Presiden Mesir yang baharu, Mohammed
Mursi melihat orang ramai yang berhimpun untuk mendengar ucapannya di
Dataran Tahrir, Kaherah pada 29 Jun lalu. - REUTERS
*****
KEMENANGAN Ikhwan Muslimin pada pilihan raya
bebas yang pertama di Mesir tahun lalu dan baru-baru ini salah seorang
pemimpinnya, Mohammed Mursi menang pula pilihan raya Presiden dan
dilantik mengambil tempat Hosni Mubarak menyebabkan ramai yang teruja.
Teruja kerana buat pertama kali di Mesir, pemimpin dari aliran agama
berjaya menduduki kerusi Presiden. Teruja kerana Ikhwan Muslimin yang
terkenal sejak Perang Dunia Pertama dan terkenal kerana peranannya dalam
revolusi Mesir pada 1952 akhirnya diiktiraf melalui pilihan raya.
Umat Islam di seluruh dunia tumpang gembira dengan kejayaan Ikhwan
Muslimin. Di tangan Ikhwan Muslimin, Mesir diramal akan membuka laluan
baru kepada perkembangan Islam di Asia Barat terutama yang membabitkan
Israel, Palestin dan Iran.
Bahang kemenangan Ikhwan Muslimin dan pelantikan Mursi sebagai Presiden Mesir turut dirasai di Malaysia.
Tidak kurang juga yang menyamakan kebangkitan Ikhwan Muslimin dan
kemenangan Mursi dengan perjuangan kumpulan tertentu untuk menumbangkan
kerajaan Barisan Nasional.
Sudah ada yang mula melaungkan bahawa Malaysia perlu mencontohi apa
yang berlaku di Mesir - menggantikan pemimpin dan kerajaan sedia ada.
Tetapi benarkah senario politik di Malaysia sama seperti apa yang
berlaku di Mesir? Kenapa ada pihak yang begitu dangkal sampai gagal
membezakan sejarah politik antara Mesir dengan Malaysia?
Dalam sejarah Mesir, Mursi merupakan orang awam pertama yang dilantik
sebagai presiden. Malah pilihan raya yang menyaksikan kemenangan Mursi
itu juga merupakan yang pertama kali diadakan secara bebas dan terbuka
dalam tempoh 60 tahun.
Sedangkan dalam tempoh 60 tahun lalu, Mesir dikuasai oleh kerajaan
tentera dan langsung tidak mempedulikan suara rakyat. Memang Mesir
terkenal dengan ketamadunannya. Termasuk tamadun Islam selain memiliki
tokoh-tokoh agama dan politik tersohor.
Ramai yang menyanjung akan ketokohan pemimpin-pemimpin pejuang
seperti Hassan Al-Bana yang bertanggungjawab menghidupkan Ikhwan
Muslimin.
Tetapi perlu diingat, Al-Bana juga yang mendokong revolusi 1952
dengan menyaksikan kejatuhan pemerintahan beraja dan digantikan
pemerintahan autoritarian tentera. Al-Bana melalui Ikhwan Muslimin
merupakan penggerak menjatuhkan pemerintahan Raja Farouk yang membawa
kepada penubuhan kerajaan autoritarian pimpinan Gamal Abdel Nasser.
Tetapi selepas Nasser mendapat kuasa, Al-Bana dan Ikhwan Muslimin
dilihat sebagai pengancam dan pengacau lalu diharamkan. Hasil revolusi
yang turut didokong oleh Al-Bana itulah melahirkan pemimpin-pemimpin
autoritarian yang menguasai Mesir selama 60 tahun.
Selepas Nasser meninggal pada 1970, tempatnya diambil oleh Anwar
Sadat yang kemudiannya dibunuh dan digantikan oleh Hosni Mubarak.
Sejarah politik Mesir semuanya penuh dengan pertumpahan darah dan
huru-hara. Peralihan pimpinannya tidak pernah aman. Sentiasa saja ada
korban dan sentiasa kucar-kacir dan huru-hara.
Begitu juga dengan peralihan kuasa daripada Mubarak kepada Mursi
sekarang ini. Ia berlaku selepas terjadinya huru-hara. Dalam revolusi
rakyat di Dataran Tahrir yang bermula Januari tahun lalu,
sekurang-kurangnya 900 nyawa melayang sebelum Mubarak bersetuju
melepaskan kuasa bagi diadakan pilihan raya yang menyaksikan kemenangan
Mursi.
Jadi, di mana persamaan pemerintahan autoritarian selama 60 tahun di
Mesir dengan demokrasi berperlembagaan Malaysia yang tidak pernah gagal
memilih kerajaan baharu setiap lima tahun?
Di Malaysia bukan sahaja pemimpin negara yang dipilih melalui proses
pilihan raya, malah pemimpin parti politik juga di pilih oleh ahli.
Hanya satu parti saja di negara ini yang pemimpinnya tertingginya tidak
melalui proses pemilihan.
Jika di Mesir, ini merupakan kali pertama pilihan raya bebas
diadakan, di Malaysia ia telah diadakan sejak dari tahun 1955 - ketika
negara belum mencapai kemerdekaan.
Biarpun negara berhadapan dengan rusuhan kaum pada 1969, tetapi ia
tidak pernah dijadikan alasan untuk membatalkan pilihan raya umum.
Di Malaysia parti-parti politik bebas tumbuh pada bila-bila dengan
apa juga nama. Tidak ada satu pun yang diharamkan oleh kerajaan kecuali
Parti Komunis Malaysia (PKM). Itupun disebabkan PKM memilih perjuangan
bersenjata dan ideologinya menolak akan kewujudan Tuhan.
Berbanding dengan Mesir, Ikhwan Muslimin yang merupakan parti Islam
terbesar di dunia Arab yang ditubuhkan pada 1928, ia sering berhadapan
dengan tindakan-tindakan oleh kerajaan. Selepas perang Arab-Israel, ia
diharamkan oleh kerajaan Mesir dengan anggotanya telah dipenjarakan.
Biarpun ia membantu Nasser dalam revolusi 1952, namun selepas itu
Ikhwan Muslimin tetap diharamkan sehinggalah kebangkitan semulanya pada
2011.
Adakah parti-parti politik di Malaysia seperti Pas, DAP dan PKR
menerima nasib yang sama dengan Ikhwan Muslimin? Sejak didaftarkan pada
1955, Pas tidak pernah dihalang atau disekat daripada bertanding dalam
pilihan raya apatah lagi diharamkan.
Begitu juga dengan DAP, PKR dan parti-parti lain. Mereka bebas untuk
merekrut ahli-ahli baru pada bila-bila masa selain tidak pernah dihalang
berceramah termasuk menghentam dan membelasah kerajaan.
Keadaan itu tidak berlaku di Mesir. Malah ia belum tentu akan berlaku
walaupun kini wakil Ikhwan Muslimin dilantik sebagai Presiden kerana
pengaruh tentera masih menguasai politik negara itu.
Di Malaysia, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak pernah gagal dan
tidak pernah dihalang bertanding dalam setiap pilihan raya. Ada di
kalangan pemimpin pembangkang di negara bertanding dalam pilihan raya
sejak 1967 sampai sekarang.
Pemimpin DAP, Lim Kit Siang misalnya, sejak dari 1969 lagi sudah
menjadi Ahli Parlimen. Hingga sekarang Kit Siang masih lagi Ahli
Parlimen dan boleh dikatakan menang dalam setiap pilihan raya yang
ditandinginya.
Kebebasan dan nikmat sebagai pembangkang di negara ini itu tidak pernah dirasai oleh pemimpin pembangkang di Mesir.
Cuma bezanya sehingga kini Pas, DAP dan PKR belum mampu untuk
membentuk Kerajaan Pusat. Itu disebabkan mereka gagal mendapatkan mandat
yang cukup dari rakyat berbanding BN. Bukan sebab mereka ditindas,
dinafikan hak atau kerana Malaysia mengamalkan autoritarian.
Yang pasti, sejak pilihan raya bebas yang pertama pada 1955 hingga
kini sudah 12 kali pilihan raya umum diadakan. Sedangkan di Mesir dalam
tempoh 60 tahun baru sekali ia diadakan.
Walaupun pembangkang belum diberikan mandat oleh rakyat untuk
membentuk Kerajaan Persekutuan, tetapi beberapa negeri kini dikuasai
mereka. Kemenangan mereka diiktiraf dan diperakui oleh sistem politik
yang diamalkan di Malaysia.
Cuba lihat nasib Ikhwan Muslimin. Walaupun mereka menang pilihan raya
parlimen tahun lalu, tetapi kerjaan sementara yang disokong oleh
tentera selepas Mubarak meletakkan jawatan dengan sewenang-wenangnya
mempengaruhi hakim supaya membubar Parlimen dan seterusnya menafikan
kemenangan tersebut.
Jika Malaysia diperintah secara autoritarian seperti di Mesir,
mungkinkah Pas boleh membentuk kerajaan selama lebih 20 tahun di
Kelantan dan kemudian bersama kawan-kawan dalam pembangkang membentuk
pula kerajaan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor?
Di Malaysia peluang untuk mana-mana parti politik membentuk kerajaan
sentiasa ada. Tetapi, semuanya terletak di tangan rakyat. Di sebalik
pelbagai dakwaan bahawa pilihan raya di negara ini tidak telus, ada
penipuan, wujud pengundi hantu dan senarai daftar pemilih tidak bersih,
tetapi Pas, DAP dan PKR boleh pula membentuk kerajaan di Selangor yang
merupakan negeri terkaya di Malaysia selain menguasai Kedah dan Pulau
Pinang serta mengekalkan kuasa di Kelantan.
Realitinya situasi politik di Malaysia tidak boleh disamakan dengan
Mesir. Pembangkang di Malaysia menikmati pelbagai bentuk kebebasan dan
keistimewaan sejak dari zaman awal negara mencapai kemerdekaan. Malaysia
bukannya Mesir. Kebangkitan di Mesir kerana rakyatnya tertindas.
/hwa: utusan.com.my | 3/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan