23 Julai 2012

Cerai sebab politik bukan perkara baru - Harussani

KUALA KANGSAR 19 Julai - Perceraian kerana perbezaan fahaman politik bukan sesuatu yang baru, sebaliknya sudah lama berlaku, namun tidak dilaporkan oleh media massa.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, keadaan itu berlaku kerana orang Melayu begitu taksub dengan politik sehingga tidak menggunakan akal fikiran, tetapi hanya mengikut perasaan.
"Berapa ramai yang bercerai kerana politik, keadaan lagi dahsyat pada akhir 1970-an sehinggakan sembelihan orang Melayu daripada parti politik lain pun tidak dimakan.
"Saya pernah tengok tempat mereka buang raga ayam sebab yang sembelih itu orang UMNO," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Travelog Seychelles di Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar), di sini hari ini.
Hadir sama, Rektor Kisdar, Prof. Dr. Jamil Hashim dan pengarang buku Travelog Seychelles, Prof. Dr. Talib Samat.
Beliau mengulas mengenai kejadian seorang bekas guru agama di Kelantan, Che Hasnah Che Ahmad, 61, yang diceraikan kerana perbezaan politik baru-baru ini.
Menurut Harussani, tindakan tidak memakan sembelihan orang UMNO itu adalah perbuatan yang salah kerana mereka juga orang Melayu yang beragama Islam.
"Ini cukup salah. Kenapa makanan orang Cina dan orang putih (Barat) kita makan, tetapi makanan orang Melayu kita tidak makan. Itu sebab saya cakap mereka taksub tidak tentu pasal," ujarnya.
Beliau menambah, hanya kerana taksub juga ada orang Islam yang tidak bersembahyang di masjid tertentu kerana imamnya ahli UMNO dan keadaan itu turut berlaku di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Selain itu, kata beliau, abang iparnya yang mengusahakan perniagaan kedai runcit pernah diboikot sehingga terpaksa menutup perniagaannya hanya kerana menziarahi jenazah pemimpin UMNO yang meninggal dunia.
"Abang ipar saya juga dinafikan hak khairat kematian. Dia menangis datang jumpa saya yang ketika itu menjadi Kadi Besar Pulau Pinang. Saya pergi ceramah di tempat tersebut tetapi tidak ada orang datang. Inilah yang berlaku," katanya.
 /hwa: utusan.com.my | 20/7/12

Tiada ulasan: