TAIPING 30 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu
menggunakan tempoh mandat yang ada untuk memberi keyakinan kepada rakyat
mengenai kebolehan serta keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN)
pimpinannya terhadap rakyat.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan
Najib yang menghormati mandat lima tahun diberi rakyat untuk mentadbir
negara sebelum mengadakan pilihan raya umum adalah sesuatu yang lebih
baik.
"Tetapi ada kemungkinan pula, jika kerajaan beri masa yang panjang
(sebelum mengadakan pilihan raya umum), desakan dan tuntutan yang
bukan-bukan terhadap kerajaan akan bertambah dan mereka akan mengugut
kerajaan, jika tidak bagi ini, mereka tidak akan sokong," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim)
kebangsaan kali ke-51 di sini hari ini.
Semalam, Najib berkata tidak timbul soal BN kurang yakin menghadapi
pilihan raya umum akan datang berikutan dakwaan pembangkang yang beliau
sengaja melambatkan tarikh pilihan raya.
Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN itu menegaskan, BN diberi mandat
oleh rakyat untuk tempoh lima tahun bagi memperlihatkan kemampuan
memimpin dan mentadbir negara serta membawa kemajuan dan membela untung
nasib rakyat. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 30/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan