Kerjasama Pas dan DAP dalam pakatan,
dilihat lebih memihak kepada DAP apabila Pas lebih menurut pendirian
DAP dalam banyak isu.
*****
PILIHAN Raya Umum Ke-13 masih belum menampakkan
bayang. Biarpun ramai yang membuat spekulasi dan meramalkan tarikhnya,
namun realitinya tiada siapa yang tahu.
Yang pasti mandat diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12
lalu kepada Barisan Nasional (BN) akan berakhir pada Mac tahun depan.
Kalau ditengok kepada pengalaman yang sudah-sudah, Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri (DUN) biasanya dibubarkan sebelum mandat itu tamat.
Jadi, sekarang ini semua pihak tertunggu bilakah tarikh itu. Ada yang
menjadi resah gelisah kerana pelbagai tarikh, minggu dan bulan yang
diramalkan sebelum ini tidak menjadi kenyataan. Banyak juga yang meracau
sampai melemparkan pelbagai tuduhan semata-semata kerana kerajaan BN
belum lagi menetapkan tarikh PRU13. Tetapi yang nyata kempen sudah pun
bermula. Perang bendera sudah berlaku di sana-sani. Ada di sesetengah
kawasan ia seolah-olah pilihan raya telah bermula.
Ceramah-ceramah politik pula jangan dikira banyaknya. Tidak cukup
hotel, dewan orang ramai, rumah persendirian dan padang, mimbar masjid
turut dijadikan pentas ceramah. Sudah tidak ada pantang larang lagi
dalam bab berceramah dan berpolitik. Ada yang sejengkal ditambah menjadi
sedepa. Malah fakta yang tidak betul juga diangkat hingga ke mimbar
Jumaat.
Itu adat berpolitik. Pihak pakatan rakyat sudah pasti mahu memastikan
momentum yang memihak pada mereka pada 2008 akan berterusan untuk
PRU13.
Sebab itu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sanggup melakukan
apa sahaja, termasuk berpura-pura berjuang bersama-sama walaupun
realitinya matlamat mereka berbeza. Ketika DAP memperjuangkan sebuah
negara Malaysia yang liberal, Pas tetap dengan perjuangan menegakkan
Islam walaupun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan
parti pimpinannya itu telah menggugurkan matlamat menubuhkan negara
Islam.
Tetapi dalam setiap ceramah oleh para pemimpin dan para
penceramahnya, menubuhkan negara Islam tetap menjadi halwa untuk
memancing sokongan. Realitinya mampukah Pas menegakkan Islam mengikut
acuannya jika BN tewas dan pakatan Pas, DAP dan PKR menang PRU13?
Atau Pas sekadar menjual mimpi kepada para pengikutnya bahawa ia akan
menegakkan daulah Islamiah di negara ini, sedangkan realitinya parti
itu tidak mampu berbuat demikian? Malaysia bukan seperti Mesir yang baru
pertama kali merasai pilihan raya bebas dalam memilih kerajaan. Sejak
1955 hingga kini sudah hendak masuk kali ke-13.
Bermakna sejak 1955 hingga kini sudah hendak masuk 13 kali juga kita
memilih kerajaan baru. Cuma untuk 12 pilihan raya yang lalu kerajaan
yang dipilih itu adalah BN.
Apabila kerajaan dipilih melalui pilihan raya, maka parti-parti yang
bertanding sudah tentu tahu apa kriteria utama untuk menjadi kerajaan -
sama ada persekutuan mahupun negeri.
Kriterianya mudah, iaitu mendapat majoriti mudah dalam pilihan raya,
biarpun hanya dengan kelebihan satu atau dua kerusi seperti yang berlaku
di Kedah dan Perak.
Bagaimana pula untuk mendapatkan majoriti mudah? Caranya, ialah
dengan meletakkan calon bertanding di semua kawasan. Bukan
berpilih-pilih atau sekadar bertanding di 64 kawasan. Sebab itu,
kriteria utama Pas jika mahu membentuk kerajaan dan menegakkan daulah
Islamiah seperti yang dicanangkan dalam setiap ceramahnya, ia mesti
bertanding di sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.
Jika ia menang di semua kerusi tersebut baru akan dapat majoriti
untuk membentuk kerajaan. Bila sudah menjadi kerajaan baru boleh
laksanakan apa saja yang dihajati.
Jika Pas betul-betul serius seperti mana seriusnya pada penceramahnya
menghentam BN dan UMNO kerana dikatakan gagal menegakkan Islam, Pas
perlu meletakkan calon di semua kawasan Parlimen dan DUN yang majoriti
pengundinya adalah orang Islam.
Dengan cara itu, jika menang, Pas akan mendapat majoriti lebih besar
untuk menentukan hala tuju pemerintahan negeri dan negara. Termasuk
melaksanakan hukum hudud seperti yang dicanangkan dalam setiap kempen
dan ceramahnya.
Tetapi jika diteliti, direnung dan dicongak fakta PRU12 pada 2008,
Pas hanya bertanding di 64 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh
negara. Kerusi yang ditandingi Pas tidak sampai satu pertiga daripada
kawasan Parlimen yang ada. Jadi, macam mana mahu membentuk kerajaan?
Kalau macam itu bagaimana mahu menegakkan Islam? Ikhlaskah apa yang
dicanangkan dalam ceramah atau sekadar jual mimpi dan sekadar sedap
mulut?
Andaikanlah BN yang didokongi UMNO tewas pada PRU13, adakah Pas mampu
menegakkan Islam hanya dengan mempunyai 64 wakil di Parlimen sedangkan
bakinya dikuasai DAP dan PKR?
Bercakap, menghentam, melabel dan mengkafirkan orang lain memang
sedap. Tetapi, realitinya hanya indah khabar dari rupa atau cakap tidak
serupa bikin kalau pun tidak sampai ke tahap kokok berderai-derai ekor
bergelumang tahi.
Ditambah pula dengan ura-ura DAP akan meletakkan calon di 90 kawasan
Parlimen, sudah tentu tindakan itu akan melemahkan sama sekali pengaruh
Pas di Parlimen.
Senario selepas PRU12 sendiripun sudah menyaksikan tenggelamnya
dominasi Pas di Parlimen dengan DAP muncul sebagai jaguh di kalangan
pembangkang. Sekadar mengembalikan ingatan, pada pilihan raya umum 2008,
Pas bertanding di 64 kerusi dan menang di 23 kawasan.
DAP pula menang di 29 kawasan sementara PKR 21. Jadi, mana keupayaan dan kekuatan untuk menegakkan Islam?
Sebab itu dalam apa hal sekalipun termasuk dalam isu murtad, lesbian,
homoseksual dan rampasan arak Pas hanya mengikut pendirian DAP. Sebab
DAP yang lebih menguasai. Itu senario yang perlu difikirkan secara
mendalam oleh para pengundi Islam di negara ini.
Kerajaan BN tidak kebal. Ia boleh ditumbangkan pada bila-bila masa
melalui proses pilihan raya. Lihatlah pada PRU12 apabila BN kehilangan
kelebihan dua pertiga kerusi Parlimen dan hilang pemerintahan di tiga
buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selain gagal merampas
Kelantan.
Demokrasi di Malaysia berjalan lancar dan rakyat mampu mencongakkan bentuk kerajaan yang mereka inginkan.
Tetapi malangnya Pas hanya tahu menyalahkan demokrasi dan tidak
berusaha memanfaatkannya dengan cara meletakkan calon seramai mungkin.
Dan DAP dalam diam-diam berusaha memanfaatkan sistem demokrasi negara
dengan mengenalpasti kawasan yang ada potensi untuk menang dan
memastikan calonnya berada di situ.
Ketika para pemimpin Pas sibuk menjual mimpi kepada para
penyokongnya, pemimpin DAP pula bijak mencongak macam mana mahu
memerintah negara dengan menjadikan Pas sebagai salah satu alat untuk
menjayakan cita-cita.
Berdasarkan kepada senario ini, buatlah perbandingan, buat congakan dan andaian.
Jika BN tewas, jika BN gagal mengekalkan kuasa dan jika BN tidak lagi
mendapat tempat di hati rakyat, apakah kuasa pemerintahan itu akan
beralih kepada Pas dan kekal di tangan Melayu dan Islam sebagai
tonggaknya?
Tonggak yang mampu mengekalkan keamanan dan kemakmuran serta memasti
nikmat yang menjadi makanan harian rakyat sekarang kekal dan yang paling
penting mengekalkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Pas memang
ada pemimpin berwibawa dan mampu memimpin serta mentadbir negara.
Tetapi, jika mereka hanya mengikut telunjuk DAP dan PKR dalam
menentukan di mana mereka boleh bertanding dan berapa kerusi mereka
boleh letakkan calon, maka elok lupakan soal menegakkan Islam di
Malaysia.
Jika menang sekalipun Pas hanya akan menjadi pak turut kepada DAP
seperti yang berlaku di Selangor. Apabila bercakap biarlah berpijak di
bumi nyata. Jangan sekadar hanya menang pilihan raya tetapi agama,
bangsa dan negara tergadai.
/hwa: utusan.com.my | 20/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan