24 Julai 2012

Jangan kecewa dalam perjuangkan parti

KUALA LUMPUR 22 Julai - Ahli dan pemimpin UMNO di setiap peringkat diingatkan supaya tidak sesekali kecewa dalam perjuangan parti jika gagal mendapat jawatan tertentu yang diidamkan sama ada dalam kerajaan mahupun syarikat milik kerajaan (GLC).
Bekas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (gambar) berkata, kesetiaan kepada UMNO amat penting bagi memastikan parti yang memayungi perjuangan sebelum ini tidak tumbang akibat 'ditikam' segelintir pemimpin berpaling tadah.
Justeru, beliau amat kecewa apabila melihat sebahagian pemimpin sanggup meninggalkan parti itu setelah gagal mendapat jawatan diidamkan sedangkan sebahagian besar daripada mereka telah mencipta kejayaan bersama UMNO, malah ada yang mendapat kekayaan.
"Saya sudah jadi Ahli Parlimen sejak 1982, lebih kurang 30 tahun. Saya sudah pegang beberapa jawatan sehingga kini (tiada apa jawatan). Kalau ikutkan dengan pengalaman saya, sepatutnya jadi pengerusi sesebuah GLC.
"Namun saya tidak dilantik apa-apa jawatan melainkan jawatan tidak bergaji iaitu Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR). Tapi saya tidak kecewa dan anggap benda ini sebagai kepercayaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual khas bersama portal The Malaysian Times baru-baru ini.
Dalam temu bual itu, Radzi turut ditanya mengenai tindakan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang keluar UMNO dan menubuhkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Jun lalu.
Bagaimanapun, Radzi enggan mengulas mengenai tindakan Kadir itu tetapi hanya mengakui beliau tidak faham dengan langkah bekas pemimpin UMNO tersebut yang juga merupakan kawan baiknya.
Mengulas lanjut, kata beliau, jatuh bangun dalam politik merupakan lumrah yang perlu dihadapi dengan tenang dan para pemimpin UMNO yang berpaling tadah apabila gagal mendapatkan sesuatu diingini bukan pemimpin parti sejati.
/hwa: utusan.com.my | 23/7/12 

Tiada ulasan: