KEPALA BATAS 23 Julai - Usaha pembangkang mempengaruhi golongan belia
agar menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya kerana
mereka semakin bijak menilai siapa yang mampu memenuhi aspirasi golongan
itu.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Reezal Merican Naina Merican
berkata golongan belia kini menyedari parti pembangkang hanya pandai
berjanji bagi mempengaruhi pemikiran mereka tetapi tidak mampu untuk
menterjemahkannya.
"Ini bukan soal kita bercakap atas sentimen kepartian tetapi aspirasi
orang muda yang merasakan bahawa BN adalah pilihan terbaik untuk masa
depan mereka dan saya tidak fikir mereka (pembangkang) dapat memberi
apa-apa kepada mereka.
"Lebih-lebih lagi atas keprihatinan khusus diberi Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak yang peka masalah dan bentuk pembangunan
aspirasi rakyat termasuk untuk golongan muda," katanya kepada Bernama
selepas menyampaikan sumbangan kepada 33 buah masjid di Parlimen Kepala
Batas, di sini malam tadi.
Setiap masjid menerima sumbangan wang tunai, beras dan kurma untuk keperluan sepanjang bulan puasa ini.
Reezal, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas, berkata dakwaan
pembangkang bahawa mereka mendapat sokongan generasi muda termasuk
generasi kedua Felda juga sebenarnya tidak menjadi kenyataan.
Katanya golongan muda kini mula memberi sokongan kepada BN kerana
percaya parti itu mampu memberi jaminan masa depan kepada mereka
berbanding pembangkang yang hanya pandai menabur janji.
"Kita boleh lihat sendiri sokongan golongan muda terhadap kerajaan
kerana setiap program yang dianjurkan mendapat sambutan yang mengalakkan
daripada golongan berkenaan, contohnya himpunan belia baru-baru ini,"
katanya.
Beliau berkata pembangkang juga kini sudah ketandusan isu untuk
dibangkitkan apabila kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan program
bagi memenuhi setiap lapisan masyarakat. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 23/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan