23 Julai 2012

Himpunan Oren: Azizan malukan Pas?

Himpunan Oren yang diadakan untuk menyuarakan bantahan terhadap penyenaraian awam FGV di Kuala Lumpur, baru-baru ini ternyata gagal mendapat sambutan dan kira-kira 2,000 yang hadir kebanyakannya ahli Pas bukan peneroka Felda. 
*****
SUNGGUH melucukan apabila pemimpin Pas mengadakan Himpunan Oren di Kuala Lumpur bagi membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGV) tetapi pada masa sama kerajaan mereka di Kedah memiliki 500,000 unit saham tersebut. Inilah dikatakan benci tapi mahu.
Himpunan Oren yang disasar untuk menarik 100,000 rakyat terutama para peneroka untuk menyuarakan bantahan terhadap penyenaraian awam FGV ternyata gagal mendapat sambutan dan kira-kira 2,000 yang hadir kebanyakannya ahli-ahli Pas.
Sebaliknya kerajaan Pas Kedah menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) mengesahkan melabur sebanyak kira-kira RM2.2 juta unit memiliki setengah juta unit saham FGV.
Inilah yang dikatakan Kamarulzaman Kamdias (kkamdias.blogspot.com), hanya mereka yang bodoh mengenai penyenaraian awam sahaja yang berkokok sekeliling kampung membantah usaha tersebut sedangkan mereka yang cerdik, seperti PKNK akan merebut peluang dan meraih keuntungan yang terbentang di depan mata.
"Bagi yang faham soal saham dan pelaburan pula, mereka bukan menentang kerana mahu menyelamatkan hak peneroka sebaliknya hanya mahu memanipulasi ketidakfahaman peneroka dan rakyat tentang soal penyenaraian FGV. Apa yang penting, semua isu mesti dimanipulasi asalkan memperoleh undi," katanya.
Bagaimanapun blog Badut Rakyat (badutrakyat.blogspot.com) menganggap tindakan Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi PKNK, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menyokong pembelian saham FGV telah memalukan partinya sendiri, Pas dan juga pakatan pembangkang.
Katanya, walaupun PKNK memperoleh keuntungan selepas menjual sebahagian saham tersebut, tetapi dari segi modal politik Pas telah mengalami kerugian.
"Ustaz Azizan secara tidak sengaja memalukan Pas dan membuktikan kepada penyokong dan ahli Pas bahawa pendirian parti itu (tentang FGV) adalah salah, sekali gus (membuktikan) keputusan kerajaan menyenaraikan Felda adalah bijak," kata blog tersebut.
Tindakan Azizan itu sudah pasti menimbulkan kemarahan kalangan pemimpin Pas yang sejak dari awal menyokong usaha Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang mahu menggagalkan penyenaraian Felda itu dengan harapan ia boleh menjadi modal kempen Pas di kalangan peneroka menjelang pilihan raya umum nanti.
Blog propembangkang, Penarik Beca (penarikbeca.blogspot.com) antara yang lantang membidas Azizan dan menganggap beliau bernasib baik kerana ketika Himpunan Oren, laporan mengenai pemilikan saham FGV oleh PKNK tidak diketahui. Jika tidak sudah pasti mereka akan berhimpun beramai-ramai di hadapan pejabat Azizan.
Blog ini dengan sinis berkata, tindakan Azizan tersebut tentu akan disambut oleh Presiden Pas dengan kenyataan sama seperti ketika Menteri Besar Kedah itu mengaku menggunakan undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dahulu dan mengaku sebagai anak AUKU.
"Sama seperti kenyataan proundang-undang taghut (AUKU) hari tu, mungkin Presiden Pas akan kata: Namun Ustaz Azizan tentunya lebih tahu dengan apa yang berlaku, sesuai dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah. Jadi tindakan Ustaz Azizan mengenainya tentu lebih tepat dan wajar dijadikan rujukan oleh pihak-pihak lain termasuk kepimpinan Pas Pusat sendiri," bidas blog tersebut.
Usaha menggunakan Felda sebagai modal kempen sebetulnya sudah tidak berkesan lagi dan ia diakui sendiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak bersetuju dengan penganjuran Himpunan Oren.
Bahkan blog Gelagat Anwar (gelagatanwar.wordpress.com) mendakwa Anwar sendiri kecewa dengan perhimpunan tersebut bukan kerana ia gagal tetapi dibuat dengan tergesa-gesa.
"Anwar cukup kecewa, kerana Himpunan Oren diadakan secara tergesa-gesa. Kalau menunggu sedikit masa, dapat maklumat dan info baru - barulah serangan terhadap Felda dapat dilakukan dengan baik... Anwar kecewa kerana dengan tidak semena-mena nama baik PKR pun terbabit sama dengan kegagalan Himpunan Oren," kata blog tersebut.
KRISIS AIR DI LEMBAH KLANG
APABILA Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memaklumkan bekalan air di Lembah Klang perlu dicatu kerana bekalan air terawat tidak dapat menampung permintaan pengguna yang meningkat, kerajaan Selangor bingkas mahukan pengurusan syarikat itu diletakkan di bawah mereka dengan alasan Syabas gagal mematuhi syarat konsesi.
Bagaimanapun, ramai melihat kerajaan pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sengaja mencari "kesalahan" pihak Syabas untuk mengambil alih pengurusan air yang diidam-idamkan sejak awal pemerintahan mereka di Selangor, walaupun isu kekurangan bekalan air itu sudah dimaklumkan sejak awal lagi.
Usaha Kerajaan Persekutuan untuk membina loji rawatan air menerusi Projek Langat 2 digagalkan oleh kerajaan Selangor dan sehingga kini cadangan projek bagi menampung bekalan air Lembah Klang itu terus dipolitikkan. Apabila bekalan air mula berkurangan, mereka cepat-cepat menyalahkan Syabas dan kerajaan Persekutuan.
Apakah rakyat yakin kerajaan negeri mampu menguruskan bekalan air dengan lebih cekap berbanding Syabas sedangkan sebelum ini menguruskan sampah pun mereka gagal?
Blog Musram Rakun (musramrakunman.blogspot.com) berkata, sebenarnya kerajaan Selangor sengaja mempolitikkan isu air bagi meraih sokongan rakyat dengan mengharapkan rakyat akan marahkan Kerajaan Persekutuan dan Syabas jika krisis bekalan air berlaku.
Di pihak Kerajaan Persekutuan pula, mereka menyalahkan kerajaan negeri yang menggagalkan usaha membina loji Langat 2 sehingga menyebabkan bekalan air terawat tidak mencukupi.
"Yang jelas, isu air Selangor telah menjadi krisis, (dan) kini menjadi isu politik antara pakatan (pembangkang) dan Barisan (Nasional), dan yang menjadi mangsa adalah pengguna-pengguna kedua-dua pihak... tiada sesiapa mendapat kelebihan politik (daripada krisis air)," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 20/7/12 

Tiada ulasan: