Sebuah jentera dan mesin melombong di salah satu lokasi perlombongan haram di Kelantan.
PEMBONGKARAN aktiviti melombong emas secara haram
yang berleluasa di beberapa daerah di Kelantan baru-baru ini
mencetuskan pelbagai reaksi.
*****
Di kalangan rakyat Kelantan sendiri, ramai tidak menyangka banyak
emas tersimpan di perut bumi mereka sehingga ada yang memperoleh hasil
ratusan ribu ringgit dalam masa beberapa hari melombong.
Setakat yang diketahui mereka memang ada aktiviti mendulang emas oleh
penduduk kampung di tepi-tepi sungai seperti di Sungai Galas, Gua
Musang, Sokor (Tanah Merah) dan Kampung Kalai (Jeli). Lesen mendulang
secara kecil-kecilan menggunakan kuali memang dikeluarkan oleh Pejabat
Tanah Dan Galian (PTG) kepada penduduk kampung dengan sedikit bayaran
untuk tempoh tertentu. Namun aktiviti perlombongan tanpa lesen secara
besar-besaran melibatkan penggunaan jentera berat seperti yang
didedahkan Utusan Malaysia baru-baru ini tidak pernah diketahui.
Jika ada lombong yang menggunakan jentera seperti itu, lombong
berkenaan pasti disangka beroperasi secara berlesen. Hakikatnya,
pencerobohan hutan dan rompakan hasil bumi negeri itu sudah lama berlaku
tanpa pemantauan yang berkesan sehingga kerajaan negeri itu mengalami
kerugian ratusan juta ringgit setiap tahun.
Bagaimanapun, maklumat daripada PTG Kelantan mengatakan emas bukan
bahan mineral utama yang dilombong di negeri itu dan hasil kutipan
royalti sebanyak lima peratus setahun hanya berjumlah kira-kira
RM800,000. Jumlah itu merupakan royalti yang dibayar oleh enam syarikat
perlombongan emas yang berlesen di Kelantan. Angka itu agak tidak masuk
akal, melainkan hasil emas di setiap lombong hanya setakat beberapa
kilogram setahun. Sedangkan maklumat yang penulis terima daripada
seorang pegawai di sebuah lombong emas berlesen di Pulai, Gua Musang
mengatakan hasil di tempat beliau bekerja boleh mencecah empat hingga
lima kilogram seminggu. Jika dicongak secara kasar, jumlahnya jutaan
ringgit.
Katanya juga, bagi bahan bernilai seperti emas, tidak mustahil
penipuan berlaku dalam pengisytiharan jumlah perolehan yang sebenar.
Menurut sumber itu, aktiviti perlombongan emas di Gua Musang membawa
pulangan agak lumayan yang mana ketulan-ketulan emas besar masih boleh
ditemui.
"Beberapa minggu lalu seketul emas seberat 70 gram ditemui di salah
satu daripada dua lombong milik anak syarikat Perbadanan Kemajuan
Iktisad Negeri Kelantan (PKINK)," katanya ketika ditemui di Gua Musang.
Tambahnya, Kelantan menyimpan banyak emas dan di kalangan pendulang
kampung yang gigih, ramai sudah meraih kemewahan. Untuk mendapatkan emas
yang tertanam beberapa meter di dalam tanah, pelbagai cara digunakan
sehingga ada yang melakukan pemujaan (panggil emas). Bagaimanapun setiap
kilauan tidak datang secara percuma, aktiviti perlombongan tanpa lesen
menyebabkan kemusnahan teruk kepada alam.
Semasa serbuan 'Ops Perasu' oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) di salah satu lombong haram di Perasu, Gua Musang
baru-baru ini, beberapa hektar hutan musnah dan ditinggalkan dalam
keadaan menyedihkan. Aktiviti mengorek tanah dan dasar sungai sehingga
kedalaman melebihi 10 meter di kawasan itu turut memusnahkan sungai
tanpa belas kasihan. Bagi pelombong berkenaan, tiada apa yang merugikan
mereka. Jika emas tidak ditemui, balak tetap ada. Bahkan harga balak
yang dibawa keluar mungkin lebih berbaloi daripada emas yang dicari.
Kemusnahan hutan di kawasan itu mencetuskan kemarahan pelbagai
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak kerajaan negeri supaya
mengambil langkah pemantauan yang lebih serius termasuk usaha 'merawat'
semula kawasan yang terjejas.
Berbeza dengan rakyat, reaksi Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik
Abdul Aziz Nik Mat berhubung perkara itu menampakkan kecelaruan,
seolah-olah kerajaan Pas mahu menyembunyikan sesuatu.
Beliau yang pada mulanya enggan memberi komen kemudian mengaku
mengetahui wujud aktiviti melombong emas secara haram di tanah
jajahannya selepas diasak pemberita. Apa yang kita faham, mungkin ketika
perkara itu dibongkar, tuan guru menyangkakan ia tohmahan politik oleh
Utusan Malaysia tetapi apabila disahkan benar, beliau terpaksa akur.
Kesimpulannya, perkara itu harus diselesaikan dan tidak harus
dipandang sebagai isu politik walaupun ada di kalangan penyokong tuan
guru yang memanipulasi pendedahan itu dengan mengatakan negeri yang
terkenal dengan momokan Serambi Mekah itu tetap di bawah rahmat Allah
sehingga dilimpahi emas. Sedangkan adakah mereka tahu emas di Kelantan
sebenarnya tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan Pahang yang
menyumbang 95 peratus daripada keluaran emas negara.
/hwa: utusan.com.my | 23/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan