BELUM pernah rasanya persoalan tema Hari Kebangsaan menjadi polemik 
yang memecahbelahkan pemikiran rakyat. Entah apa tujuan dan objektif, 
sepertinya tidak ada sesuatu yang 'kena' dan molek tema tahun ini kepada
 sesetengah pihak. Sehinggakan tema Hari Kebangsaan mahu dijadikan 
gelincir pandangan yang sangat negatif dan merosakkan. 
Penulis melihat penuh minat dengan pelbagai ungkapan sinikal, kejian,
 hinaan dan makian yang dikemukakan banyak pihak mengenai isu tema ini. 
Pernah satu ketika, media baru, terutamanya penggunaan platform 'twitter' dijadikan medan debat mengenai isu sama. Maka, bertempiaranlah
 anak muda kita, termasuk mereka yang berada di luar negara, memberikan 
takrifan sendiri mengenai isu ini.
Mereka yang selama ini tidak pernah minat dan ambil tahu tentang tema
 Hari Kebangsaan, tiba-tiba sahaja menjadi kalangan pengkaji bahasa, 
pakar media, ahli strategi politik yang menilai tema tersebut dalam 
pelbagai segi. Tak kurang juga yang menjadikannya bahan lawak jenaka 
untuk menghina pemimpin dan individu tertentu. 
Daripada satu segi, tema '1Malaysia: 55 Tahun Merdeka - Janji 
Ditepati' memungkinkan suatu perkongsian pandangan yang sihat, asalkan 
ia tidak disulami dengan nada sinikal, kecaman dan dendam politik yang 
melampau. 
Sejujurnya, minat generasi muda terhadap tema ini sangat luar biasa! 
Walaupun mereka punya pandangan berbeza, namun ia haruslah dilihat dalam
 konteks yang lebih luas. Pada pandangan penulis, frasa 'Janji Ditepati'
 ini bukanlah sesuatu yang eksklusif dan politikal. Buka sedikit minda, 
kita akan melihat maknanya yang lebih besar.
Janji Ditepati - ini mestilah juga dilihat melalui pandangan yang 
objektif dan tidak sarat dengan niat politik. Jika itu dapat menjadi 
rentak mula pandangan dan pemikiran, rasanya ia bukanlah satu terma yang
 jijik. Malahan, ungkapan 'janj' ini sudah sewajarnya menjadi 
sebahagian daripada kehidupan kita rakyat Malaysia. 
Mungkin kita sudah lupa bahawa 'ikrar' Rukunegara juga adalah satu 'perjanjian rakyat kepada negara' yang perlu dijadikan landasan tindakan
 kita sebagai warga negara yang bertuah ini. 
Berapa ramai generasi muda kita yang benar-benar dapat menghayati 
makna dan 'ikrar' kita kepada negara. Ikrar ini tahapnya lebih tinggi 
daripada janji. Definisi ikrar - istilah Arab; janji yang 
sungguh-sungguh, janji yang disertai dengan sumpah, pengakuan. Apakah 
kita masih ingat dengan bait-bait ayat 'ikrar' yang berikut:
Bahawasanya, negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: 
mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; 
memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang 
adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan 
saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi 
kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; membina satu masyarakat 
progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Ideal kita bermasyarakat dan memelihara hubungan antara rakyat dan 
kerajaan ini bukan perkara baru. Ia legasi politik yang berusia lebih 
42 tahun. Entah mengapa hari ini kita menjadi fobia dengan istilah 
janji. Atau kita sebenar-benarnya mahu mengambil jalur politik dalam 
semua perkara?
Sudah tiba masanya jagoan-jagoan politik melonggarkan sedikit 
ketaksuban politik dan mula melihat Hari Kebangsaan dengan semangat 
cintakan negara yang tepat dan betul. Polemik politik tidak akan pernah 
berakhir. Namun, apakah kita sudah menjadi sedemikian terdesak untuk 
mempolitikkan perkara yang sepatutnya berada di landasan neutral dan 
dikongsi bersama? 
Istilah Janji Ditepati ini wajar juga dijadikan wadah untuk kita 
menilai kembali sejauh mana kita, sebagai rakyat, sudah memenuhi aura 
rakyat dan menepati ikrar kita dalam mengisi niat rukun kita bernegara.
 Ini asasnya. Ini bukan soal hak mutlak dan prerogatif siapa. Ini soal 
kaedah kita dalam memberi makna. Niat untuk hidup dalam suasana 
demokratik ini bukan cita baru. Ia sudah termeterai dalam ikrar kita 
sejak 1970 lagi!
Soalnya, sejauh mana demokratiknya kita kalau kita sendiri tidak tahu
 menghormati pandangan orang lain? Menganggap kita dan kumpulan kita 
sahaja betul dan wibawa? Hari Kebangsaan seharusnyalah menjadi landasan 
kita mengukur kembali 'ikrar, janji dan baiah' kita sebagai anak 
Malaysia yang sebenar. Wajar agaknya kita menilai kembali, sejauh mana 
kita sudah menjadi pemangkin kepada usaha membina perpaduan, mencipta 
masyarakat adil, memuliakan budaya dan membina masyarakat progresif. Ini
 semua 'ikrar dan janji' kita. 
Semua usaha dan niat ini digabung jalinkan dengan lima prinsip yang sangat integral:-
* Kepercayaan kepada Tuhan 
* Kesetiaan kepada Raja dan Negara 
* Keluhuran Perlembagaan 
* Kedaulatan Undang-Undang 
* Kesopanan dan Kesusilaan
'Janji Ditepati' - seharusnya menjadi wadah untuk kita menilai fiil 
dan tingkah kita dalam mengisi tuntutan dan prinsip Rukunegara yang lima
 ini. Sebagai mana-mana manusia politik dan organisasi sekalipun, kita 
tidak seharusnya keluar daripada 'baiah' yang sangat asas ini. Rukun 
Negara bukannya sebuah legasi politik usang yang tidak relevan. Malahan,
 dengan asas yang sama, kita sudah banyak menjauhkan negara daripada 
tribulasi yang merosakkan.
Banyak masalah yang dapat kita murnikan jika rakyat terus memegang 'ikrar' dan 'janji' yang lima ini. Ia sangat asas. Namun begitu, 
malangnya, kita sudah mula untuk menduga sesetengah prinsip sebagai 
kaedah mendapat laba politik yang bersifat sementara. Masing-masing mahu
 membawa pandangan jumud dan sempit, sehingga adakalanya mahu menguji 
keabsahan prinsip yang sedemikian asas.
Apa mesej yang mahu kita sampaikan kepada generasi baru, sekiranya 
terma 'ikrar, janji dan baiah' ini juga mahu kita polemikkan? Eloklah 
agaknya, dalam tempoh meraikan Hari Pahlawan, Hari Kebangsaan dan Hari 
Malaysia untuk kita mempunyai minda yang lebih terbuka dan tidak terlalu
 politikal sifatnya. 
Molek untuk kita kurangkan gegak gempita pemikiran politik dengan 
sambutan Hari Kebangsaan yang neutral dan dimiliki semua. 'Janji 
Ditepati' ini bukan soal janji kerajaan kepada rakyat semata. Ia juga 
soal menepati janji dan ikrar kita, sebagai rakyat - terhadap negara. 
Apakah kita ini agaknya sudah menjadi kalangan mereka yang hanya mahu 
melihat 'sumbangan' kerajaan kepada kita; dan bukan sebaliknya.
Kita seharusnya menjadi generasi yang matang dan tidak melihat semua 
perkara dalam kacamata politik. Selama 13 tahun (1957-1970) kita 'merdeka' tanpa memegang sebarang ikrar dan janji. Politik kita 
berasaskan laissez-faire. Kontrak sosial kita bernegara hanya berasaskan
'faham kerjasama' yang longgar. Nyata, politik tidak akan menjadi 
semudah itu. Kita membayar harga yang tinggi untuk memahami bahawa 
sesungguhnya kita memerlukan 'ikrar dan janji' yang lebih mengikat. 
Lalu, apa salahnya jika kita menilai semangat 55 tahun merdeka dengan 
bermuhasabah tentang 'ikrar dan janj' yang wajar ditepati.
Namun penulis terpaksa mengakui bahawa logo Hari Kebangsaan kali ini 
perlu diperbaiki dan diperhalusi semula. Ia terlalu simplistik dan tidak
 membawa bersamanya semangat maju dan makmur yang diinginkan. Rasanya 
kita punya ramai pereka muda yang jauh lebih dinamik, artistik dan 
berpandangan jauh! Ini bukan soal 'politik' tapi soal cita rasa dan 
rekaan yang sedap dipandang mata. Logo Hari Kebangsaan tidak boleh 
bersifat, 'janji ada'
/hwa: utusan.com.my | 28/7/12  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan