Muhyiddin Yassin bersalam dengan Dr.
Obaidullah Obaid yang membuat kunjungan hormat di pejabatnya di
Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. - BERNAMA
*****
PUTRAJAYA 26 Julai - Kerajaan Afghanistan melihat Malaysia sebagai
sebuah negara Islam yang boleh dicontohi dan diharapkan negara lain di
dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesej itu
disampaikan Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan, Prof. Dr. Obaidullah
Obaid yang mewakili Presiden Hamid Karzai untuk lawatan lima hari ke
Malaysia.
"Mereka memandang tinggi keupayaan Malaysia dan menyatakan kita
sebuah negara Islam contoh yang bukan sahaja boleh diikuti tetapi juga
boleh diharapkan untuk membantu umat Islam lain yang menghadapi masalah.
"Inilah keistimewaan Malaysia dan kita harus berbangga dengannya,
suasana aman sebegini juga harus dikekalkan malah diperbaiki," katanya
ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Presint
9 (2), di sini hari ini.
Sempena majlis itu, Muhyiddin turut berbuka puasa bersama warga
sekolah dan menyampaikan sumbangan kepada 50 pelajar di sekitar Kajang
dan Putrajaya.
Pada pagi ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menerima
kunjungan hormat delegasi Obaidullah di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Obaidullah mengharapkan Malaysia
akan memberi bantuan kepada negaranya yang sedang dalam proses pemulihan
daripada perang.
Muhyiddin berkata, antara bantuan yang diperlukan Afghanistan adalah
dalam bidang pendidikan, teknikal, latihan ketenteraan serta kepolisan.
"Mereka mahu Malaysia membantu proses pemulihan dan pembangunan yang
diperlukan Afghanistan selepas negara itu melalui satu tempoh yang agak
malang.
"Peperangan yang berlarutan telah mengorbankan ratusan ribu manusia
di sana, hampir seluruh sistem sosial dan ekonomi negara itu musnah,"
katanya.
/hwa: utusan.com.my | 27/7/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan