KUALA LUMPUR 22 Julai - Tindakan parti
pembangkang menghalang kerajaan menjalankan program yang mempunyai
kepentingan rakyat dianggap tidak rasional dan matang.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
berkata, pihak pembangkang tidak dapat menerima hakikat bahawa setiap
program yang dijalankan oleh kerajaan mempunyai objektif kukuh demi
menjaga kebajikan rakyat.
"Mereka (pembangkang) bersikap tidak matang apabila tiada satupun
sokongan yang diberikan kepada kerajaan walaupun tahu program yang
dianjurkan boleh membawa manfaat kepada rakyat," katanya ketika
dihubungi hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan
kenyataan sikap pembangkang yang menghalang kerajaan melakukan sesuatu
perkara baik hanya untuk keuntungan politik semata-mata.
Katanya, hal sedemikian tidak harus dipolitikkan dan pembangkang
sepatutnya tidak menghalang apa jua program kepentingan rakyat seperti
penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGV) baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah yang diambil pembangkang
itu dianggap satu tindakan tidak bertanggungjawab.
"Mereka seolah-olah merasa rugi jika memberi pujian atau menyokong
usaha kerajaan walaupun secara jelas dapat dilihat program tersebut
mempunyai nilai kebaikan kepada rakyat," ujarnya.
Tambahnya, pembangkang mewujudkan persepsi buruk terhadap usaha
kerajaan dengan niat meraih perhatian masyarakat demi kepentingan
politik.
Turut memberi pandangan, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu (PPPMM), Datuk Dr. Kamarudin Kachar.
Beliau berkata, rakyat kini lebih matang dan sudah boleh menilai sendiri sikap negatif yang dibawa parti pembangkang.
"Rakyat perlu menolak sikap angkuh pembangkang dan memberi sokongan
penuh kepada usaha kerajaan yang menjanjikan nilai baik kepada rakyat,"
katanya.
/hwa: utusan.com.my | 23/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan