24 Julai 2012

Isu air bukan propaganda politik

MOHD. Shafie Apdal menyerahkan bubur lambuk kepada pasukan kenderaan pacuan empat roda untuk diagihkan kepada orang ramai di Balai Berita New Straits Times Press, Bangsar, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM 
*****
KUALA LUMPUR 22 Julai - Kerajaan Pusat tidak terdesak untuk menjadikan masalah kekurangan bekalan air terawat sebagai propaganda politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-3) nanti.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, masalah itu sebenarnya sudah pun dikesan sejak tahun lalu tetapi kian meruncing apabila semakin banyak kawasan di Lembah Kelang dan Selangor mengalami tekanan air rendah.
"Tidak ada sebab mengapa masalah ini perlu dipolitikkan sedangkan banyak kawasan sudah pun mengalami tekanan air rendah sejak 2011.
"Cuma isu tersebut dibangkitkan secara serius sekarang kerana kapasiti air terawat semakin berkurangan dan ia akan menjadi lebih meruncing jika tidak ditangani dengan segera," katanya.
Mohd. Shafie berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Bubur Lambuk 1Malaysia Amal Media Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Jabatan Pengarang New Straits Times Press (NSTP), Bangsar di sini hari ini.
Menurut beliau, masalah kekurangan bekalan air terawat yang turut melanda Putrajaya itu dikhuatiri akan menjejaskan kemasukan pelabur-pelabur asing ke Malaysia.
"Masalah ini tidak akan menjadi isu sekiranya kerajaan negeri Selangor mengenepikan soal politik dan mengutamakan keperluan rakyat.
"Mereka sering melaung- laungkan Pakatan Rakyat untuk rakyat dan sewajarnya mereka membuktikannya dalam isu air ini," kata Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO itu.
Menurut beliau, bukannya sukar untuk menyelesaikan masalah berkenaan seandainya Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor segera melulus dan melaksanakan projek-projek bagi menambah bekalan air terawat yang kosnya tidak sampai mencecah RM10 bilion.
"Kalau Kerajaan Persekutuan boleh meluluskan peruntukan RM6 bilion untuk Kelantan bagi menangani masalah bekalan air di sana, mengapa sukar bagi Kerajaan Selangor?
"Dan, kalau hendak dipolitikkan tiada keperluan untuk Kerajaan Persekutuan berbuat demikian jika mengambil kira cukai yang dibayar oleh Kelantan hanya RM400,000 sahaja pada tahun lalu," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 23/7/12  

Tiada ulasan: