KETIKA berucap merasmikan Program Pemimpin
Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Kadazandusun Murut di Tambunan,
Sabah baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
melahirkan empat impiannya untuk Malaysia.
Pertama, menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, selamat dan
harmoni bagi membolehkan segala program dilaksanakan dengan lancar dan
berkesan. Kedua, untuk melakukan transformasi bandar dan luar bandar
agar rakyat mendapat pendapatan tinggi dan negara dimartabatkan sebagai
negara maju.
Yang ketiga, bagaimana Kerajaan Pusat dan negeri dapat mewujudkan
peluang yang lebih supaya di bawah langit 1Malaysia semua rakyat
mendapat peluang sebaik-baiknya untuk mencapai potensi maksimum sebagai
individu manakala yang keempat adalah mewujudkan Malaysia yang lebih
baik dan kuat bagi memastikan masa hadapan generasi muda akan terjamin.
Empat impian ini sepatutnya tidaklah terlalu sukar untuk menjadi
kenyataan jika rakyat bersatu memainkan peranan bersama dan memahami
erti yang tersurat dan tersirat di sebaliknya. Itu jugalah yang
sepatutnya menjadi hasrat dan impian kita semua iaitu ingin melihat
negara berdaulat ini menjadi kebanggaan dan tempat tumpah darah yang
tiada tolok bandingnya.
Apabila ada pihak yang mengisytihar dan mengiktiraf bahawa Malaysia
adalah sebuah negara yang aman dan selamat, maka ia sepatutnya bukan
hanya untuk dibanggakan tetapi dipertahankan serta sentiasa menjadi
keutamaan dalam apa jua yang dilakukan.
Ini juga bermakna rakyat harus menolak apa jua tindakan yang
dilakukan untuk mengganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian yang ada.
Apa juga percubaan oleh mana-mana pihak, termasuk melakukan provokasi
untuk bergaduh sesama sendiri harus ditentang. Begitu juga demonstrasi
jalanan yang mengganggu ketenteraman dan pembangunan ekonomi negara
serta menimbulkan persepsi buruk terhadap kita.
Mereka yang cintakan kedamaian dan ingin menjulang kesejahteraan
bersama, tidak akan berkompromi dengan usaha-usaha sedemikian, Tidak
pedulilah ia dilakukan oleh sesiapa pun, atas landasan apa jua pun yang
dianggap akan memulakan masalah yang menjadi duri dalam daging dan api
dalam sekam.
Mereka seperti ini harus merasa malu apatah lagi jika
memburuk-burukkan nama baik negara sendiri di negara asing dan hanya
mencari segala yang buruk untuk diketengahkan.
Isu-isu perkauman, usaha untuk memusnahkan dan menghancurkan
nilai-nilai moral yang dipersetujui bersama terutamanya yang telah sedia
ditentukan oleh agama, kebebasan seks, jenayah dan apa jua yang
seangkatan dengannya menjadi musuh untuk dihadapi bersama.
Kain-kain rentang yang mengandungi persoalan seperti mempertikaikan
nasib sesuatu kaum tanpa fakta yang sah dan rasional tidak wajar
dipaparkan secara terbuka. Menghasut kebencian, menggunakan isu seperti
azan yang dianggap mengganggu ketenteraman awam dan menyekat aktiviti
ekonomi yang dilakukan tanpa penyelesaian yang rasional seperti yang
pernah berlaku tentunya antara perbuatan yang sangat tidak wajar.
Begitu juga menggunakan blog dan kebebasan dalam media sosial untuk
melakukan kritikan terbuka sehingga menyinggung perasaan orang lain,
tentunya amat tidak rasional dan boleh mengancam impian yang dibina.
Justeru kita harus lebih matang dalam menilai dan membuat
pertimbangan dalam melihat kepada fakta yang dibentangkan oleh pihak
yang sentiasa mencari kesalahan. Rakyat yang matang dan berilmu
pengetahuan harus lebih realistik, melakukan pertimbangan yang melihat
dari semua aspek hidup dan tidak mudah terpengaruh dengan kepentingan
peribadi dan politik sesetengah pihak, walau pun atas nama agama apatah
lagi apabila api kebencian ditanam dan kilang khabar-khabar angin
menjadi sumber maklumat yang diterjemahkan sebagai fakta.
Dengan ilmu pengetahuan dan peluang belajar setinggi-tingginya
sepatutnya membuka mata untuk kita berusaha secara bersama membantu
dalam impian ini sebagai kenyataan. Kita harus menggembleng kekuatan
ilmu dan pengalaman yang ada untuk mengatasi masalah yang banyak
terdapat dalam masyarakat kita, daripada masalah jenayah yang kronik
sehingga sanggup membakar mangsa sehinggalah kepada isu-isu penderaan,
seksual, penyalahgunaan dadah, penyakit berbahaya dan sebagainya yang
harus diselesaikan bersama oleh institusi-institusi sosial yang ada
termasuk institusi agama.
Begitu juga dengan usaha untuk meningkatkan lebih kefahaman budaya
dan toleransi sesama kita untuk saling menghormati dan mempertahankannya
dalam apa keadaan jua pun perlu dibuat secara berterusan.
Jika keamanan, keharmonian, keselamatan masyarakat dan kedamaian
dapat diwujudkan, yang lain-lainnya akan ikut serta dengan sendiri di
samping semua pihak memainkan peranan masing-masing. Ini termasuklah
gerak kerja pelbagai agensi dan pihak swasta dalam membangunkan
peluang-peluang yang ada.
Bukan sahaja keseimbangan kaum dalam sektor awam, tetapi juga sektor
swasta yang harus dilakukan dengan ikhlas dan peluang sama tanpa cuba
meletakkan syarat-syarat yang awal-awal lagi sudah menyebabkan orang
lain tersingkir.
Bagi generasi muda, pelbagai peluang telah diberi. Anak-anak muda
yang kebanyakannya lahir dari generasi yang lebih senang berbanding
dengan generasi lama yang hidup dalam kesukaran, sewajarnya tidak lagi
merungut yang mereka diketepikan atau suara mereka tidak didengar.
Terlalu banyak ruang dan kebebasan yang diberi untuk mereka
bereksperimen dan mengambil kesempatan yang sewajarnya dalam
membangunkan diri dan masa hadapan yang bermakna.
Mengkritik dan berbeza pendapat tidak salah dalam tertib dan budaya
tinggi keilmuan malah amat penting untuk dilakukan penambahbaikan.
Mereka yang dikritik perlu menerima secara terbuka dan bersedia untuk
berubah apabila terbukti kesilapannya.
Namun terpengaruh dengan ajakan dan tohmahan tertentu, cepat terpaku
dengan idealisme yang menjanjikan bulan dan bintang apatah lagi sukar
berpijak di bumi nyata tentunya akan mengundang padah dan akan
menyebabkan kita terus bertelingkah.
Budi bahasa, budi bicara dan akal budi menjadi teras dalam melakukan
tindakan dalam menunaikan impian bersama. Rukun Negara menjadi landasan
untuk memastikan keharmonian yang ada tidak diremehkan.
Impian Perdana Menteri perlu dihayati bersama oleh seluruh rakyat
yang cintakan negara. Impian itu juga adalah hasrat bersama rakyat
marhaen dan mereka yang berjuang sekian lama untuk menegakkan maruah
satu bangsa, satu negara.
Tugas kita adalah terus berusaha gigih menunaikan amanah yang ada,
bukan hanya mencari kesilapan dan menuding jari. Siapa pun kita, impian
ini harus terus dipegang bersama demi negara yang dicintai ini. Biar
payah, biar sesekali terluka, kita harus bangun bersama untuk menunai
dan mempertahankan impian yang ada.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan