Jamil Khir Baharom (dua dari kiri)
diiringi Dali Hussin (kiri) menerima borang keahlian daripada Raja Ali
Raja Mat (empat dari kiri) pada Majlis Perasmian Gelanggang Seni Silat
1Malaysia di Kampung Babong, Kota Bharu, semalam.
*****
KOTA BHARU 19 Julai - Setelah sekian lama berasa
tertipu dengan kata-kata manis dan janji yang tidak ditunaikan seramai
160 bekas ahli dan penyokong tegar Pas bertindak menyertai UMNO.
Kesemua mereka yang berasal dari Kampung Babong, Pulau Melaka dan
Kampung Hujung Tanjung di Parlimen Pengkalan Chepa itu sepakat menyokong
perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat sentiasa
berjuang membela nasib rakyat negara ini.
Kampung Babong dan Kampung Hujung Tanjung terletak dalam Dewan
Undangan Negeri (DUN) Panchor yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik
Abdullah.
Borang permohonan keahlian mereka diserahkan kepada Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sempena kehadiran
beliau pada Majlis Perasmian Gelanggang Seni Silat 1Malaysia dan Jamuan
Rakyat di Kampung Babong, di sini semalam.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa yang juga Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Dali Hussin.
Menurut Raja Ali Raja Mat, 45, dia yang tidak pernah mengundi
parti selain Pas sejak kali pertama membuang undi, kini menyedari
pilihannya itu adalah salah.
"Memang sejak mula mengundi pada usia 21 tahun saya tidak pernah ambil tahu siapa pun wakil parti lain, yang saya tahu cuma Pas.
"Sokongan saya tidak pernah berubah tetapi akhirnya saya tidak
mendapat apa-apa manfaat sedikit pun selain janji mereka, jadi kenapa
masih perlu bersama Pas sedangkan saya tidak lagi yakin dengan apa yang
mereka boleh lakukan," katanya yang berasal dari Kampung Hujung Tanjung.
Sementara itu, Che Awadi Che Su, 31, dari Kampung Babong pula
berkata, dia memilih menjadi ahli UMNO selepas membuat pemerhatian dan
perbandingan antara parti yang ada di negara ini.
"Soal sokongan memang keluarga saya menyokong Pas sejak lama dulu,
tetapi hasil pemerhatian saya mendapati UMNO adalah parti terbaik untuk
rakyat.
"Sebab itulah saya bersama rakan-rakan memilih untuk bersama UMNO dan
insya-Allah selepas ini kesemua ahli keluarga saya juga akan melakukan
perkara sama," jelasnya.
Pendapat tersebut dikongsi seorang lagi pengundi muda, Fadzil Ismail, 36, yang mengakui tidak pernah merasai sedikit pun bantuan daripada pemimpin Pas sepanjang hidupnya.
"Mungkin ada orang lain yang dapat, tetapi bagi saya secara jujurnya
saya tidak pernah menikmati apa pun bantuan daripada wakil rakyat Pas.
"Setiap kali ada bantuan diterima, ia adalah yang diberikan Kerajaan
Pusat, maka saya tahu inilah parti yang patut disokong dan hari ini kami
menjadi ahli UMNO secara sah," katanya.
Sementara itu, Jamil Khir yang juga bapa angkat kepada UMNO Pengkalan
Chepa pada sidang akhbar kemudiannya melahirkan rasa terharu dengan
sokongan tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 20/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan