UMAT Islam akan mula berpuasa pada hari Sabtu dan
dalam masa sama ada segelintir terpaksa menyambutnya dalam suasana pilu
kerana institusi keluarga dipertahankan tiba-tiba runtuh tanpa musibah
yang besar atau disebabkan kematian salah seorang, sama ada suami atau
isteri.
Hati seorang isteri menjadi lebih sayu apabila menerima kata putus
dari seorang suami ketika menjelangnya Ramadan, bulan yang penuh
keberkatan, bulan makrifah, bulan penuh hikmah, bulan dimana pintu
syurga dibuka seluas-luasnya dan amat dinanti-nantikan oleh setiap umat
Islam.
Peristiwa yang menimpa Che Hasnah Che Ahmad, 61, seorang guru agama
apabila diceraikan talak satu oleh suaminya, atas alasan tidak menyokong
perjuangan sebuah parti politik benar-benar menunjukkan betapa pudarnya
makna perkahwinan yang mereka fahami dari sudut Islam. Penceraian
pasangan warga emas seharusnya tidak berlaku atas alasan politik kerana
jalinan perkongsian hidup selama 14 tahun telah mendewasakan mereka,
saling memerlukan terutama ketika usia dan kesihatan diri semakin lemah.
Bagaimanapun, dalam menghadapi dugaan itu, Che Hasnah menjadi semakin
kuat semangat berbanding bekas suaminya yang mungkin terkapai-kapai
mencari arah. Meskipun Yahya mempunyai anak-anak yang sudah dewasa,
tetapi dia sebenarnya memerlukan layanan lebih daripada apa yang
anak-anak boleh lakukan, kerana mereka juga mempunyai keluarga yang
perlu diberikan perhatian.
Emosi sedih Che Hasnah akan terubat dengan kehadiran anak-anak yang
terus mempercayai kebolehannya untuk mengajar mengaji manakala hari-hari
selanjutnya akan menyebabkan Yahya seperti menyesal, tetapi apa boleh
buat kerana nasi sudah menjadi bubur. Permohonan rujuk tidak diendahkan
oleh bekas isterinya, kerana Che Hasnah tidak lagi sanggup dihina,
dikeji dan seterusnya dimomokkan bahawa Islamnya tidak sampai ke mana
dan matinya membawa ke neraka.
Sebenarnya penceraian yang berpunca dari perbezaan politik bukanlah
perkara baru dalam masyarakat, kerana ia sudah mula berakar dan membarah
sejak sebuah parti politik mendabik dada bahawa parti itu sahajalah
yang berjuang atas prinsip Islam. Peristiwa penceraian kerana politik
sudah berlaku sejak 1950-an kerana menganggap salah seorang anggota yang
tidak menyokong parti itu sebagai kafir dan mereka yang disifatkan
sebagai kafir adalah haram bergaul ataupun dijadikan pasangan hidup.
Perkembangan etos politik kafir itu jugalah membawa perpecahan dalam
masyarakat: orang sekampung boleh bertetak (tentunya dengan parang atau
golok), anak-anak ditinggalkan tanpa pembelaan, keluarga porak peranda
dan keharmonian hidup tercalar kerana sembahyang dengan jemaah
masing-masing manakala masakan pun dilakukan secara berasingan, daging
sembelihan tidak menepati syarak, tidak bercampur dalam kenduri-kendara
dan ziarah jenazah. Lebih mengecewakan ada segelintir pengikut politik
tertentu tidak mahu menguruskan jenazah apabila kematian berlaku,
sebaliknya lebih mudah berkata ''tanam saja di jirat".
Doktrin kafir sudah sebati dalam jiwa pengikut-pengikut politik yang
mendakwa dirinya lebih Islam sehingga membentuk etos yang sukar
dikikiskan. Inilah yang berlaku dalam diri suami Che Hasnah sehingga
tidak ada lagi sifat toleransi dan menghormati kepelbagaian pandangan,
hanya yang diketahuinya selagi tidak menuruti kehendak parti, selagi
itulah terpaksa menelan pahit beristerikan Che Hasnah.
Mungkin juga kita tidak mendengar Cherrie Blair, isteri bekas Perdana
Menteri Britain menghalau adiknya sendiri yang sudah pun memeluk Islam.
Kita juga tidak pernah melihat ada paparan gambar David Miliband
(Menteri Luar dan meletakkan jawatan pada 29 September 2010 apabila
tewas kepada adiknya, Ed Miliband) ketika itu terpaksa bertumbuk dengan
adiknya Ed Miliband kerana perbezaan politik. Tetapi di Malaysia ia
pernah berlaku, kerana salah seorang daripada adik-beradik atau kaum
keluarga termakan dengan hasutan dan bidaah politik yang menjurus kepada
budaya taksub.
Kita mungkin tidak lupa bagaimana berlakunya perbalahan yang besar
kerana politik di kampung-kampung di Kelantan dan Terengganu suatu
ketika dahulu.
Seelok-eloknya perlu dilihat semula apakah maknanya perkahwinan itu
sendiri jika akhirnya melafazkan cerai. Persoalannya, tidak semua
perceraian berlaku atas faktor politik, tetapi intensitinya tetap ada
kerana setiap malam ramai daripada penyokong mereka termakan hasutan
sehingga etos 'kafir' terus melekat sebagai norma kehidupan yang wajar
meskipun kategorinya turut dilibatkan kepada sesama muslim.
Sepatutnya, antara politik dan agama tidak boleh dicampuradukkan
kerana agama menjadi faktor penyatuan dan perpaduan yang lebih kemas
berbanding politik. Politik yang turut disinonimkan maknanya sebagai
"serba kemungkinan" mudah berubah, kerana pada suatu ketika ia adalah
seorang kenalan rapat, keesokannya menjadi seteru besar. Agama tidak
menjarakkan seseorang itu kerana hakikat dan kiblatnya adalah sama,
mencapai tahap keimanan yang tinggi dan reda Ilahi.
Perkahwinan adalah sesuatu yang amat diredai oleh Ilahi dan bercerai
juga dibolehkan tetapi atas alasan yang lebih besar daripada perbezaan
politik. Perkahwinan juga menjadikan perkongsian hidup dua manusia
berlainan jantina mengembangkan fitrahnya di samping saling melengkapi
kerana manusia merupakan makhluk sosial yang sentiasa memerlukan kasih
sayang, ingin disayangi dan menyayangi.
Kelainan pandangan politik dan pendirian dalam berparti bukanlah
membawa seseorang itu kepada kekafiran, kerana di sisi agama, seseorang
yang dikatakan kafir atau telah menjadi kafir ialah mereka yang tidak
mempercayai Allah SWT dan membelakangkan setiap suruhan-Nya. Maknanya,
Islam atau kafir seseorang itu diukur berdasarkan ada atau tidak iman
dalam diri seseorang, dan bukannya atas perbezaan parti politik.
Dengan kata lain politik asabiah yang ditegah Allah adalah
perlampauan dalam mempertahan dan memperjuangkan kepentingan puak hingga
membelakangi prinsip keadilan dan kebenaran yang menjadi asas politik
Islam. Budaya politik seperti inilah yang sering kali menjerumus umat ke
dalam kancah kesesatan dan persengketaan. Bahkan sokongan dan dukungan
membuta tuli kepada sesebuah parti politik juga mendorong gejala
perlampauan hingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama umat.
Dalam perjalanan sejarah peradaban manusia, jalan kekerasan atau
menolak keharmonian hidup pada umumnya berakhir dengan kegagalan,
apalagi jika falsafah yang digunakan adalah kebencian dan fanatisme.
Kita seharusnya menggunakan akal batin yang sihat lagi waras untuk
bersama-sama mencipta suasana kehidupan yang ceria dan harmoni, terbuka,
serta lapang dada. Bukan kehidupan gelap, tertutup dan jelik.
/hwa: utusan.com.my | 20/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan