23 Julai 2012

Fuziah terus didesak mohon maaf kepada Lynas

KUANTAN 19 Julai - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini terus mendesak Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh supaya memohon maaf kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) berhubung kesilapan tentang pembohongan fakta tanpa asas saintifik mengenai kilang memproses nadir bumi itu.
Mereka mahu Fuziah dan kumpulan anti-Lynas mencontohi portal berita, Free Malaysia Today yang memohon maaf secara terbuka kelmarin.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kuantan, Ezad Zainal berkata, Fuziah perlu memohon maaf kepada Lynas dan seluruh rakyat Kuantan atas pembohongan dilakukannya.
Jelas sekali katanya, Ahli Parlimen Kuantan itu telah mengetepikan kajian dan pendapat daripada pakar bertauliah yang telah mengesahkan keselamatan kilang memproses nadir bumi yang terletak di Gebeng.
"Tiada sebarang asas yang kukuh atas kenyataan-kenyataan Fuziah terhadap Lynas melainkan beliau hanya mencari sokongan politik dan bukan untuk kepentingan rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pahang Mendukung Agenda Nasional (Daun) mendesak Fuziah dan kumpulan anti-Lynas memohon maaf secara terbuka seperti dilakukan Free Malaysia Today.
Penyelaras Daun, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, pihaknya mendesak Fuziah dan kumpulan anti-Lynas memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan penduduk Kuantan khasnya kerana dakwaan mereka sebelum ini turut tidak disokong dengan fakta saintifik.
Pengerusi Majlis Belia Kuantan, Md. Jamil Pauzi berkata, selain Lynas, Fuziah dan kumpulan anti-Lynas perlu memohon maaf kepada kerajaan negeri Pahang serta golongan belia.
"Jika Ahli Parlimen Kuantan itu tidak mahu memohon maaf, kami (Majlis Belia Kuantan) meminta pihak berkuasa agar mengambil tindakan undang-undang ke atas Fuziah dan penyokongnya," kata beliau.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Pahang, Asmayudin Uyub berkata, Fuziah seharusnya akur dengan kesilapannya melakukan pembohongan fakta tanpa asas saintifik mengenai Lynas.
"Beliau merupakan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan sebagai pemimpin, jika melakukan kesalahan, beliau seharusnya mengakui kesilapan dan segera membuat permohonan maaf.
"Rakyat terutama di Kuantan sebenarnya sudah jemu dengan modal politik dan pembohongan yang dilakukan mengenai Lynas," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 20/7/12 

Tiada ulasan: