HARI ini saham-saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) secara
rasmi didagangkan di Bursa Malaysia. Pada Julai depan ini, tiba pula
giliran penyenarairan Integrated Healthcare Holdings Bhd. (IHH), sayap
penjagaan kesihatan Khazanah Nasional Berhad.
Penyenaraian ini akan memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pakar perubatan tempatan dan antarabangsa.
Dwi penyenaraian IHH di Bursa Malaysia dan Singapura secara serentak
amat dinanti-nantikan oleh golongan pelabur kedua-dua negara.
Dari perspektif pelaburan, tawaran awam awal (IPO) IHH adalah tawaran
awam permulaan kedua terbesar di Malaysia selepas FGV dan keempat
terbesar di Singapura.
IHH menerusi syarikat yang dikuasainya mengendalikan 83 hospital
dengan bilangan katil berjumlah 12,316 bakal mengaut dana sebanyak RM6.9
bilion melalui IPO, yang akan digunakan untuk modal operasi.
Ini sekali gus menyaksikan Malaysia, melalui Khazanah menjadi
pengendali pusat kesihatan kedua terbesar dunia di belakang Hospital
Corporation of Amerika dengan 163 hospital.
Usaha Malaysia membangunkan dan memperkukuh industri perkhidmatan
penjagaan kesihatan negara dijangka menaikkan taraf tenaga kerja dan
perkhidmatan yang ditawarkan kumpulan penyedia perkhidmatan kesihatan
tersebut, sama ada di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa.
Tinjauan awal melaporkan bahawa Khazanah akan memperoleh keuntungan
tidak ternyata sebanyak RM4.9 bilion daripada pengapungan IHH. Jumlah
ini jauh lebih tinggi daripada harga yang dibayar semasa pembelian
Parkway tahun lepas.
Kecairan yang diterima ini akan memudahkan perkembangan IHH di rantau
ini, yang mana permintaan sektor perkhidmatan kesihatan pesat
berkembang, terutamanya untuk tujuan pelancongan kesihatan, sama ada
dalam atau luar negara.
Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menganggarkan industri penjagaan
kesihatan mampu menjana pendapatan RM9.67 bilion dengan 5,300 peluang
pekerjaan menjelang 2020.
Makmal NKEA juga menyarankan tambahan 1,900 katil bagi menampung
keperluan yang dijangka meningkat. Bagi memastikan sasaran itu tercapai,
Kementerian Pelancongan melaksanakan pelbagai langkah untuk
mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan
seperti yang dilakukan oleh Thailand dan Singapura.
Industri penjagaan kesihatan adalah antara program transformasi yang
dimulakan kerajaan hampir tiga tahun lalu, yang kini mula membuahkan
hasil, sekali gus meletakkan negara di ambang landasan pertumbuhan yang
baru.
Perkembangan ini memperlihatkan langkah transformasi yang diambil
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melaksanakan Model Baru
Ekonomi (MBE) khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kini mula
memperlihatkan hasilnya iaitu mentransformasikan Malaysia antara
penggiat utama dalam sektor penjagaan kesihatan dunia.
Penyenaraian IHH ini bermaksud Khazanah tidak sahaja memperkenalkan
penyenaraian kedua terbesar di Malaysia tahun ini tetapi turut
menyiapkan tapak untuk memajukan kebolehan negara dalam sektor
perkhidmatan pelancongan kesihatan.
Pelancongan kesihatan kini dilihat sebagai satu industri lumayan. Di
Asia Tenggara sahaja, rakyat Indonesia dan Vietnam masing- masing
membelanjakan RM1 bilion setahun untuk tujuan kesihatan di luar negara.
Apabila mengambil kira dua gergasi ekonomi Asia - China dan India,
permintaan mereka untuk perkhidmatan kesihatan di luar negara mengalami
peningkatan mendadak mengikut peningkatan taraf ekonomi mereka.
Ini kerana peningkatan taraf hidup dan populasi mereka yang semakin
menua telah mendorong kehendak pasaran kepada perkhidmatan kesihatan
berkualiti tinggi.
Dalam masa terdekat, sebanyak 1,100 katil akan ditambah di Malaysia,
angka yang terbesar di rantau ini. Ini akan menambah pegangan pasaran
Malaysia dalam industri pelancongan kesihatan.
Penambahan bilangan katil wajar diiringi pengumpulan bakat dan
kemahiran. Tenaga kerja adalah aset yang tamat berharga buat IHH.
Tenaga-tenaga mahir, sama ada doktor, jururawat dan staf kesihatan yang
lain adalah gedung bakat dan maklumat yang kini di bawah pegangan
Khazanah, dan secara tidak langsung Malaysia memiliki aset itu.
Kehadiran bakat-bakat ini mengurangkan pergantungan Malaysia kepada
tenaga asing untuk keperluan kesihatan. Malah melalui kewujudan
pemindahan teknologi dalam bidang kesihatan akan menambah baik tahap
kemahiran tenaga kerja tempatan.
Kebolehan dan kemahiran baru bidang perubatan dapat diperkenalkan
kepada warga tempatan, terutama bumiputera, dan peluang pekerjaan di
serata dunia tersedia melalui rangkaian luas hospital dan klinik di
bawah pengendalian IHH.
Pemerkasaan tenaga mahir ini akan mendatangkan kesan baik kepada
industri pendidikan tinggi kesihatan, yang juga merupakan sebahagian
perniagaan IHH.
Institusi-institusi pendidikan mereka seperti IMU akan memudahkan
pekerja-pekerja dalam bidang kesihatan di Malaysia dan Singapura
mendaftarkan diri mereka dalam program-program Pembangunan Profesional
Berterusan (CPD) seperti yang diwajibkan pihak berkuasa.
Masa hadapan pelajar-pelajar institusi ini juga bertambah cerah
kerana perkembangan IHH menyediakan lebih banyak peluang kerja untuk
mereka.
Langkah ini juga dapat mengurangkan masalah yang melanda pendidikan
tinggi dalam bidang kesihatan seperti kekurangan hospital untuk pelatih
menjalani amali dan juga peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Secara tidak langsung perkembangan IHH membawa banyak manfaat kepada
industri kesihatan Malaysia secara menyeluruh. Ia bukan sahaja memberi
kesan positif kepada ekonomi negara, ia juga memberi ruang untuk ramai
lagi rakyat Malaysia berkecimpung dalam bidang ini, dan mampu memikat
kembali tenaga pakar Malaysia yang keluar merantau untuk kembali
berkhidmat di tanah air.
Potensi dan keuntungan yang dapat diraih daripada penyenaraian IHH
bukan sekadar dana, tetapi juga peluang pekerjaan, pendidikan, dan
reputasi Malaysia sebagai sebuah negara berkemahiran tinggi dalam bidang
perkhidmatan kesihatan.
/hwa: utusan.com.my | 28/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan