Najib Tun Razak mempengerusikan
mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera di Bangunan Perdana Putra,
Putrajaya semalam. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin (lima, kiri) dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri
Dr. Ali Hamsa (kiri). - BERNAMA
*****
PUTRAJAYA 26 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, peluang perniagaan berjumlah kira-kira RM13 bilion telah dijana
untuk manfaat Bumiputera menerusi inisiatif yang dilancarkan oleh Unit
Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
Perdana Menteri berkata, inisiatif yang dilancarkan Teraju, yang
ditubuhkan Februari lepas, berpandukan kepada hala tuju transformasi
ekonomi Bumiputera yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
Antara inisiatif yang menyumbang kepada jumlah itu ialah melalui dasar untuk memberi peluang secara carve out kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang terlibat dalam projek Transit Pantas Massa (MRT) melalui MRT Corporation Sdn Bhd.
"Sehingga ini, 47 peratus daripada jumlah pakej, ditawarkan kepada
syarikat-syarikat Bumiputera, iaitu melebihi sasaran 43 peratus yang
ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan
Mesyuarat ketiga Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) di sini, hari
ini.
Najib berkata, mengikut unjuran ketika ini, jumlah keseluruhan pakej
itu bernilai kira-kira RM9.3 bilion, yang menyaksikan jumlahnya
melangkaui sasaran RM8.5 bilion.
Menurutnya, kerajaan berpuas hati dengan jumlah itu, bukan sahaja
dari segi jumlah besar yang berjaya diagih, tetapi juga dari segi proses
penentuan syarikat-syarikat berkenaan yang dibuat dengan cara yang
begitu telus, berdasarkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang
terbaik dari kalangan syarikat Bumiputera.
"Proses ini dilakukan berdasarkan kepada merit dan tidak memberi
kelebihan kepada mana-mana syarikat melainkan berdasarkan kepada
kriteria kemampuan dan kebolehan syarikat tersebut," katanya.
Sementara itu, Najib berkata mesyuarat MTAB hari ini juga meluluskan
20 buah lagi syarikat yang layak untuk program Syarikat Bumiputera
Berprestasi Tinggi (Teras), yang merupakan satu lagi program perdana
Teraju, menjadikan jumlahnya kini 150 buah.
"Melalui inisiatif ini, kita dapati bahawa jumlah modal berbayar
ialah kira-kira RM1 bilion dan perolehan keseluruhan RM7.9 bilion. Ini
bererti syarikat-syarikat Teras ini mempunyai potensi berkembang dan
mampu bersaing untuk mendapatkan kerja-kerja dari sektor awam," katanya.
Perdana Menteri seterusnya mengumumkan keputusan mesyuarat
melanjutkan tempoh Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di bawah
kelolaan Prokhas untuk setahun lagi, di mana dana RM930 juta yang belum
digunakan lagi oleh syarikat-syarikat Bumiputera akan diperuntukkan
sehingga 31 Disember, 2013.
Walau pun skim jaminan itu pada mulanya hanya diperuntukan kepada
perniagaan kecil dan sederhana (PKS), namun kini, katanya
syarikat-syarikat Teras yang bukan PKS, malah lebih besar daripada itu
juga, layak untuk menyertai skim tersebut.
"Saya dan anggota majlis yakin inisiatif yang diperkenalkan ini akan
memberi peluang yang lebih meluas kepada syarikat-syarikat Bumiputera
untuk capai kejayaan lebih besar pada masa akan datang," katanya. —
BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan