Najib  Tun Razak,  Seri Rosmah Mansor 
dan Mohamed Khaled Nordin bersama sebahagian pemimpin belia dan 
mahasiswa yang menghadiri majlis berbuka puasa di Seri Perdana, 
Putrajaya, malam tadi. 
***** 
PUTRAJAYA 27 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak 
yakin mahasiswa di negara ini yang merupakan golongan intelek dapat 
menilai dan membezakan janji-janji yang tidak berpaksikan realiti yang 
banyak ditaburkan oleh sesetengah pihak.
Perdana Menteri berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu cenderung 
melontar pelbagai isu serta menabur janji-janji ketika mereka tidak 
mempunyai kuasa dalam pentadbiran.
"Adalah mudah untuk menabur janji semasa mereka tidak berkuasa tetapi
 apa yang lebih penting adalah apa yang telah dilakukan ketika kita ada 
kuasa.
"Saya percaya saudara-saudari yang mempunyai daya intelek dan 
pemikiran tajam sudah tentu tidak mudah menelan segala janji yang 
ditaburkan, kita harus persoalkan sejauh mana janji itu berpijak pada 
bumi yang nyata," katanya.
Beliau berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin belia dan 
mahasiswa serta warga institusi pengajian tinggi di Seri Perdana, di 
sini malam ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada majlis sama, Najib mengambil kesempatan memberi kata-kata 
semangat kepada pasukan Robocon dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
 yang bakal menyertai kejohanan robot antarabangsa di Hong Kong.
Selain itu, Najib turut menerima kad ucapan hari lahir daripada 
wakil-wakil pemimpin belia dan mahasiswa sempena sambutan hari jadi 
beliau pada Isnin lalu.
Menurut Najib, kerajaan mahu melakar masa depan yang jauh lebih baik 
dan indah kepada generasi muda tetapi lakaran itu mesti berasaskan 
kepada realiti.
Katanya, tanggungjawab beliau sebagai ketua kerajaan adalah melakukan
 yang terbaik supaya setiap insan termasuk mereka dari kawasan luar 
bandar boleh mencapai impian dan cita-cita masing-masing sekiranya 
sanggup bekerja keras.
"Sebab itulah kita cetuskan agenda transformasi yang akan membawa 
Malaysia ke masa depan yang jauh lebih baik berbanding hari ini," 
katanya.
Sementara itu, Najib berkata, seperti insan biasa yang lain, beliau 
mendapat kepuasan selepas memberi bantuan dan keriangan kepada golongan 
yang memerlukan.
"Kalau saya dapat membantu atau memberi sedikit keriangan kepada 
seorang anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin atau ibu 
tunggal, saya akan dapat kepuasan sepanjang hari itu," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 28/7/12  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan