesiapa sahaja dari Malaysia untuk hadir di mahkamah Perancis.
Sekiranya, hakim mendapati terdapat keperluan untuk membawa kes ke
perbicaraan, maka beliau perlu mengemukakan permohonan kepada mahkamah
yang lebih tinggi kerana hanya mahkamah tersebut yang dapat menentukan
sama ada kes tersebut boleh dibicarakan atau tidak.
"Kerajaan Malaysia difahamkan tiada perbicaraan berlangsung di
Perancis berhubung isu kapal selam Scorpene. Justeru, tidak timbul soal
kerajaan akan memohon menjadi pemerhati," jelas Menteri Pertahanan,
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada ucapan penangguhan menjawab
soalan daripada seorang wakil pembangkang di Parlimen malam kelmarin.
Pertanyaan daripada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) itu
berbunyi: "Sama ada kerajaan Malaysia akan memohon untuk menjadi wakil
pemerhati di Mahkamah 'Tribunal de Grande Istance' Perancis untuk
mendapatkan akses kepada kertas pembuktian yang dirujuk oleh Suaram
dalam 'kes Scorpene' tersebut.
Mengimbas fakta mengenai pembelian Scorpene, kontrak perolehan dua
buah kapal selam baru berkenaan telah ditandatangani pada 5 Jun 2002
oleh kerajaan Malaysia dengan syarikat DCNS (Perancis) dan NAVANTIA
(Sepanyol) selaku pembekal kapal selam dan Perimekar Sdn. Bhd. sebagai
Project Services Provider. Nilai kontrak ini ialah 1.084 bilion Euro.
Skop kontrak terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
a) Bahagian Pertama: Antara kerajaan Malaysia dengan DCNS dan
NAVANTIA merangkumi perolehan dua buah kapal selam jenis Scorpene, pakej
Integrated Logistic Support (ILS) dan latihan untuk warga kapal selam
Scorpene. Nilai bahagian ini ialah 969.15 juta Euro.
b) Bahagian kedua: Antara Kerajaan Malaysia dengan Perimekar Sdn.
Bhd. merangkumi perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan
Projek dan pelatih-pelatih kapal selam di Perancis dan Sepanyol. Nilai
bahagian ini ialah 114.96 juta Euro.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, Kementerian Pertahanan
tidak pernah membuat sebarang bayaran komisen sama ada secara langsung
atau tidak langsung kepada mana-mana syarikat dalam perolehan Kapal
Selam Scorpene.
"Perolehan kapal selam tersebut telah dibuat secara runding terus
selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pembuat iaitu
Perancis dan Sepanyol yang telah mendapat persetujuan kerajaan
masing-masing. Kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai bahawa dua buah
kapal selam Scorpene dibeli dari Syarikat Thales International adalah
tidak benar.
"Kementerian Pertahanan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai
dakwaan penjualan dokumen yang dikatakan rahsia oleh Syarikat Terasasi
(Hong Kong) kepada Syarikat Thint Asia (Thales International) yang
didakwa bernilai 36 juta Euro. Kementerian juga tidak mempunyai maklumat
dakwaan bayaran berkala daripada Thint Asia kepada Syarikat Terasasi
(Hong Kong)," kata Ahmad Zahid lagi.
Menjawab desakan pakatan pembangkang supaya kerajaan menubuhkan
Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat proses pembelian Scorpene jika
terdapat unsur rasuah dan penjualan rahsia sulit negara, Ahmad Zahid
menjelaskan:
"Kerajaan berpendapat tidak perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk
menyiasat pembelian kapal selam itu memandangkan pembelian kelengkapan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dibuat mengikut Tatacara Pelaksanaan
Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.
"Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa
Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian yang teliti
dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM. Selain
itu, rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan
kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut.
"Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan," katanya.
Dalam hal ini, Ahmad Zahid menjelaskan, kerajaan Malaysia juga tidak
perlu menyokong usul reformasi Parlimen agar sistem Jawatankuasa Tetap
termasuk untuk pertahanan diwujudkan demi menjamin segala urusan penting
kerajaan bebas daripada rasuah dan pengkhianatan.
"Kerajaan berpendapat tidak perlu untuk menubuhkan Jawatankuasa Tetap
Parlimen untuk Pertahanan. Ini adalah kerana sebarang rancangan
pembelian kelengkapan tentera adalah dinyatakan dalam anggaran
belanjawan pembangunan yang mana dibahas dan diluluskan oleh Parlimen,"
kata beliau.
Kata Ahmad Zahid lagi: "Proses perolehan aset juga adalah tertakluk
kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan kerajaan seperti Arahan
Perbendaharaan dan Tatacara Prosedur Kewangan, manakala setiap
perbelanjaan adalah tertakluk kepada pemeriksaan dan teguran Jabatan
Audit Negara.
"Kerajaan juga berpandangan proses perolehan yang melibatkan
kelengkapan pertahanan yang strategik tidak wajar dibincangkan secara
terbuka."
Kebenaran dalam isu Scorpene sudah dinyatakan kerajaan. Namun, ia
pasti tidak diterima oleh pembangkang di negara ini. Malah, akan
diputarbelitkan lagi oleh Suaram dan pakatan pembangkang.
Apatah lagi Suaram bukanlah asing di mata rakyat - menjadi alat dan
ejen pembangkang di negara ini. Ada kalanya apabila penipuan itu terlalu
besar, ia akan menjadi raksasa yang memakan diri.
/hwa: utusan.com.my | 28/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan