KELEBIHAN Datuk Fazley Yaakob yang konsisten menunjukkan bakat dan
kemahiran memasak dalam Pertandingan Master Chef Selebriti memberi tuah
kepadanya apabila diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan itu.
Kemenangan itu tambah bermakna apabila ia dikongsi bersama dengan
Yayasan Jantung Malaysia yang beroleh hadiah kemenangannya sebanyak
RM57,500 sebagai sumbangan amal bagi membantu pihak yang memerlukan.
Sesungguhnya sifat mulia suka memberi dan membantu merupakan sebahagian
daripada sifat mulia yang wajar dicontohi oleh semua.
Lebih besar lagi ganjaran yang bakal diraih jika amalan mulia suka
memberi dan bersedekah seperti itu dilaksanakan di bulan Ramadan. Di
bulan ini masyarakat Islam digalakkan memperbanyak bersedekah,
menyediakan juadah berbuka puasa dan menghulurkan apa jua bantuan yang
terdaya bagi mencontohi perbuatan Baginda Nabi Muhammad SAW yang sangat
pemurah semasa Ramadan.
Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; "Sesiapa daripada
kalangan Mukmin memberi makanan kepada Mukmin yang kelaparan maka Allah
SWT akan memberinya makanan buah-buahan Syurga pada hari kiamat. Sesiapa
daripada kalangan Mukmin memberi minuman kepada Mukmin yang kehausan
maka Allah SWT akan memberinya khamar Syurga yang termeterai bekasnya
pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan Mukmin memberi pakaian
kepada Mukmin yang tidak berpakaian maka Allah SWT akan memberinya
pakaian Syurga yang berwarna hijau". (Riwayat al-Tirmiziy dan Abu Daud).
Dalam riwayat yang lain Baginda Nabi SAW pernah ditanya tentang sedekah
yang paling afdal, dijawab "Sedekah di Bulan Ramadan" (Riwayat
al-Tirmiziy).
Selain itu, kelebihan Ramadan juga dibahagi-bahagikan kepada nikmat
beroleh rahmat Allah SWT pada 10 hari pertama Ramadan, diikuti dengan
ganjaran pengampunan dosa pada 10 hari yang kedua dan akhirnya
pembebasan daripada api neraka di 10 yang terakhir daripadanya. Yang
mana kesemua kelebihan ini merupakan motivasi untuk Muslimin beramal
ibadah seraya memenuhi Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat.
Diriwayatkan juga apabila tiba Ramadan pintu-pintu langit dibuka,
pintu-pintu syurga dibuka, pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan
syaitan dibelenggu.
Justeru, masyarakat Islam diseru berusaha untuk memenuhi seluruh
Ramadan dengan pelbagai kegiatan ibadah yang juga memiliki ganjaran
hebat yang tersendiri. Ganjaran bertadarus al-Quran sebagai contohnya
mampu memberi ketenangan dan menarik rahmat Allah SWT. Ini dinyatakan
dalam riwayat yang bermaksud "Tidaklah berkumpul suatu kaum di rumah
Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan
turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat Allah SWT, malaikat akan
menyertai mereka dan Allah SWT membanggakan mereka di kalangan malaikat
yang ada di sisinya". (Riwayat Abu Daud)
Ramadan juga merupakan bulan pengampunan dosa. Malah inilah peluang
untuk individu Muslim melipatgandakan usaha memohon keampunan seterusnya
bertaubat dan tidak lagi mengulangi segala dosa. Diriwayatkan Baginda
Nabi SAW bersabda maksudnya "Sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat
hingga Jumaat yang berikutnya, Bulan Ramadan hingga Ramadan yang lain
menjadi penebus dosa yang terjadi antara keduanya selagi seseorang itu
menjauhi dosa-dosa besar". (Riwayat Muslim).
Kelebihan yang tiada tolok bandingnya terdapat pula pada malam
kemuliaan lailatulqadar yang diharapkan oleh Imam al-Syafi'y berlaku
pada malam 21 atau 23 Ramadan. Manakala Imam al-Ghazali menjangkakannya
berdasarkan hari awal Ramadan. Sebagai contohnya jika awal Ramadan
jatuhnya pada Selasa atau Jumaat, lailatulqadar berlaku pada malam 27
Ramadan dan jika bermula pada hari Sabtu bermakna lalilatulqadar pada
malam 23 Ramadan. Sungguhpun demikian umat Islam diseru untuk
menghidupkan malam-malam akhir Ramadan kerana terdapat hadis yang
masyhur daripada Nabi Muhammad SAW menyatakan ia berlaku pada malam
ganjil hari 10 terakhir Ramadan.
Berjihad mencari lailatulqadar merupakan kemuncak segala amal
kebajikan yang dilakukan sejak hari pertama Ramadan. Pada malam itu
Allah SWT turun ke langit dunia untuk mengampunkan dosa sesiapa yang
beristighfar kepadanya, memperkenankan doa kepada sesiapa yang ikhlas
menadah tangan kehambaan. Malah pahala beribadah menyamai 1,000 bulan
iaitu seolah-olah 83 tahun umur manusia bakal diraih oleh insan yang
terpilih beroleh nikmat beribadah pada malamnya. Ini peluang keemasan
yang perlu diraih oleh setiap Muslim tanpa mengira usia, jantina dan
latar belakang ilmu agama.
Lebih daripada itu kelebihan Ramadan yang paling utama terletak pada
ibadah puasa yang difardukan kepada setiap individu Muslim yang baligh
dan berakal. Ini kerana manusia sebagai makhluk sanggup menahan diri
daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara yang membatalkan
puasa tidak lain semata-mata kerana ikhlas mentaati perintah Allah SWT.
Sabda Nabi SAW bermaksud "Demi Allah yang jiwa ku berada dalam
genggamannya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa lebih harum di sisi
Allah SWT daripada bau minyak kasturi". Allah SWT berfirman maksudnya
"Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, meninggalkan makan dan
minum kerana Aku. Puasa itu dilakukan kerana Aku, dan Akulah sendiri
yang akan memberi balasannya". (Riwayat Ahmad)
Malahan jika umat Islam tahu segala kelebihan dan kemuliaan yang
disediakan ketika Ramadan nescaya mereka pasti menginginkan agar Ramadan
berlangsung sepanjang tahun. Oleh kerana itu jugalah tiada nikmat dan
ganjaran yang paling berharga buat individu yang berpuasa dalam erti
kata yang sebenar melainkan beroleh sifat takwa dan terpilih masuk
Syurga Allah SWT melalui pintu al-Rayyan yang dikhususkan bagi orang
yang berpuasa.
/hwa: utusan.com.my | 20/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan