24 Julai 2012

Peniaga boikot bazar Ramadan

BAZAR Ramadan di Jalan Phee Choon, Pulau Pinang sunyi dan tidak mendapat sambutan kerana diboikot oleh para peniaga, semalam. 
*****
PULAU PINANG 22 Julai - Sekumpulan 20 peniaga bumiputera yang tidak dibenarkan berniaga di tapak bazar Ramadan di Jalan Penang di sini bertindak memboikot tapak baru yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di Jalan Phee Choon.
Wakil kumpulan itu, Abdul Karim Gulam Ali berkata, mereka tidak akan akur kepada arahan MPPP, sebaliknya akan bertemu Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman bagi membincangkan perkara ini dan berharap agar dapat kembali berniaga di tapak asal.
"Kami kecewa kerana sudah dua hari tidak ada pendapatan, namun sejak empat tahun lalu, memang akan berlaku keadaan seperti ini iaitu ada sahaja halangan untuk berniaga.
"Apa yang menyedihkan, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang selalu melaungkan prinsip adil dan telus tetapi dalam hal ini secara terang-terangan telah menindas peniaga Melayu.
"Kalau peniaga Cina di Jalan New Lane, Off Jalan Macalister dibenarkan berniaga di situ walaupun berlaku kesesakan yang teruk malah jalan ditutup bagi membolehkan mereka berniaga, tetapi kami yang hanya berniaga setahun sekali di Jalan Penang, dilayan sebegini rupa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum itu beliau bersama beberapa peniaga hadir ke tapak yang disediakan MPPP namun tidak berniaga kerana protes.
Menurut Abdul Karim, tapak baru yang disediakan oleh MPPP itu tidak begitu bersih kerana dipenuhi dengan burung gagak yang dikhuatiri najisnya boleh mencemar makanan yang dijual.
Tinjauan Utusan Malaysia di tapak baru itu mendapati terdapat 20 lot niaga disediakan namun hanya empat peniaga makanan yang berniaga dan difahamkan mereka adalah kumpulan peniaga baru yang tidak terlibat dengan aktiviti perniagaan di Jalan Penang sebelum ini.
Sementara itu, seorang lagi peniaga yang memboikot tapak baru itu, Mohd. Akhram Nazirahmad berkata, dia sedih kerana sudah dua hari hilang punca pendapatan.
"Kalau berniaga dalam tempoh dua hari, bolehlah dapat antara RM200 hingga RM300 tapi disebabkan masalah ini berlaku, saya memang alami kerugian,"katanya yang menjual pakaian.
/hwa: utusan.com.my | 23/7/12  

Tiada ulasan: