KUALA LUMPUR 22 Julai - Ketua Pemuda Pas,
Nasrudin Hassan diselar atas tindakannya berbohong ketika berdebat
dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia
(Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya Khamis lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, Mohd. Razlan Mohd.
Rafii berkata, tindakan Nasrudin memutarbelit fakta, terutama berhubung
kompromi Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap hukum hudud adalah serius
dan menuntut penjelasan sewajarnya.
"Nasrudin membuat penipuan terbuka, kononnya pakatan pembangkang
menerima hukum hudud padahal pendirian Karpal diketahui umum sebagai
pembantah utama hukum tersebut, dia sememangnya tidak akan berganjak.
"Kata Nasrudin, itu pendirian Karpal dua puluh tahun lalu, sekarang
sudah berubah. Ini merupakan pembohongan sangat besar kepada rakyat
negara ini," ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Debat anjuran sebuah akhbar tempatan itu mengupas topik bertajuk Pilihan Raya Umum Ke-13: Orang Muda Pilih Siapa? di sebuah stesen televisyen tempatan.
Jelas Mohd. Razlan, pembohongan kedua terbesar yang dilakukan oleh
Nasrudin pula adalah ketika mendabik dada mengatakan Pas sebagai parti
dominan dalam pakatan pembangkang meskipun hakikat sebenar adalah
sebaliknya.
Kata beliau, secara jelas Pas merupakan parti tidak dominan dalam
pakatan yang dilihat lebih dikepalai oleh DAP berbanding parti-parti
komponen yang lain.
Beliau berkata, tindakan Ketua Pemuda Pas itu cuba memesong fakta
sudah cukup menjawab tajuk topik perdebatan berkenaan, iaitu orang muda
akan tetap memilih pemimpin yang tidak berbohong.
"UMNO kekal pendaulat utama orang Melayu di negara ini. Sekiranya
mereka kalah pada pilihan raya akan datang, nescaya kaum itu akan turut
mengikut merundum bersama parti berkenaan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 23/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan